Siti Sarah tunggu masa sesuai


Siti Sarah, Shuib dan tiga anak mereka, Uwais Alqarni, 6, Dzahira Talita Zahra, 3, dan Ariq Matin, setahun lima bulan teruja melayan tetamu yang hadir ke kediaman mereka sempena sambutan rumah terbuka raya yang dianjurkan pada minggu terakhir Syawal.

SELEPAS hampir setahun lebih membuat kemunculan semula dalam industri menerusi penyertaan dalam program Gegar Vaganza musim ketiga (GV3), penyanyi Siti Sarah masih belum muncul dengan sebarang single terbaharu.

Berbanding rakan seperjuangan lain yang sudah pun tampil dengan buah tangan terbaharu, Sarah mengakui masih menunggu masa yang sesuai sebelum benar-benar bersedia.

“Secara jujur, saya memang berasa rugi kerana agak lambat mengatur strategi. Namun, jika difikirkan secara menyeluruh, saya perlu ambil kira beberapa faktor.

“Perkara pertama yang saya fikirkan adalah adakah lagu yang saya akan keluarkan itu nanti benar-benar meninggalkan impak kepada pendengar dan industri?

“Kalau mahu keluarkan lagu, bila-bila masa dan apa jenis lagu pun saya boleh keluarkan. Namun saya sangat menekankan kualiti dan tidak mahu mengeluarkan lagu semata-mata mahu memenuhi ‘syarat’ selepas tamat GV3,” jelasnya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka bersama keluarga di Puchong, Selangor baru-baru ini.

Tambah pelantun lagu Kesetiaan itu lagi, dia kini sedang sibuk mengumpul material terbaik untuk dikeluarkan.

Pentingkan kualiti

Akuinya, dia mendapat banyak lagu daripada komposer tetapi ada antaranya tidak sesuai dengan dirinya.

“Buat masa sekarang, ada sebuah lagu duet bersama Tam Spider yang sudah siap tetapi menunggu masa untuk dikeluarkan.

“Lagipun, sebelum ini saya sudah lama meninggalkan industri. Jadi, saya meletakkan kepercayaan yang penuh kepada pihak syarikat pengurusan Indigital bagi hal berkaitan lagu,” ujarnya mesra.

Selain sibuk dengan kerjaya seni, penyanyi berusia 33 tahun itu juga tidak menang tangan menguruskan perniagaan produk kesihatan yang diusahakannya.

Bergelar isteri dan ibu kepada tiga cahaya mata serta mempunyai kerjaya yang sibuk bukan sesuatu yang mudah untuk diuruskan. Namun, berkat kesefahaman antara suami isteri membuatkan semuanya berjalan dengan lancar.

“Tidak dinafikan, dalam satu hari banyak perkara yang mahu diuruskan termasuk keluarga, bisnes dan kerjaya. Namun, saya bersyukur sebab setiap bahagian kerja yang saya lakukan disokong oleh kumpulan tenaga kerja yang bagus.

“Sebab itu saya tiada masalah untuk menguruskan setiap satu daripadanya dengan baik memandangkan suami juga sangat membantu dalam hal rumah tangga,” katanya.

Diusik dengan soalan berkaitan pertambahan zuriat pada masa akan datang, Sarah hanya ketawa mesra.

Ujar isteri kepada Shuib Sepahtu itu, buat masa sekarang dia masih belum terfikir mengenai zuriat keempat memandangkan anak ketiganya, Ariq Matin baru sahaja berusia setahun lima bulan.

“Kalau berbicara tentang soal zuriat, kita sebagai manusia memang tidak boleh cakap apa sebab ia semuanya datang dari Tuhan. Untuk merancang anak keempat, masih belum lagi buat masa sekarang.

“Bagaimanapun, saya mengaku proses kelahiran ketiga-tiga anak sebelum ini memang menyakitkan sebab saya bersalin secara pembedahan. Jadi, buat masa sekarang jawapannya tidak tetapi kita tidak tahu soal rezeki,” tutupnya mesra.

Post a Comment

Previous Post Next Post