Bront Palarae selami jiwa Yahudi


Namanya tidak meledak dengan catatan kontroversi atau sensasi yang menjadi dambaan peminat dan netizen sepanjang masa, namun sehingga ke hari ini Bront Palarae kekal pada tahapnya sebagai pelaku seni yang punya momentum stabil dalam kelas tersendiri.

Biarpun tidak banyak filem ataupun drama lakonannya yang disajikan kepada khalayak saban tahun, gerakan karier yang dipandu dengan kecintaan dan keseniman itu terus menjalar mencari demografi penonton dan pasaran lebih luas melangkau sempadan tempatan.

Selain Halfworld dan Headshot, tahun ini sahaja, selepas filem Pengabdi Setan bersama produksi diterajui Joko Anwar dari Indonesia dan Daddy’s Home (Bradley Liew, Filipina), gerakannya makin kencang apabila aktor berusia 39 tahun itu sekali lagi meletakkan nama pada kredit sebuah filem luar negara.

Ia bukan naskhah sembarangan, sebaliknya karya adaptasi novel bertajuk Ayat-Ayat Cinta yang kini memasuki sekuel kedua sedang dihadam Bront dengan hati-hati.

Bercerita tentang peranannya dalam filem terbitan MD Picture di samping Fedi Nuri, Dewi Sandra dan seorang lagi pelakon dari Malaysia, Fazura itu, Bront memilih untuk berterus terang. Katanya, dia melakonkan watak bernama Barruch, seorang lelaki berbangsa Yahudi yang menetap di Eropah.

Selain sibuk dengan projek filem Indonesia terbaharunya, pada masa yang sama Aktor Terbaik Festival Filem Antarabangsa ASEAN menerusi Terbaik Dari Langit itu akan terbang ke California, Amerika Syarikat pada pertengahan Ogos ini bagi menyelesaikan kursus jangka pendek Keusahawanan Kreatif Digital di Universiti Stanford selama dua minggu.

KOSMO!: Apakah perkara pertama yang terlintas dalam fikiran Bront sewaktu menerima tawaran untuk terlibat dalam sebuah projek filem yang boleh dianggap pecah panggung dari Indonesia itu?

BRONT PALARAE: Saya tetap rasa berdebar sebab belum masuk set penggambaran.

Bilakah sebenarnya lamaran filem Ayat-Ayat Cinta 2 sampai kepada anda?

Seingat saya sudah lama, sekitar lima bulan lalu tetapi selagi belum ada kontrak dan persetujuan tentang soal logistik dan perkara teknikal lain, ia tidak umumkan sehingga pada 27 Julai lalu apabila semuanya telah ada hitam putih. Saya akan ke Jakarta untuk sesi fotografi karakter dan menjalani penggambaran beberapa babak dalam studio. Saya juga akan ke Scotland, United Kingdom pada 28 Ogos bagi menjalani penggambaran filem arahan Guntur Soeharjanto itu di sana.

Ayat-Ayat Cinta sebuah filem tentang Fahri selaku watak utama, bagaimana pula dengan peranan anda?

Saya melakonkan watak bernama Barruch, seorang lelaki yang ditemui Fahri di Edinburgh. Menariknya, saya melakonkan watak berbangsa Yahudi yang memerlukan saya mendalami cara dan budaya orang Yahudi termasuk mempelajari bahasa Hidro untuk berdialog. Ini benda baharu yang tidak pernah saya temui dalam karya di tanah air. Itu seronoknya terlibat dalam produksi luar.

Tidakkah anda risau memikirkan skeptikal segelintir pihak memandangkan Yahudi merupakan bangsa yang dikatakan musuh umat Islam?

Bagusnya watak Barruch ia tidak menyentuh soal agama ataupun pegangan akidah. Tiada babak sembahyang atau ritual agama. Jadi, tiada masalah dalam soal itu. Saya cuma perlu buat penonton percaya bahawa Barruch itu Yahudi iaitu dari segi penampilan, percakapan dan bahasa tubuh.

Difahamkan anda tidak pernah membaca dan menonton naskhah Ayat-Ayat Cinta, mengapa?

Pertama, saya jenis yang kurang melayan filem atau novel cinta. Keduanya, watak saya dalam sekuel kedua ini tidak perlukan rujukan daripada sekuel pertama. Ia boleh berdiri sendiri tetapi jika diminta dan ada masa terluang untuk sekadar ambil tahu, saya akan tengok filem pertama Ayat-Ayat Cinta.

Kali pertama bekerjasama dengan Guntur, bagaimana pandangan anda terhadapnya secara peribadi?

Sepanjang melalui uji bakat dan bacaan skrip sebanyak dua kali di Jakarta bersamanya, Guntur kelihatan fokus dan sangat jelas tentang apa dimahukan untuk karyanya. Mungkin pengalaman saya bekerjasama dengannya tidak sama dengan Joko (Halfworld dan Pengabdi Setan) kerana kami seperti sudah melebihi hubungan sebagai pelakon dan pengarah, sudah boleh bersembang seperti kawan. Dengan Guntur, bila masuk set penggambaran sebenar nanti baru tahu.

Ramai berpendapat, meraih tawaran berlakon dengan produksi luar negara, selain dapat meluaskan jaringan, bayarannya juga pasti lumayan, bagaimana dengan pulangan yang Bront perolehi?

Lumayan pada skop saya bukan sekadar bayaran lakonan tetapi lebih kepada jaringan pasaran, meluaskan demografi peminat dan pengaruh dan belajar banyak benda baharu.

Difahamkan anda juga akan ke AS bagi mengambil kursus perfileman jangka pendek di Universiti Stanford, antara universiti terbaik dunia, boleh kongsikan terperinci?

Kali ini saya tidak pergi untuk belajar tentang seni filem sebaliknya, cara untuk jual produk kreatif dalam dunia digital masa kini. Memikirkan universiti berkenaan sebuah institusi pengajian terulung, saya agak berbesar hati dapat belajar di sana walaupun untuk dapat sijil. Mana tahu suatu hari nanti, boleh tambah ilmu ke satu tahap lagi di sana. Saya beruntung kerana mendapat biasiswa untuk segala yuran, kos pergi balik dan penginapan selama di sana.

Anda juga bakal muncul dengan sebuah filem romantik berjudul Kau Takdirku. Setelah sekian lama tertunda waktu tayangan baru September nanti ia akan menemui peminat. Bagaimana jangkaan anda terhadap sambutan yang bakal diterima?

Ia sebuah karya cinta yang mengikut aliran penerimaan khalayak seperti dalam drama-drama bersiri yang meledak di kaca televisyen, cuma produksi, skala dan emosinya lebih besar. Peminat sukakan cinta, kita beri cinta, saya harap Kau Takdirku akan mendapat sambutan sewajarnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post