Ibu kepada pelakon Qazem Nor meninggal dunia pada usia 90 tahun akibat leukemia di Hospital Ampang, Kuala Lumpur pada jam 2.57 petang, hari ini.
Siti Norijah Mohd Nuri disahkan mengidap penyakit itu sejak dua tahun lalu dan pernah dimasukkan ke hospital tahun lalu.
Qazem, 44, ketika dihubungi berkata, jika diikutkan ibunya sudah sembuh daripada penyakit itu dan dibenarkan dibawa pulang ke rumah.
“Bagaimanapun, doktor berpesan jika leukemia itu kembali menyerang arwah, dia tidak dapat lagi menjalani rawatan kemoterapi kerana faktor usia," katanya.
Qazem berkata, dia sempat berjumpa arwah ibunya buat kali terakhir walaupun sibuk di lokasi penggambaran filem Enjin No 9 di Bentong, Pahang.
Menurut Qazem, ibunya mula tenat pada sebelah pagi di kediaman adiknya di Keramat sebelum dibawa ke zon kecemasan hospital sama tengah hari hari ini.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Keramat, hari ini.