Rozita Che Wan sambung beraya di London


PERSIAPAN raya keluarga bahagia ini tidak banyak bezanya berbanding tahun-tahun sudah.

SABAN tahun, cerita mengenai berapa pasang baju raya aktres kesayangan peminat, Che Ta pastinya mengundang perdebatan dalam kalangan netizen.

Pernah dikecam hebat di laman sosial gara-gara memiliki 98 pasang baju raya pada tahun lepas, kisahnya tidak terhenti di situ apabila figura itu dikhabarkan bergaya sakan dengan 104 pasang baju raya baharu pada Aidilfitri kali ini.

Tidak mudah melatah dengan setiap butiran kecaman netizen, pemilik nama sebenar Rozita Che Wan, 44, memiliki alasannya tersendiri berhubung perkara itu.

“Memang saya memiliki 104 pasang baju raya pada tahun ini. Cuma, 10 pasang saja baju raya sendiri rekaan Rizman Ruzaini, selebihnya ditaja oleh Minaz.

“Sebagai duta jenama pakaian berkenaan selama setahun, saya diberikan sebanyak 94 pasang baju dengan rekaan berlainan untuk hari raya sehingga penuh satu almari dibuatnya.

“Jadi, cukup-cukuplah mengecam saya di laman sosial kerana kesemua baju tersebut diperoleh secara percuma,” ungkapnya melentur tawa kepada Sensasi Bintang.



Dalam pada itu, tatkala diajak bercerita mengenai sambutan Aidilfitri pada tahun ini, Che Ta menjelaskan, persiapan kali ini dilihat tidak banyak bezanya berbanding pada tahun lepas.

“Pada Aidilfitri kali ini, saya bersama suami, Zain Saidin dan anak bongsu, Aisyaah Dhia Rana beraya di ibu negara terlebih dahulu pada hari raya pertama sebelum pulang ke Alor Setar, Kedah sehari selepas itu.

“Kedua-dua anak lelaki (Ammar Effendy dan Aniq Ezzra) pula beraya bersama bapa kandung mereka di Keramat sebelum menyertai saya, Zain dan Aisyaah beraya di Gombak,” ceritanya lagi.

Cuma getus Che Ta, dia sekadar menikmati kemeriahan Aidilfitri selama seminggu saja pada tahun ini sebelum terbang ke London, England.

“Bukan apa, saya terikat dengan jadual penggambaran sebuah drama di sana, jadi senang cerita saya akan sambung beraya di kota London,” ujarnya menguntum senyum.

Sengaja mengajak figura ini berkongsi juadah pilihannya setiap kali Syawal menjelma, ini jawapan jujur Che Ta.

“Saya tidak begitu memilih juadah, cuma laksa dan nasi tomato sememangnya menjadi satu kemestian setiap kali tibanya Aidilfitri,” ungkapnya seraya menoktah bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post