Maya Karin terima banyak mesej


Maya Karin menerima lebih kurang 10 tajaan busana untuk digayakan pada hari lebaran kali ini.

HAL jodoh dalam kalangan artis sememangnya antara perkara yang sering menjadi tumpuan. Menjadi lumrah orang yang dikenali, bukan sahaja kisah mengenai kerjaya mereka diikuti, tetapi juga melibatkan perihal peribadi termasuklah hal cinta.

Mungkin kisah cinta dan artis antara topik yang boleh dianggap klise, tetapi itulah yang sering kali yang menjadi persoalan umum. Begitu juga perkara yang sama dilalui oleh aktres popular Maya Karin.

Sejak rumah tangga yang dibinanya bersama lelaki mat saleh, Muhammad Ali atau nama sebenarnya Steven David Shorthose kecundang pada tahun 2010, kisah cinta baharunya sering kali menjadi tanda tanya.

Biarpun kini sudah menjalani kehidupan solo selama tujuh tahun, aktres filem Ombak Rindu itu tidak pernah berselindung mengenai isi hatinya.

Beberapa kali juga pelakon berusia 38 tahun itu ada berkongsi mengenai kisah cintanya kepada umum.

Walaupun bukan secara terperinci, tetapi pelakon Pontianak Harum Sundal Malam itu mengakui pernah beberapa kali hatinya pernah dimiliki.

Sama ada suratan atau secara kebetulan, rata-rata jejaka yang berjaya membuka hatinya untuk menerima cinta merupakan lelaki asing.

Situasi tersebut secara tidak langsung, membuatkan timbul cakap-cakap umum bahawa Maya mungkin meletakkan batas cinta bagi dirinya hanya kepada lelaki orang putih.


SETIAP kali lebaran, Maya akan berkumpul dengan ahli keluarganya yang lain untuk meraikan Aidilfitri bersama-sama.

Tiada pengganti

Bahkan, baru-baru ini, aktres berdarah campuran Jerman itu sekali lagi mencuri tumpuan umum apabila mendedahkan hubungan cintanya dengan jejaka asing yang dikenalinya selama enam bulan sudah terputus di tengah jalan pada Mac lalu.

Maka, sekali lagi Maya berdepan situasi sama diasak individu yang menjadi pengganti cinta hatinya. Sehinggalah pelakon filem Jwanita itu mendedahkan hasratnya untuk memilih jejaka Melayu sebagai cinta baharunya.

“Selepas artikel itu keluar di akhbar, saya tidak sangka pula respons sebegini yang saya terima. Punyalah banyak saya terima mesej daripada individu-individu di luar sana yang menyatakan minatnya kepada saya.

“Bahkan, kawan-kawan sekeliling juga ada bertanyakan kepada saya mengenai berita tersebut,” katanya ketika bertandang ke Studio Utusan, Kuala Lumpur seminggu sebelum Aidilfitri untuk memenuhi sesi fotografi bersama Sensasi Bintang.

Bukan itu sahaja, Maya juga meluahkan kecenderungannya untuk memiliki teman lelaki yang berkepala botak. Perkara itu kemudian menjadi viral, sehinggakan ada juga selebriti lelaki bujang yang mengusik Maya untuk mencuba nasib menjadi teman hidupnya.

Bagaimanapun, bagi Maya, buat masa ini dia masih kekal solo. Belum ada yang berjaya mencuri hatinya lagi. Sungguhpun selesa dan gembira dengan kehidupannya kini, pemegang trofi Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik itu tidak pernah sesekali serik untuk menerima orang baharu.

“Memang ada yang cuba mendekati, tetapi belum ada pengganti lagi. Saya rasa tahun ini fokus saya hanya untuk kerja dulu. Saya kira ini merupakan tahun bekerja untuk saya,” katanya yang baru selesai menjalani penggambaran filem Munafik 2 pada Ramadan lalu.


BIARPUN sudah beberapa kali putus cinta, Maya tidak pernah berasa serik untuk menerima kehadiran orang baharu dalam hidupnya.

Cari lontong

Biarpun masih berstatus solo pada sambutan Aidilfitri kali ini, Maya tidak pernah berasa keseorangan. Ini kerana, waktu paling bermakna itulah momen ditunggu-tunggu untuk bersama-sama ahli keluarga lain.

Justeru, sambutan lebaran kali ini, menurut Maya, dia mengambil peluang cuti rehat untuk berkumpul bersama ahli keluarga ke negara jiran.

“Ahli keluarga saya memang suka berjalan. Kalau setiap kali raya memang akan suka pergi mana-mana untuk berkumpul. Tak suka duduk di rumah.

“Jadi, tahun ini kami menyambut hari raya di Singapura memandangkan adik perempuan saya berada di sana. Kami semua berkumpul dengan keluarga besar di sana. Bolehlah ziarah saudara-mara yang ada di situ,” kongsinya.

Biarpun Aidilfitri diraikan setiap tahun, tetapi ia tetap membawa satu kenangan yang cukup indah setiap kali tibanya Syawal. Apatah lagi, pada waktu inilah, ujar Maya, dia boleh menikmati juadah yang jarang diperoleh.

“Saya suka makan lontong. Jadi, raya ini bolehlah saya cari lontong orang Johor. Bukan selalu boleh dapat. Jadi, waktu perayaan begini, kalau sesekali dapat makan, memang seronok.

“Sampaikan kalau ada jemputan rumah terbuka hari raya, saya akan tanya terlebih dahulu ada menu lontong ke tidak. Kalau ada lontong baru saya nak datang,” seloroh Maya.

Katanya lagi, selepas Aidilfitri ini, dia akan kembali semula fokus pada bidang nyanyian pula.

“Lebih kurang ada 10 lagu yang diberikan kepada saya. Saya sudah ada dalam dua tiga lagu yang akan dirakamkan.

“Lagipun penggambaran filem Munafik 2 sudah selesai, jadi boleh fokus nyanyian pula. Antara komposer yang bekerjasama ialah, Aizat Amdan, Yasin Sulaiman dan Awi Rafael,” katanya yang turut rindu untuk kembali aktif mengacara semula.

Post a Comment

Previous Post Next Post