Penyanyi dan pelakon popular Ayda Jebat menafikan dia menolak tawaran menyertai program Akademi Fantasia Megastar AF (AF Megastar) tahun ini kerana berkecil hati dengan produksi Akademi Fantasia (AF) yang pernah menyingkirkannya dalam AF musim ke-9 lalu.
Ayda berkata, keputusan itu dibuat kerana jadual kerjanya padat hingga awal tahun depan.
“Ia bukan disebabkan desas-desus mengatakan saya berkecil hati. Faham-faham sajalah komitmen yang perlu diberikan apabila terbabit dalam program AF.
“Mana mungkin saya dapat memberikan tumpuan dengan sedikti masa yang ada," katanya.
AF Megastar adalah program realiti terbaru terbitan Astro yang menghimpunkan kembali bekas-bekas peserta AF musim pertama pada 2003 hingga AF13 tahun lalu.
Ayda berkata, dia tidak sedikit kecewa kerana terpaksa menolak peluang itu dan yakin lebih ramai bintang AF memerlukan platform AF Megastar untuk membuat 'comeback' sekali gus membuktikan kebolehan mereka.
"Ramai bekas peserta AF yang bagus-bagus tetapi tidak diberikan peluang dan kesempatan untuk menyerlahkan bakat sebenar mereka. Jadi, saya merasakan mereka lebih perlukan platform ini berbanding dengan saya,” katanya.
Ayda berkata, walaupun ketika AF9 dia tidak diberikan peluang apabila pihak produksi terpaksa menyingkirkannya atau adiknya Fina.
“Ketika itu saya ambik keputusan untuk mengalah. Saya bersyukur kerana perjalanan kerjaya seni saya sangat baik selepas itu,”katanya.