Perpisahan pelakon Chris Pratt dengan isterinya, Anna Faris mengemparkan Hollywood berikutan ramai menyangka pasangan itu akan kekal hingga ke akhir hayat.
Chris, 38 dan Faris, 40, mengumumkan perpisahan mereka di media sosial pada 6 Ogos lalu selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan anak lelaki bernama Jack yang kini berusia lima tahun. Keputusan pasangan terbabit bukan saja mengejutkan peminat di seluruh dunia tetapi juga Faris yang dikatakan sukar menerima hakikat.
Sumber memberitahu Hollywoodlife.com, Faris memikirkan masa depannya tanpa Pratt di sisinya.
“Dia ingat akan bersama suaminya sehingga ke akhir hayat dan Faris sedih terpaksa bercerai. Namun, itu saja pilihannya kerana situasi mereka sangat teruk,” katanya.
Menurut sumber itu, Faris mendakwa Pratt mula berubah sikap dan kerap meluangkan lebih banyak masa di luar sejak menjadi terkenal.
Sementara itu, sumber berbeza memberitahu Pratt belum bersedia untuk berpindah dari rumahnya.
“Dia melengah-lengahkan untuk berpindah kerana rumah itu mempunyai banyak nilai sentimental. Mengemas barangnya adalah perkara yang tidak ingin difikirkannya sekarang,” katanya.