Konsert mahakarya seorang ratu Shiela Majid


Menyempurnakan konsert pada malam tersebut, pemain gitar terkenal dalam aliran jazz dari Indonesia, sekali gus penerbit album terkini Sheila, Boneka, Tohpati berpadu dengan Sheila sebagai pemuzik undangan menerusi beberapa lagu seperti Boneka, Warna dan Memori.

Dia, Ratu dan Lagenda. Tiga istilah itu tidak sahaja mewakili rangkaian melodi ikonik dendangan Datuk Sheila Majid. Lebih dalam lagi, ia membawakan sebuah konotasi bahawa beliaulah yang selayaknya ‘dimahkotakan’ sebagai ratu dan legenda dalam degup jantung muzik tanah air.

Seperti ungkapan yang sering diluahkan beliau, konsert seharusnya dibikin dalam nada, skala dan neraca sebuah konsert. Jika tepat segala pertimbangan, buah hasil yang terzahir tidak tersasar daripada perancangan.

Sheila Majid: The Concert Kuala Lumpur 2017 menjelaskan inti pati, memberi makna apakah sebenar-benarnya yang digelar konsert. Ia bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya lebih besar lagi, sebuah apresiasi harta intelek yang mahal nilainya.

Dalam deru gema yang teradun mengalirkan emosi bahagia kepada pemujanya, susunan muzik daripada Mac Chew selaku Pengarah Muzik dan Jennifer Thomson (Pengarah Konsert) menjadikan setiap detik dalam persembahan berdurasi hampir tiga jam di Stadium Negara, Kuala Lumpur tersebut cukup mengesankan.

Kerja tangan menyulam pantulan cahaya biarpun pastinya menggunakan segala kecanggihan teknologi yang ada, kredit buat jurutera visual, Steve Hoo tetap harus diberi tepukan.

Tanpa pencahayaan indah yang menari-nari mengikut tempo pada malam tersebut, mungkin ‘sinaran’ konsert Sheila kurang kemilau.

Persis seorang ratu, biarpun layak dikalungkan bintang sebagai pujian, Sheila akui tidak mandiri untuk disegani sendirian. Beliau diiringi hulubalang-hulubalang terpilih termasuk Jenny Chin, Steve Tornton, Sham Kamikaze, pasukan horn (instrumen tiupan) dan string (instrumen bertali) serta penyanyi latar, beraksi penuh tenaga di hadapan lebih 4,000 penonton seisi stadium.

Tidak lupa, my man seperti berkali-kali terbutir daripada bibir beliau, Hashridz Murshim atau Acis iaitu suaminya sendiri barangkali berfungsi sebagai pil paling mujarab sehingga beliau jauh terkebelakang daripada angka usia 52 tahun.

Bayangkan, selama hampir tiga jam, lincahnya tidak menampakkan lelah. Sungguh, sesiapa pun pasti kagum.

Tubuh genit wanita anak empat itu tidak tergugat. Dari gelanggangnya, akui Sheila, beliau menyedut semangat yang dimuntahkan bersama oleh penonton.

Di sudut yang agak jauh dengan pentas, kedekatan Sheila bagaimanapun dapat dirasai menerusi kuasa vokal dan personaliti humor miliknya. Tiba sahaja pada satu-satu judul hit yang didendangkan, keghairahan pada setiap tubuh seluruh hadirin dapat dirasai.

Masing-masing menari setempat, paling tidak ikut menyanyi melepaskan keterujaaan yang barangkali membuak-buak saat kali pertama diberitakan tentang penganjuran konsert solo Sheila itu.

“Malam ini, kita tiada garis panduan, anda boleh berdiri, menari dan menyanyi sesuka hati bersama saya, asal jangan naik ke pentas sudah,” laung Sheila pada awal persembahannya.

Di pentas yang sama 26 tahun lalu, di gelanggang itulah terciptanya sejarah peribadi buat anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Stadium Negara pernah menjadi saksi konsert solo pertamanya menerusi Konsert Lagenda pada November 1991. Singgah lagi buat kali keempat di pentas yang sama selepas Konsert Ratu (1996) dan Konsert Ku Mohon (1999), Sheila ternyata menunaikan impian peribadi bahkan seluruh peminatnya dalam visual yang sempurna di mata dan telinga semua.

