Selepass tiga bulan berumah tangga, keharmonian kehidupan Hafiz Hamidun dan isterinya, Joy Revfa dipersoalkan selepas wanita itu memuat naik beberapa status sedih sejak kebelakangan ini.
Nama komposer dan penyanyi Hafiz Hamidun dan isterinya, Joy Revfa menjadi begitu hangat sepanjang minggu lalu. Semuanya gara-gara usahawan tersebut memuat naik beberapa status seperti melambangkan dirinya sedang bersedih dan menghadapi masalah rumah tangga. Ia menjadi lebih ‘panas’ apabila pemilik nama sebenar Siti Arifah Amin itu memuat naik satu status yang antaranya menegur tentang peranan seorang suami termasuk dalam pemberian nafkah batin.
Oleh kerana perkara tersebut ditulis dalam laman sosial, ia pantas menarik perhatian khalayak sehingga menimbulkan banyak spekulasi kurang manis mengenai rumah tangga penyanyi nasyid tersebut.
Tenang menjawab semua soalan yang dilontarkan, kata Hafiz, dia tidak punya jawapan defensif untuk menjelaskan keadaan rumah tangganya sekarang.
Kata Hafiz, 33, tidak timbul soal pergaduhan sebaliknya memberitahu, kontroversi itu berlaku kerana campur tangan daripada pihak luar yang memanipulasi keadaan sehingga menjadikan rumah tangganya nampak seperti bermasalah.
Malah, kisah ‘perseteruan’ mereka bagaimanapun dilihat sudah berakhir apabila menerusi laman Instagram, masing-masing sudah nampak ‘mesra’ dan menggunakan hashtag #HJ (HafizJoy).
Joy Revfa juga telah memadamkan status-status sedih yang menimbulkan spekulasi negatif dalam kalangan khalayak.
Ikuti penjelasan Hafiz ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
KOSMO!: Sudah beberapa minggu isu rumah tangga Hafiz menjadi perdebatan ramai sehingga mengakibatkan timbulnya desas-desus mengatakan hubungan anda bersama isteri berantakan. Boleh jelaskan mengenai perkara itu?
HAFIZ HAMIDUN: Saya sedar dengan kontroversi apabila ramai pihak mengatakan rumah tangga saya dilanda badai gara-gara luahan sedih isteri dalam laman sosial. Namun, apa yang boleh dijelaskan adalah segala yang berlaku selama ini tiada kaitan langsung dengan rumah tangga kami. Hakikatnya, saya dan isteri baik-baik saja. Semua ini terjadi kerana ada banyak campur tangan daripada pihak luar sehingga menjadikannya besar dan dibincangkan secara umum terutama di laman sosial.
Mengenai dakwaan anda mengalami masalah batin, apa yang boleh anda jelaskan tentang perkara itu?
Ya Allah. Semua ini mengarut. Saya tidak layan perkara-perkara sebegini. Malah, ia juga ditimbulkan oleh orang lain, bukannya datang daripada saya sendiri.
Dakwaan-dakwaan tersebut kebanyakannya timbul di laman sosial ditambah pula dengan komen-komen netizen yang menjadikan perkara ini lebih besar. Bagaimana anda melihat situasi ini?
Saya minta, jangan manipulasi masalah kami. Itu sahaja. Apabila isu ini menjadi perbincangan secara terbuka di laman sosial, serta-merta ia menimbulkan pelbagai spekulasi lain. Sekali gus mengeruhkan keadaan.
Perkara ini berlaku sejurus anda berkahwin dalam tempoh kurang empat bulan. Apa yang anda boleh katakan tentang situasi ini?
Barangkali ini salah satu cabaran hidup berumah tangga. Cuma saya sentiasa mengamalkan sikap positif dalam apa keadaan jua sekali pun.
Bagaimanakah anda mengawal penggunaan media sosial memandangkan baru-baru ini anda ada membalas komen isteri di Instagram sehingga menjadikan situasi ini semakin keruh?
Saya menjadi diri sendiri sama ada di luar mahupun dalam laman sosial. Saya sudah menggunakan laman sosial sejak sekian lama. Bagaimanapun, untuk isu ini, saya hanya membalas beberapa komen kepada peminat. Jadi, agak tidak adil jika orang ramai mahu menghakimi saya berdasarkan komen-komen tersebut. Kalau peminat yang benar-benar mengikuti perkembangan saya dalam laman sosial, mereka akan tahu bagaimana diri saya. Kalau ada yang tidak suka, tidak mengapa. Cukuplah jika mengambil manfaat daripada apa yang telah saya kongsikan selama ini.