Tidak terfikir untuk meninggalkan kerjaya sebagai anggota bomba buat masa ini, Syafiq Farhain menganggap penglibatannya dalam dunia nyanyian sekadar kerja sampingan.
Berdepan isu membabitkan bapa sendiri, pendatang baharu, Syafiq Farhain sebenarnya tetap tenang dan tidak berasa putus asa untuk membina nama dalam industri muzik.
Katanya, jika diawali niat ikhlas melakukan sesuatu kerja dengan usaha bersungguh-sungguh, kejayaan pasti menanti esok hari.
Kini, umum mengetahui bahawa Syafiq, 23, merupakan anak kepada penyanyi legenda daripada kumpulan Iklim iaitu Saleem.
Enggan terlalu memikirkan pandangan orang terhadap dirinya, Syafiq optimis meneruskan langkah dalam industri dengan usaha sendiri bersandarkan single pertamanya, Sayang Maafkan Aku yang mendapat sambutan luar jangkaan daripada peminat.
Selepas hampir dua bulan dimuat naik ke laman YouTube, lagu tersebut telah mencatat lebih 2.3 juta tontonan.
Ikuti temu bual bersama Syafiq yang juga merupakan anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia di Putrajaya. Ketika dihubungi Kosmo! baru-baru, dia berkongsi perancangan kariernya dalam industri.
KOSMO!: Selepas berminggu-minggu dilanda kontroversi kurang enak melibatkan hubungan kekeluargaan, akhirnya isu berkenaan menampakkan penyelesaian apabila syarikat rakaman Syafiq dan Saleem telah sepakat untuk berdamai. Apa komen anda untuk perkara tersebut?
SYAFIQ FARHAIN: Saya sendiri pun tidak mahu perkara ini terus berpanjangan kerana ia membabitkan nama baik semua pihak. Buat masa ini, biarlah perkara tersebut selesai terlebih dahulu.
Adakah rutin kehidupan harian anda terganggu disebabkan isu berkenaan?
Apa yang saya boleh katakan, setakat ini semuanya masih dalam keadaan terkawal. Saya tidaklah sampai bertindak melulu atau marah-marah tidak tentu pasal berhubung kes ini. Namun, bohonglah kalau saya katakan tidak terasa hati mengenangkan perkara tersebut.
Bagi saya, untuk apa saya marah-marah sebab pada akhirnya nanti, yang buruknya akan condong ke arah saya, sekali gus mengeruhkan lagi keadaan.
Apa yang saya kecapi pada hari ini (menjadi penyanyi dan terjebak kontroversi) adalah perkara yang tidak pernah dijangka sama sekali. Jadi, sama ada bersedia atau tidak, ia sudah pun berlaku. Maka, saya perlu hadapinya dengan tenang.
Adakah anda pernah terfikir untuk meninggalkan kerjaya sebagai anggota bomba selepas ini?
Saya tidak pernah terfikir untuk meninggalkan kerjaya bomba sebab bidang nyanyian hanya kerja sampingan. Namun, jika ditanya untuk tempoh setahun dua lagi, saya tidak pasti. Apa-apa pun, saya perlu bergantung pada situasi sebelum membuat sebarang keputusan.
Bagaimana dengan tuntutan tugas sebagai anggota bomba dan penyelamat apabila anda sudah bergelar penyanyi?
Kerjaya saya sebagai anggota bomba masih berjalan seperti biasa kerana tawaran persembahan tidak terlalu padat buat masa ini. Lagipun jadual kerja saya mengikut waktu pejabat. Jadi, saya masih berpeluang mengadakan persembahan pada waktu malam dan hujung minggu atau selepas waktu bekerja.
Bagaimana dengan perancangan karier anda selepas ini?
Saya sedang merancang untuk mengeluarkan single kedua. Ia sudah siap dirakam tetapi masih ada beberapa proses yang belum selesai. Jadi, ia mungkin akan mengambil sedikit masa lagi sebelum sedia dilancarkan, sementelah single pertama sebenarnya baru hendak popular.