Mempersembahkan Pengemis Muda sebagai mantera pembuka yang cukup ‘remaja’ susunan muziknya, emosi 1990-an mula menguasai suasana dengan lagu-lagu seperti Embun, Di Dalam Emosi Ini, Fikirkan Dulu, Tua Sebelum Waktu, Gerimis, Kepergianku dan Persis.

Dedikasi

Diselang-selikan dengan klip video dan celoteh gaya ‘mak ciknya’, Sheila dengan bergaya membawakan hiburan bertaraf antarabangsa tetapi berakar di bumi sendiri. Usai dua buah lagu iaitu Ratu dan Wanita, sebuah judul yang disifatkan cukup istimewa pada malam tersebut, Ku Mohon mengambil tempat di atas pentas.

Pernah dirakam penyanyi dari seberang, Afgansyah Reza yang turut hadir pada malam tersebut, Sheila tidak gagal daripada mendapat standing ovation daripada penonton.

Penonton pastinya terheret oleh betapa besarnya penghargaan Sheila Majid terhadap insan seni istimewa yang akan sentiasa harum di bumi Malaysia iaitu Allahyarham Johan Nawawi menerusi Jentayu.

Selain Lagenda yang menjadi antara lagu wajibnya, secara medley juga beberapa untaian seperti Aduh Sayang, Bila Larut Malam dan Jelingan Manja didedikasikan Sheila sebagai penghormatan buat Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee.

Antara yang mengusik kenangan pastinya lantunan lagu Wajah Rahsia Hati yang menyusul selepas klip video lakonan Sheila menerusi filem popular sepanjang zaman, Ali Setan.

Seperti yang diakui Mac Chew, salah satu cabaran paling besar sepanjang membikin konsert berkenaan ialah Sheila terlalu banyak hit. Dalam lebih 31 buah lagu yang didendangkan, judul seperti Cinta Jangan Kau Pergi, Antara Anyer dan Jakarta, Sparkle, Warna, Memori dan buah tangan terbaharu, Boneka yang disampaikan, diharapkan sudah cukup menghiburkan semua.

Melengkapkan persembahan, Sheila ibaratnya tidak akan dilepaskan dengan mudah jika tidak menyampaikan lagu Tunggu Sekejap, Aku Cinta Padamu dan semestinya, Sinaran.

“Saya mempunyai peminat yang terbaik di dunia,” kata Sheila merangkumkan kebahagiaan dan kelegaannya mengenai kehangatan sambutan yang diterima, saat ditemui usai konsert.

Buat pemujanya, setelah dijamu hidangan bertaraf mahakarya, sebuah perkhabaran gembira tentang perancangan konsert jelajah dunia Sheila Majid oleh IME Malaysia selaku penganjur menjadi bekalan pulang yang tidak kurang menggembirakan.

“Secara peribadinya saya adalah peminat Sheila, kami pernah membawakan konsert artis antarabangsa seperti bintang K-pop dan Mariah Carey ke Kuala Lumpur. Kami percaya artis Malaysia juga boleh dibawa ke luar negara. Untuk Sheila Majid, kami berhasrat mahu merealisasikan siri jelajah dunia pada 2018 dan 2019 nanti. Sebagai permulaan, sudah tentu ke negara jiran iaitu Indonesia kemudian diikuti dengan Singapura, Los Angeles, London dan Australia, Mungkin kami ke Taiwan dan Tokyo memandangkan Sheila sendiri pernah melancarkan album di Jepun satu ketika dahulu,” jelas Howard Kong, Pengarah Serantau IME Malaysia Asia.

Ibarat bintang jatuh di depan mata, kemunculan semula Ratu Jazz negara

di pentas ikonik, Stadium Negara menerusi Sheila Majid: The Concert Kuala Lumpur 2017 pada 5 Ogos lalu telah menunaikan sebuah impian dan janji seorang penghibur berkelas dunia. Untuk tempoh tiga atau lima tahun dari sekarang, penangan Sheila pada konsertnya hujung minggu lalu akan dikenang sebagai persembahan penuh spektakular daripada seorang penyanyi kebanggaan negara.

Post a Comment

Previous Post Next Post