LAKONAN - Biarpun sudah berada dalam industri melebihi tempoh satu dekad, namun Intan tetap merasakan dirinya masih perlu belajar banyak perkara, terutamanya dalam bidang lakonan.
BERTEMU dengan wanita tinggi lampai ini ketika majlis rumah terbuka anjuran Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia di Utusan Melayu baru-baru ini, tingkahnya mesra menyapa hampir semua rakan media yang dikenali.
Ternyata kesempatan pada hari itu tidak dilepaskan untuk berbicara panjang bersama pemenang tempat kelima dalam pertandingan Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) yang melabuhkan tirainya sekitar penghujung tahun lalu.
Mengakui kerjaya seninya kembali mekar menerusi platform pertandingan nyanyian terbitan Astro itu, Intan Sarafina atau nama lengkapnya, Ungku Intan Sarafina Ungku Yahya tidak mahu menoleh ke belakang lagi.
Bagi wanita berusia 36 tahun itu, sudah tiba masanya untuk melenyapkan kemarau sejak dari tahun 2002 tanpa sebarang produk seni.
“Saya baru merakamkan sebuah lagu baharu. Tidak lama lagi saya akan memulakan sesi rakaman untuk klip videonya pula.
“Jika tiada sebarang halangan, lagu berjudul Jika Aku Untukmu ini akan dilancarkan pada bulan Ogos depan,” katanya mesra membuka bicara.
Tambah Intan, karya perdana selepas dia menyertai GV3 itu merupakan ciptaan Farouk Roman dan lirik daripada Amylea Azizan.
Mengambil masa selama lapan bulan untuk melancarkan single baharu berkonsepkan balada, ujar pelantun lagu Duhai Malam itu semuanya adalah disebabkan dia mahu karya yang berkualiti untuk peminatnya.
“Sebenarnya saya sudah merakamkan tiga buah lagu sebelum ini tetapi syarikat pengurusan memilih untuk melancarkan lagu Jika Aku Untukmu terlebih dahulu memandangkan ia bersesuaian dengan pasaran muzik sekarang.
“Saya sedar tempoh lapan bulan selepas GV3 memang masa panjang untuk sebuah single. Pun begitu, saya tidak kisah kerana betul-betul mahukan karya yang terbaik untuk dihidangkan kepada peminat,” ujarnya yakin.
Debaran
Meneruskan bicara, Intan turut berkongsi debaran menantikan maklum balas peminat terhadap lagu baharu itu nanti.
“Jika ditanya, memang saya akui sungguh berdebar menantikan reaksi peminat. Maklumlah sudah 15 tahun saya tiada sebarang album atau lagu.
“Pada masa sama, saya tetap teruja kerana peminat sering bertanya dan ternanti-nanti lagu baharu ini. Saya harap peminat dapat menerima lagu ini dengan baik,” katanya.
Ditanya tentang graf perjalanan seni selepas kembali aktif, wanita itu menguntum senyuman bahagia. Menurut Intan, jadual seninya kini kembali terisi dengan pelbagai jemputan untuk mengadakan persembahan.
“Selepas GV3, jadual saya kembali sibuk seperti mengadakan persembahan di majlis-majlis khas dan undangan untuk sesi fotografi.
“Baru-baru ini juga saya terlibat dalam lakonan sebuah telefilem bersama Zarul Umbrella. Judulnya Misteri Sofa Lama.
“Jika boleh saya ingin peminat tahu saya ada dalam industri ini. Saya tidak mahu senyap semula, jadi saya akan terus aktif dalam nyanyian dan lakonan,” terangnya panjang lebar.
Tambah ahli
Membawa perbualan ke arah peribadi, sebagai isteri, Intan bersyukur kerana mempunyai suami, Iskandar Ezzahuddin Ahmad Zulkiflee yang sangat memahami kerjayanya.
Bukan itu sahaja, tiga orang permata hatinya iaitu Megat Evan Raez, 8, Megat Ifrafel Raez, 6, dan Megat Noah Raez berusia tiga tahun juga sudah mula memahami kerjaya ibu mereka.
“Alhamdulillah, saya mempunyai suami yang sangat faham dan menyokong kerjaya seni. Suami memang tahu minat saya terhadap bidang ini, jadi dia tidak henti-henti memberi galakan agar tidak mensia-siakan bakat yang ada.
“Anak-anak saya pula, pada mulanya mereka sedih apabila sering ditinggalkan kerana saya perlu bekerja. Bagaimanapun, mereka anak-anak yang cepat memahami dan sudah terbiasa dengan situasi kerja saya,” terangnya.
Sengaja diusik soal perancangan menambah ahli baharu dalam keluarganya, Intan kemudian hanya tertawa kecil.
Bagi wanita kelahiran Johor itu, cukup sekadar tiga orang cahaya mata yang sudah menggamatkan suasana dalam keluarganya.
“Buat masa ini saya dan suami tidak pernah merancang untuk menambah ahli baharu. Cukuplah tiga orang anak buat masa ini. Bagaimanapun, jika Allah mahu beri rezeki kami terima sahaja.
“Rasanya sudah tiba masa untuk memberi fokus kepada karier pula memandangkan saya juga dalam perancangan untuk melahirkan sebuah album mini,” kongsinya.
Bercerita mengenai album berkenaan, tambah Intan lagi: “Seperti diketahui saya sudah merakamkan tiga buah lagu, jadi buat masa ini saya sedang mencari material untuk menghasilkan dua buah lagu baharu lagi.
“Pada kebiasaannya, album mini hanya memerlukan sekurang-kurangnya lima buah lagu sahaja.
“Pada saya album ini menarik, selain daripada lagu balada, saya juga telah merakamkan sebuah lagu ciptaan Ippo Hafiz yang berkonsepkan pop.”