Sekiranya tidak terikat dengan sebarang persembahan pentas, Datuk Yusni Hamid akan meluangkan masa dengan melakukan aktiviti kebajikan dan sukarelawan.
Uianya yang mencecah 66 tahun tidak menghalang pelantun lagu Kau Yang Ku Nanti, Datuk Yusni Hamid kekal aktif membuat persembahan pentas sekali gus meneruskan minat dalam dunia seni.
Beliau juga mengakui corak industri hiburan masa kini berbeza berbanding pada awal pembabitannya sekitar tahun 1960-an, terutama dalam soal penerimaan masyarakat terhadap kerjaya anak seni.
Katanya, kebanyakan penggiat seni dahulu terutamanya penyanyi terpaksa memilih untuk tidak terlalu menonjolkan diri terutama menerusi media massa kerana bimbang ia mungkin akan mencetuskan kemarahan ahli keluarga.
Situasi itu bagaimanapun berbeza apabila ramai golongan muda masa kini memilih untuk menceburi bidang seni dan menjadikan ia sebagai kerjaya tetap.
“Dahulu ramai ingin menjadi penyanyi tetapi tidak mahu mendedahkan diri kepada media kerana bimbang keluarga, terutamanya orang tua mereka naik berang dan ia juga turut berlaku kepada saya.
“Namun, peralihan masa menyebabkan corak pemikiran mereka mula berubah dan menerima kerjaya dalam bidang seni itu sebagai satu pekerjaan profesional,” katanya seraya mengukirkan senyuman.
Seiring dengan peralihan masa, beliau mengatakan bahawa dirinya tetap meluangkan masa untuk mengikuti perkembangan muzik semasa, terutama berkaitan kemunculan artis baharu.
Tambah penyanyi lagu Diwajahmu Ku Lihat Bulan itu lagi, mengikuti perkembangan industri hiburan dapat memberinya pendedahan kepada lagu baharu yang popular dalam kalangan peminat untuk didendangkan ketika membuat persembahan.
“Biarpun hampir lima dekad dalam industri tetapi saya tetap mendengar lagu baharu terutama cita rasa golongan belia masa kini selain memastikan tidak ketinggalan tentang perkembangan semasa artis masa kini,” jelasnya.
Dalam masa sama, Yusni turut menyuarakan pendapat tentang sikap segelintir penyanyi baharu yang berlagak sombong serta tidak menghormati artis veteran.
Tidak berniat meminta untuk disanjung mahupun menerima layanan seperti raja, tetapi bagi Yusni, sikap saling menghormati perlu ada dalam kalangan artis kerana ia penting untuk mencorak keperibadian seseorang.
“Saya tidak menyalahkan mereka sekiranya tidak bertegur sapa meskipun membuat persembahan dalam satu majlis yang sama. Kebanyakan mereka akan mengenali saya selepas membuat persembahan dan itu tidak menjadi masalah.
“Barangkali kerana saya penyanyi lama dan telah berubah imej menyebabkan mereka sukar untuk mengenali,” ujarnya sambil berseloroh dan melepaskan ketawa kecil.
Kerja amal
Selain aktif mengadakan persembahan, Yusni turut terlibat dengan aktiviti kebajikan dan sukarelawan. Cara itu tidak hanya memberinya peluang untuk meneroka sisi berbeza selain dunia hiburan, bahkan ia turut dapat menimbulkan kesedaran dalam diri.
“Sekiranya kelapangan, saya akan meluangkan masa dengan melakukan aktiviti sukarelawan seperti menceriakan pesakit di Hospital Kuala Lumpur. Tidak mengira sama ada penyakit kronik atau kanak-kanak, saya bersama kenalan lain akan berusaha menceriakan mereka.
“Selain mengisi masa lapang, aktiviti sukarelawan juga dapat mengajar kita tentang erti bersyukur dan saling bertukar pengalaman kehidupan masing-masing,” ulasnya yang berkebolehan menyanyikan lagu Inggeris, Cina, Hindi, Jepun, Perancis dan Sepanyol.