Acappan, Saya masih perlu masa


Acappan mengaku selesa mendalami Islam dan akan mengumumkan sekiranya benar dia sudah memeluk agama suci ini.

Bulan Ramadan tahun ini menandakan genap setahun tersebarnya kontroversi melibatkan pelawak, Acappan yang dikatakan memeluk Islam dan menggemparkan industri hiburan tempatan.

Sudah beberapa kali tampil menafikan perkara tersebut, namun itu bukanlah satu petanda bahawa pemilik nama Samynathan Rethinan itu berhenti terus daripada mendalami Islam.

Malah dia masih mengekalkan hubungan baik dengan semua sahabat-sahabat Melayu dan beragama Islam selepas kejadian tersebut tanpa menyimpan sebarang dendam.

Ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Seniman bersama Masyarakat di FINAS, Ulu Klang baru-baru ini, lelaki berusia 59 tahun itu masih ramah melayan persoalan tentang hala tuju agamanya buat masa sekarang.

KOSMO!: Bagaimanakah kehidupan selepas kontroversi memeluk Islam itu berlaku?

ACAPPAN: Saya akui keluarga saya masih lagi trauma dengan peristiwa itu dan saya mengambil masa untuk meyakinkan mereka untuk mempercayai saya. Tetapi itu perkara biasa kerana menjadi seorang selebriti memang banyak perkara yang tidak dijangka akan berlaku.

Adakah anda sudah berhenti mendalami agama Islam selepas cerita ini tersebar?

Tidak kerana saya tidak menemui sebab untuk berhenti belajar tentang ilmu baharu ini. Ya, saya memang masih tidak bersedia untuk menukar agama tetapi itu kerana saya berasakan masih banyak perkara yang saya perlu benar-benar fahami sebelum mengambil keputusan sebesar itu.

Selama manakah anda memberi tempoh kepada diri sebelum bersedia menukar agama?

Saya akan mengambil sebanyak mana masa yang saya perlu sehingga ada petunjuk daripada Tuhan bahawa inilah yang terbaik buat saya. Saya tidak kisah orang mengatakan usia semakin lanjut jadi saya perlu cepat-cepat membuat keputusan kerana ini ialah kehidupan saya jadi biar saya tentukan masa yang sesuai.

Bagaimana hubungan anda dengan rakan-rakan beragama Islam lain?

Masih baik seperti biasa malah semakin erat selepas insiden tersebut. Meskipun saya sedikit kecewa dengan penyebaran cerita tidak betul itu tetapi saya tidak boleh memutuskan pertalian silaturahim dengan sahabat handai saya yang lain. Apa yang terjadi bukan salah mereka namun ia tetap menjadi peringatan serta pengajaran buat kami semua.

Jika perkara ini (menukar agama) berlaku suatu hari nanti, adakah anda akan bersikap terbuka tentangnya?

Ya, pasti tetapi dengan cara saya. Biar semuanya datang daripada mulut saya sendiri dan mengikut cara yang betul. Saya mohon jangan jadikan isu agama ini sebagai satu gurauan kerana ia sesuatu yang suci dan tidak molek dikotorkan dengan memviralkan berita sensitif seperti ini tanpa disahkan terlebih dahulu.

Bercakap soal kerjaya seni anda, adakah ia berjalan dengan baik?

Secara jujurnya, kerjaya saya memang semakin suram kerana tawaran banyak diberikan kepada pelawak baharu sehingga produksi terlupa akan kewujudan orang lama. Saya harap pihak di luar sana tahu walaupun golongan senior sudah jarang kelihatan tapi kami masih aktif dan mahu bekerja.

Post a Comment

Previous Post Next Post