Afifah Nasir kena minta maaf terbuka


SEBAHAGIAN besar netizen menggesa Afifah Nasir meminta maaf secara terbuka selepas dia keluar berdua dengan pelakon Singapura, Aliff Aziz di sebuah pusat karaoke di Cheras, dekat sini, Khamis lalu hingga mencetus kontroversi.

Aliff yang mengadakan sidang media bersama isterinya, Bella Astillah di Bukit Jelutong, Shah Alam, hari ini, mengaku mereka keluar bukan atas urusan kerja seperti didakwa.

Sidang media yang bersiaran langsung menerusi Facebook Harian Metro itu disaksikan hampir 800,000 pelayar Internet dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

Tidak kurang juga yang mahu kakak Afifah, Anzalna yang juga pelakon meminta maaf terhadap Bella kerana mengeluarkan kenyataan seolah menuduh wanita itu diserang meroyan selepas bersalin ketika membalas komen seorang pengikut di Instagram, Khamis lalu.

Komen Anzalna menerima kecaman hebat daripada netizen sebelum pelakon itu bertindak meletakkan akaun Instagram miliknya dalam mod privasi bagi mengelak keadaan bertambah keruh.

Terdahulu, Anzalna memuat naik status di Instagram memberitahu menyiasat dakwaan Afifah menjalin hubungan sulit dengan Aliff dan mahu adiknya meminta maaf serta bertaubat sekiranya didapati bersalah.

Susulan itu, ada pihak tidak bertanggungjawab mewujudkan akaun palsu menggunakan nama Afifah dan menjadi tempat netizen meluahkan perasaan marah.

Isu terbabit semenjak tular di media sosial turut menempias pelakon Rozita Che Wan, Almy Nadia dan isteri Shukri Yahaya, Tya Adnan dengan memuat status di Instagram seolah-olah memberi amaran kepada wanita lain supaya tidak menganggu suami mereka.

Dalam pada itu, ramai netizen memuji tindakan Bella memaafkan Aliff dan mendoakan pasangan terbabit berdamai.

Sementara itu, Anzalna ketika dihubungi enggan memberikan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.

"Saya minta maaf kerana tidak dapat memberikan sebarang kenyataan buat masa ini. Ia juga sebagai menghormati pendirian keluarga saya terutamanya bapa yang mahu keadaan reda terlebih dulu,” katanya.

Anzalna berkata, adiknya Afifah kini dalam keadaan tidak sihat.

“Saya amat menghargai toleransi pihak media yang bersabar untuk mendapatkan kenyataan daripada Afifah,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post