Untuk mendapatkan rawatan daripada pakar mata semasa dijangkiti kuman ketika penggambaran di India, Chacha perlu berulang-alik ke hospital yang terletak sejauh 200 kilometer dari lokasi penggambaran.
Sejak memulakan karier dalam bidang lakonan pada tahun 2012, tidak pernah terlintas dalam fikiran Chacha Maembong untuk bekerjasama dengan pelakon Bollywood menerusi sebuah filem.
Untung batu tenggelam, untung sabut timbul. Rezeki yang jatuh ke ribanya langsung tidak pernah terduga. Ternyata, kepercayaan yang diberikan rumah produksi White Merpati Entertainment, telah memberi anjakan baharu dalam portfolio seni pemilik nama lengkap Siti Aisyah Ismail itu.
Sering menghiasi drama tempatan, pada 5 Oktober depan, wanita berusia 21 tahun itu bakal tampil dengan debut filem lakonannya berjudul I’m Not A Terrorist.
Lebih manis, kenangan filem pertamanya itu disematkan dengan pengalaman berlakon bersama nama-nama besar dari Bollywood seperti Gulshan Grover, Rahul Dev dan Farida Jalal.
“Berlakon bersama pelakon Bollywood merupakan pengalaman yang paling tidak boleh dilupakan. Saya tidak sangka, ketika kecil saya sering menonton lakonan Farida Jalal, tetapi akhirnya diberi peluang berlakon bersama.
“Terima kasih kepada pihak produksi kerana mempercayai bakat lakonan saya yang masih hijau dalam industri ini,” katanya membuka bicara usai majlis pelancaran trailer filem berkenaan di Bandar Utama, Damansara baru-baru ini.
Cabaran
Terus berkongsi pengalaman berlakon bersama bintang Bollywood dalam filem arahan Arjin Upal berkenaan, Chacha tertawa kecil.
Dia yang membawakan watak Dayana teringatkan saat pertama kali bertemu dengan pelakon Gulshan Grover yang begitu terkenal sebagai penjahat dalam filem Bollywood.
“Saya sangat gementar ketika diperkenalkan oleh pihak produksi dengan Gulshan Grover. Ketika itu saya keliru bagaimana mahu menyapanya, adakah perlu bersalam, mencium tangan atau tidak?
“Bagaimanapun, perasaan gementar itu tidak lama. Gulshan merupakan seorang pelakon senior yang baik dan merendah diri. Dia banyak membantu memperbaiki lakonan saya dan begitu mengambil berat ketika mata saya dijangkiti kuman semasa penggambaran.
“Pendek kata, hubungan antara semua pelakon ibarat sebuah keluarga besar yang mesra,” kongsinya tersenyum.
Menjalani penggambaran selama 60 hari yang membabitkan sebanyak 30 peratus lokasi di Malaysia dan selebihnya di Kashmir, India, adik kepada pelakon Emma Maembong itu mengakui, segala cabaran yang dilalui sepanjang berada di India masih segar dalam ingatan.
Selain berdepan masalah kesihatan, pernah suatu ketika penggambaran perlu dihentikan serta-merta atas alasan keselamatan.
“Selepas seminggu penggambaran berlangsung, mata saya dijangkiti kuman mungkin kerana terkena pasir semasa terjatuh.
“Selain itu, cuaca di Kashmir yang sangat sejuk dan bersalji juga menjadi cabaran besar buat saya. Di sana, saya perlu memakai pakaian tradisi masyarakat Kashmir, namun baju itu tidak dapat menahan sejuk sehingga menyebabkan saya sukar menuturkan dialog.
“Bukan itu sahaja, cabaran yang paling besar dirasakan adalah apabila penggambaran terpaksa dihentikan serta-merta kerana berlaku serangan pengganas di kawasan berdekatan lokasi kami. Demi keselamatan semua pihak, kami tidak dibenarkan keluar dari hotel selama sehari,” katanya yang mengakui puas dengan hasil filem I’m Not A Terrorist selepas melalui semua cabaran berkenaan.
