Platonik Aidilfitri Redza Rosli & Ayda Jebat #redzayda


KISAH platonik yang terukir antara Redza Rosli dan Ayda Jebat bukan lagi rahsia dalam kalangan peminat terutamanya ramai yang mahu mereka benar-benar bercinta selepas bergandingan bersama dalam drama Ku Kirim Cinta yang meletup di kaca televisyen sejak Ramadan lalu.

Waima tidak pernah walau sekelumit kata-kata cinta terbit daripada bibir pasangan ini, gerak bahasa tubuh masing-masing seakan-akan bercerita betapa mereka berada dalam satu fasa yang cukup membahagiakan sehingga digelar #redzayda dalam kalangan peminat.

Bersama Sensasi Bintang, pasangan berusia 25 tahun ini berbicara lebih lanjut berhubung perkara itu, selain berkongsi momen terindah masing-masing mengenai sambutan Aidilfitri pada kali ini.

SENSASI BINTANG: Kemesraan kalian bukan lagi rahsia dalam kalangan peminat selepas bergandingan dalam drama Ku Kirim Cinta. Komen?

REDZA ROSLI: Kami masih dalam proses mengenali antara satu sama lain. Jika itu takdir, saya terima. Kami juga tidak pernah berbincang ke arah itu, cuma saya cukup senang dengannya kerana Ayda cukup fokus terutamanya berkaitan kerjaya. Dia tidak pernah kedekut ilmu, sebab itu saya selesa dengan Ayda.

AYDA JEBAT: Alhamdulillah, sambutannya cukup bagus terutamanya ia bukan diadaptasikan daripada mana-mana novel, selain trending di laman Twitter pada setiap hari. Ia juga memiliki mesej yang positif buat masyarakat yang berdepan pelbagai konflik hidup. Terima kasih kepada semua kru terlibat terutamanya pengarah dan penulis skrip kerana menghasilkan sebuah drama yang berkualiti, selain membentuk watak berbeza buat saya yang lebih serius dan matang dalam drama ini.


REDZA menyambut Aidilfitri di Petaling Jaya, Selangor sementara Ayda pula beraya di Melaka pada tahun ini.

Adakah kalian masih kekal bersahabat jika tidak jadi bercinta suatu hari nanti?

REDZA ROSLI: Sikapnya yang cukup memahami benar-benar memenuhi ciri-ciri sebagai wanita idaman. Tiada gunanya bermusuh seandainya jodoh tidak berpihak kepada kami.

AYDA JEBAT: Kita tidak boleh menjangka masa depan, jadi bagaimana mahu mengetahui sama ada ia menjadi ataupun tidak. Buat masa ini, kami selesa berkawan, sementelahan pula berada dalam industri yang sama. Saya sendiri tidak tahu bertemu jodoh dengan siapa kerana ia rahsia Tuhan. Buat masa ini, Redza seorang lelaki yang sangat baik pada pandangan saya.

Bagaimana pula dengan persiapan Aidilfitri kali ini?

REDZA ROSLI: Seperti tahun-tahun sudah, saya menyambut hari raya pertama di Petaling Jaya sebelum pulang ke Kampung Gajah, Perak. Saya banyak menghabiskan masa di rumah setiap kali raya, bagi saya tidak banyak bezanya walaupun semakin dikenali. Selepas menziarahi kubur moyang di Ampang, saya akan bergerak beramai-ramai bersama keluarga berkunjung dari rumah ke rumah. Soal sama ada datang beraya rumah Ayda, itu kena tanya dia mahu jemput saya atau pun tidak.

AYDA JEBAT: Sebagai kakak yang paling tua, sudah tentu saya mahu memastikan adik-beradik bergaya sakan dengan baju raya yang lawa belaka. Setiap tahun, kami beraya di Melaka sebelum pulang ke kampung sebelah bapa di Negeri Sembilan pada hari raya kedua. Cuma, tahun ini agak sedih dan sedikit berbeza apabila datuk sudah meninggal dunia kira-kira dua bulan lepas. Jika Redza berhasrat untuk berkunjung ke rumah sepanjang Aidilfitri, apa salahnya. Raya kan ziarah-menziarahi sesama kita. Cuma, itu bukan bermakna kami bercinta dan mahu mengenali keluarga seadanya.

Boleh kongsikan nostalgia yang masih diingati kalian ketika ketibaan Syawal?

REDZA ROSLI: Saya masih teringat zaman ketika mengumpul duit raya ketika kanak-kanak. Kalau tidak silap, saya pernah mendapat duit raya mencecah RM300 pada waktu itu. Cuma pernah sekali ketika remaja, saya terlajak tidur sehingga terlepas untuk sembahyang raya. Kesannya, suasana raya ketika itu seakan-akan tidak bermakna. Sejak itu, saya tidak lagi ketinggalan untuk bersembahyang raya.

AYDA JEBAT: Semasa kecil, saya dan adik pernah mencuri-curi keluar ke kedai dengan menunggang motosikal. Nasib kami bagaimanapun agak malang apabila terjatuh sehingga mengalami kecederaan gara-gara kaki terkena ekzos.


PEMINAT cukup menyenangi keserasian pasangan ini sehingga menggelarkan mereka #redzayda di laman sosial.

Apa juadah pilihan kalian semasa lebaran?

REDZA ROSLI: Sudah tentu kuah kacang, nasi impit dan ayam goreng pandan merupakan antara menu pertama yang dicari ketika Aidilfitri. Seperti Ayda, saya juga sukakan kuih tat.

AYDA JEBAT: Saya memang cukup sukakan lemang bersama rendang ayam dan sambal udang. Cuma, saya tidak begitu gemar menjamah kuih raya selain almond london, kuih tat dan kuih semperit. Pada masa sama, saya juga cuba mengelak makan makanan berunsur mi kerana khuatir perut masuk angin, selain tidak akan minum air berkarbonat.

Bagaimana pula dengan projek terkini masing-masing selepas Aidilfitri?

REDZA ROSLI: Saya sedang sibuk menjalani penggambaran telefilem berunsur kemerdekaan arahan Haikal dan jika tiada aral, saya akan menjalani penggambaran drama bersama JS Production kelak.

AYDA JEBAT: Saya akan menjalani penggambaran sebuah drama untuk slot Samarinda selepas Aidilfitri nanti, cuma segala-galanya belum dapat dipastikan buat masa sekarang. Insya-Allah, saya juga akan tampil dengan sebuah single terbaharu tidak lama lagi, selain bakal bergandingan bersama Shaheizy Sam menerusi filem Pinjamkan Hatiku arahan Osman Ali.

Post a Comment

Previous Post Next Post