Duit tepi stesen TV harus dihentikan


Jurey Latiff (dua dari kanan) bersama jawatankuasa tertinggi PTVM, Datuk A. Aida (kanan), Yusuf Kelana (dua kiri) dan Omar Ahmad (kiri) selepas pertemuan dengan pihak SPRM di Putrajaya baru-baru ini.

Amalan ‘duit tepi’ atau lebih menggerunkan iaitu rasuah yang ‘harus’ dihulurkan kepada ‘orang dalam’ sesebuah stesen televisyen (TV) oleh penerbit drama bagi melicinkan jalan kelulusan dan kemasukan karya mereka untuk siaran dikatakan semakin menular dalam industri.

Bimbang senario berkenaan akan membunuh kualiti dalam penerbitan drama televisyen tempatan, Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) mengambil inisiatif mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, baru-baru ini.

Presidennya, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, budaya pemberian duit tepi kepada stesen televisyen mampu membunuh industri.

“Isu duit tepi ini sudah lama kita dengar. Mungkin tiada pihak yang berani tampil memberi maklumat kerana takut ia bakal menjejaskan periuk nasi mereka.

“Sepatutnya, pihak stesen perlu mewujudkan persaingan secara sihat. Penerbit drama yang menghasilkan karya berkualiti perlu mendapat bayaran setimpal.

“Tetapi disebabkan adanya amalan duit tepi, karya yang tidak bagus masih mendapat waktu siaran. Jika berterusan, budaya ini akan merosakkan industri,” tegasnya usai perjumpaan bersama SPRM baru-baru ini.

Tambah Jurey, pertemuan berkenaan sebagai satu lawatan kerja bagi mengetahui prosedur sepatutnya dalam usaha membanteras isu yang semakin menular dalam industri.

Hasilnya, PTVM turut mengumumkan akan menjadi sebahagian daripada Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah atau lebih dikenali sebagai Sahabat Gerah.

Lebih menarik, pihak SPRM telah mengadakan satu sesi taklimat khas dan majlis dialog kepada ahli PTVM bersempena dengan mesyuarat agung tahunan persatuan berkenaan yang diadakan pada 15 Ogos lalu.

Pendedahan

Penganjuran sesi dialog berkenaan bertujuan mendidik setiap ahli persatuan, sekali gus golongan karyawan agar berani tampil bersuara.

“Taklimat khas itu pertama kali dilakukan dalam industri. Kesedaran perlu dititikberatkan dan pengetahuan bagaimana hendak melaporkan isu duit tepi harus diberi agar kita dapat membanteras amalan buruk itu sehingga ke akar umbi.

“Kami bukan menuduh mana-mana stesen televisyen tetapi lebih kepada ingin meningkatkan kesedaran kepada pihak berkenaan agar tiada lagi tangan yang memberi dan menerima,” katanya.

Sebelum menutup bicara, Jurey turut mengalu-alukan mana-mana pihak agar berani tampil memberi maklumat terperinci sama ada kepada SPRM atau persatuan sendiri berhubung rasuah supaya siasatan lanjut boleh dilakukan.

Menyokong kenyataan tersebut ialah Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Samad Kasah. Katanya, setiap pemberi maklumat akan dilindungi bawah akta perlindungan badan tersebut.

“Ada dua akta yang diwujudkan untuk kes seperti ini iaitu Akta Perlindungan Saksi 2009 (Akta 696) dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) bagi menjamin identiti pemberi maklumat.

“Jadi jangan takut untuk ke depan kerana perubahan bermula daripada anda. Kami hanya boleh bertindak jika anda melaporkan ada kes rasuah berlaku,” katanya pada sesi Taklimat dan Dialog SPRM Bersama Penggiat Seni di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional, Hulu Kelang, baru-baru ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post