Cinta
Hadir ditemani seorang lelaki yang kelihatan begitu intim dengannya, pelakon drama rantaian Menantu Bilal itu kemudian diusik soalan nakal.
Sambil tersipu malu, Chacha mengakui lelaki yang sekadar mahu diperkenalkan sebagai Leslie itu merupakan teman istimewanya. Mereka sudah berkawan sejak setahun lalu.
“Ya saya akui kehidupan peribadi sekarang sangat bahagia dengan kehadiran teman-teman rapat dan insan istimewa.
“Saya dan Leslie mula rapat sejak setahun lalu setelah diperkenalkan oleh kakak angkat saya. Kami juga sudah bertemu dengan keluarga masing-masing dan mereka dapat menerima hubungan kami,” ujarnya bersulam bahagia.
Bercakap mengenai percintaan dengan jejaka berlainan agama yang berasal dari Miri, Sarawak itu, ujar Chacha, mereka cukup sedar perkara tersebut. Bahkan sebelum ini, Chacha dan Leslie pernah berbincang tentang kecaman netizen yang pastinya mempertikaikan hubungan mereka.
Chacha bagaimanapun tidak mahu mengendahkan kata-kata orang kerana hubungan yang dibina bersama lelaki berusia 27 tahun itu bukan sekadar suka-suka, tetapi serius melibatkan soal hati dan perasaan.
“Saya tahu, percintaan berlainan agama pasti akan menimbulkan pertikaian. Saya tidak mahu mengulas panjang hal ini kerana ia melibatkan soal hati. Setakat ini, kami menerima antara satu sama lain dengan seadanya.
“Kami juga pernah berbincang soal perkahwinan dan Leslie sendiri menunjukkan keterbukaannya untuk memeluk agama Islam apabila tiba masanya nanti,” terang Chacha.
Ditanya bilakah mereka akan menamatkan zaman bujang, jawabnya:
“Memang perancangan untuk berkahwin itu ada, tetapi kami berdua masih muda. Saya juga tidak mahu dikatakan langkah bendul, jadi biarlah kakak saya (Emma) yang berkahwin dulu.
“Saya harap peminat dapat mendoakan yang terbaik buat hubungan kami,” katanya.
Cedera
Dalam perkembangan lain, Jumaat lalu Chacha sempat dihubungi Kosmo! mengenai kecederaan ringan yang dialami pada tiga jari tangan kanannya.
Menurut pelakon yang sedang sibuk menjayakan drama rantaian Muzium Misteri untuk terbitan TV3 itu, semasa kejadian dia cuba menahan pintu kaca di balkoni rumahnya daripada terjatuh.
“Saya baru sahaja membuka pintu balkoni untuk memberi makan kucing peliharaan. Tiba-tiba, petir berdentum disusuli angin kencang menyebabkan pintu itu terjatuh.
“Saya cuba menahan namun kejadian berlaku terlalu pantas sehingga kaca pintu itu pecah. Pada awalnya saya tidak berasa sakit, tetapi terkejut apabila melihat darah sudah menitis dengan banyak. Ketika itu barulah saya sedar jari sudah luka,” kongsinya.
Kongsi Chacha juga, mujur ketika kejadian kakaknya sedang dalam perjalanan untuk melawatnya di rumah. Dia kemudiannya segera dibawa ke klinik berhampiran bagi mendapatkan rawatan.
“Luka yang saya alami ini sangat dalam sehingga doktor mencadangkan supaya menjalani pembedahan kecil, tetapi buat masa ini biarlah luka itu dijahit sahaja.
“Mujur saya sedang bercuti daripada penggambaran daripada Muzium Misteri. Mengikut jadual, penggambaran akan disambung pada 24 Ogos depan, tetapi disebabkan kecederaan ini mungkin saya perlu menyambung cuti supaya luka betul-betul sembuh,” katanya seraya menutup bicara.