MASIH SOLO - Mengakui kesibukan masa menjadi punca dirinya masih solo tanpa teman istimewa, Aedy Ashraf bagaimanapun belum terfikir ke arah itu secara serius kerana sasarannya adalah memastikan keluarga hidup senang.
BERSULAM kontroversi dan berselang-seli dengan kritikan negatif peminat, itu adalah lumrah dan asam garam yang ‘wajib’ ditelan oleh anak seni. Setiap percaturan langkah atau tindakan yang dilakukan tanpa berfikir panjang pasti memberi impak besar kepada mereka.
Ibaratnya, terlalu banyak mata-mata yang menjadi pemerhati sekali gus bertindak selaku hakim dalam menilai segala tindak-tanduk yang dibuat oleh selebriti. Tersilap langkah, buruk padahnya.
Pelakon Aedy Ashraf tidak terkecuali daripada menjadi bahan kritikan umum lantaran keterbukaannya menayang susuk tubuh di laman Instagram sehingga mengundang pelbagai reaksi daripada peminat.
Ada yang memuji, namun tidak kurang juga ramai mengeji kerana menyifatkan tindakan yang dilakukan pemilik nama sebenar Mohammed Addy Ashraf Rosmadi itu kurang manis.
Selain menjelaskan tentang kontroversi yang menerjah dalam kamus kariernya, kesempatan bertemu Aedy pada majlis sambutan hari raya syarikat produksi Global Station Sdn. Bhd. baru-baru ini turut membicarakan perkembangan terkini serta perancangan masa depannya dalam industri.
Tayang badan
Ditebak tentang isu yang berlaku sekitar Jun lalu, pelakon drama bersiri Oh! My English itu melenturkan senyuman sebelum mengatur jawapan.
“Apa yang saya tunjuk di laman sosial itu adalah diri saya. Selepas penat bina badan berjam-jam di gimnasium, sudah tentu saya mahu tunjuk apa yang saya berjaya lakukan.
“Ini bukan soal mahu sengaja buka baju atau cipta kontroversi, tetapi apa yang kalian nampak di Instagram itulah kehidupan saya yang cukup ringkas.
“Kalau mahu tengok, silakan. Kalau tidak mahu pun, tidak mengapa. Mulut orang saya tidak mampu tutup dan mereka boleh bercakap apa sahaja,” jelasnya yang mengakui tidak pernah mengendahkan setiap kritikan yang diterimanya berhubung isu tersebut.
Sejak isu tersebut menjadi perbualan, timbul dakwaan lain mengenai pelakon drama Suamiku Paling Sweet itu. Dia yang dikatakan sukar didekati pihak media bagi mendapatkan penjelasan terperinci.
Bukan takut atau mengelak, namun satu hal yang ditekankan dalam hidupnya adalah mengutamakan karier berbanding kontroversi.
“Saya tidak mahu cerita berkaitan kontroversi atau isu sebegini membuatkan nama (populariti) lebih menyerlah berbanding hasil lakonan.
“Bidang seni adalah kecintaan utama saya. Bukannya tidak mahu ditemu ramah, tetapi buat masa sekarang saya masih belum ada apa-apa cerita tentang pencapaian karier yang boleh dijual kepada pihak media. Saya mahu pertaruhkan bakat, bukan perkara lain,” tutur lembut bersulam ketegasan.
Pembantu
Tempoh pembabitan Aedy dalam industri bukan baru setahun dua, sementelah dia sudah cukup lama mengenal asam garam dunia hiburan apabila mula aktif dalam gelanggang seni sejak berusia lapan tahun.
Selain filem Tentang Bulan (2006) yang menaikkan namanya sebagai antara pelakon cilik popular pada waktu tersebut, terdapat banyak lagi rantaian drama bersiri dan filem yang pernah dibintanginya.
Antaranya adalah filem Tangkai Jering dan Cinta Kolesterol. Drama-drama lakonan Aedy pula termasuklah Cinta Elysa, Sepasang Songket Biru, Cerita Adam, Kerana Terpaksa Aku Relakan dan Lara Aishah.
Biarpun sudah menempa nama dalam industri, namun agak jarang Aedy dilihat memainkan peranan sebagai watak utama melainkan sekadar pelakon pembantu.
Bukan posisi yang menjadi rebutan buatnya, apa yang penting bagi jejaka berusia 24 tahun itu adalah bagaimana menterjemah peranan pelakon pembantu dengan cemerlang setara dengan pelakon utama.
“Watak utama atau pembantu, itu bukan soalnya. Saya langsung tiada masalah kalau diberi watak pembantu asalkan masih dapat meneruskan hidup seperti biasa.
“Kadangkala, satu perkara yang orang terlepas pandang adalah watak pembantu juga boleh memainkan peranan sama besar dengan pelakon utama.
“Bagi saya, secara peribadi watak pembantu lebih mencabar sebab pelakon perlu bekerja keras untuk meninggalkan impak yang sama hebat dengan barisan pelakon utama,” ujarnya yang mengakui watak pelakon utama juga boleh memberi impak negatif kepada sesetengah pelakon sekiranya tidak berjaya memainkan peranan dengan baik.
Pengarah
Menyedari dunia hiburan yang ada pasang surutnya, Aedy tidak mahu terleka. Dia memasang impian untuk mencapai cita-citanya bergelar pengarah suatu hari nanti.
Impian tersebut dilihat semakin cerah apabila berpeluang mengarahkan sendiri babak lakonannya dalam drama Papa Nak Menantu yang bakal disiarkan di TV3 tidak lama lagi.
“Waktu itu kami mengadakan penggambaran di London. Kemudian, penerbitnya, Md. Fadzil Teh memberi peluang untuk mengarah sendiri babak yang membabitkan saya.
“Selain minat, ini juga impian saya sebab jika diikutkan, sampai bila saya akan berada pada takuk lama iaitu berlakon. Berlakon tetap akan saya lakukan sampai bila-bila, tetapi dunia pengarahan adalah cabang baharu yang saya mahu teroka,” katanya yang banyak belajar tentang dunia pengarahan melalui pembacaan dan menonton filem.
Usia yang masih muda, tiada pengalaman bahkan cetek ilmu untuk bergelar pengarah menyedarkan Aedy bahawa dia memerlukan masa yang panjang untuk mempersiapkan diri.
“Kalau bergelar pengarah, saya tidak mahu menghasilkan karya cinta semata-mata, sebaliknya berminat dengan genre bebas. Bagi saya, kebanyakan pengarah yang berjaya menghasilkan naskhah terbaik adalah mereka yang menjadikan kisah sendiri sebagai subjek penceritaan.
“Itulah yang saya idamkan. Kalau saya bergelar pengarah, saya suka menggambarkan cerita mengenai kehidupan. Pendek kata, saya tidak mahu menjadi pengarah kalau nanti apa yang saya buat sama sahaja dengan orang lain,” ujarnya yang merancang untuk menyambung pengajian dalam bidang pengarahan suatu masa nanti.