TELAH mengikat tali pertunangan pada November tahun lepas, Putri Najuwa dan Mohamad Zaid bakal disatukan dalam sebuah majlis akad nikah pada 22 September depan.
SELEPAS enam tahun menyulam cinta, akhirnya pelakon Putri Najuwa mengesahkan bakal menamatkan zaman bujang bersama pilihan hati pada September depan.
Putri Najuwa, 32, bakal bergelar isteri kepada Mohamad Zaid Samsuri, 34, dalam sebuah majlis akad nikah yang diadakan di kediaman keluarganya di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.
Terdahulu, pasangan itu telah mengikat tali pertunangan pada bulan November tahun lalu.
Bertemu pada majlis pelancaran trailer filem lakonannya berjudul Dubai My Love baru-baru ini, pelakon drama Waris Kasih itu berkongsi tentang persiapan perkahwinannya yang berbaki kurang dua bulan dari sekarang.
KOSMO!: Boleh kongsikan dengan lanjut mengenai perancangan majlis perkahwinan Putri Najuwa?
PUTRI NAJUWA: Insya-Allah, saya akan melangsungkan perkahwinan pada 22 September depan dalam sebuah majlis akad nikah di kediaman ibu bapa saya. Pada keesokan harinya pula (23 September), barulah kami diraikan dalam sebuah majlis resepsi yang diadakan secara sederhana bertempat di Mercu Mustapha Kamal, Petaling Jaya, Selangor.
Jika tidak keberatan, boleh anda ceritakan tempoh perkenalan bersama bakal suami dan apakah ciri-ciri istimewa yang ada padanya?
Kami sudah berkawan selama 10 tahun dan bergelar kekasih selama enam tahun. Dia masih bujang dan merupakan seorang ahli perniagaan. Satu hal yang membuatkan saya terpikat adalah sikapnya penyayang dan bertanggungjawab terhadap ibunya.
Kata orang, kalau mahu cari suami yang baik, perlu lihat daripada cara dia menjaga ibunya. Dia meyakinkan saya apabila mengutamakan ibunya lebih daripada segala-galanya.
Berbalik mengenai karier pula, boleh ceritakan lanjut tentang penglibatan anda dalam filem Dubai My Love?
Dalam filem arahan Aidilfitri Mohamed Yunos itu, saya memegang watak sebagai Mariam yang merupakan kekasih kepada Amar (Erwin Dawson). Kami menghabiskan masa selama dua minggu untuk penggambaran di Dubai. Pada waktu itu, antara cabaran yang kami terpaksa tempuhi adalah berdepan dengan cuaca sejuk.
Pakaian pula bukanlah pakaian tebal sebaliknya hanya baju biasa. Lebih mencabar apabila ada babak di padang pasir. Bayangkan, dalam cuaca yang sejuk ditambah pula dengan angin dan ketiadaan pokok di kawasan sekitar untuk berlindung, ia menjadi cabaran terbesar kami sepanjang penggambaran.
Sudah lama terlibat dalam industri tetapi sayangnya, sehingga kini nama anda kurang menyerlah. Adakah filem berkenaan diharapkan menjadi platform dan mampu memberi lonjakan positif buat karier anda?
Perkara pertama saya harapkan adalah penerimaan yang bagus daripada penonton. Pada masa sama, saya meletakkan harapan agar peminat mengenali siapa Putri Najuwa.
Bukannya terlalu berharap tetapi kalau boleh saya mahu peminat kenal saya selepas berbelas tahun berada dalam industri. Walau bagaimanapun, saya tetap selesa hidup secara sederhana seperti ini. Saya sedikit pun tidak kisah jika orang tidak kenali, lagipun saya gemarkan kehidupan yang privasi.
Dahulu anda pernah berhenti berlakon buat seketika sebelum kembali aktif. Adakah perkara itu juga menjadi punca nama anda sukar dikenali?
Dahulu saya pernah berhenti berlakon sebab berasakan dunia lakonan sangat memenatkan dan membosankan. Jadi, saya ambil keputusan untuk bekerja dengan syarikat milik keluarga iaitu agensi pelancongan.
Selepas itu saya menyedari bahawa kerja di pejabat bukanlah dunia saya. Tidak lama kemudian, saya kembali ke dalam industri menerusi drama Playboy Itu Suami Aku.
Disebabkan tidak menggunakan khidmat pengurus, menjadi itu salah sebab saya kurang menyerlah dalam industri. Sebab itu saya merancang untuk mencari seorang pengurus bagi mengendalikan hal ehwal karier memandangkan tahun ini saya kembali aktif dalam lakonan apabila terlibat dengan dua buah drama iaitu Sedingin Cinta Antasia dan Ana Cleo Patrina untuk siaran HyppTV.