Nelydia Senrose selesa hidup solo


DUTA - Nelydia bersyukur kerana terpilih sebagai duta wangian Avon. Selain Avon, Nelydia Senrose juga bertindak sebagai jurucakap produk kecantikan Garnier dan kosmetik, Chriszen.

TIADA angin tiada ribut, tiba-tiba sahaja nama pelakon Nelydia Senrose dikaitkan dengan bekas suami seorang pelakon popular. Lebih menarik, dia bukan sahaja didakwa bercinta tetapi juga dikhabarkan bakal berkahwin dengan lelaki tersebut.

Ditemui usai majlis pelantikannya sebagai duta wangian Avon dan pelancaran rangkaian baharu minyak wangi Viva La Vita baru-baru ini, Nelydia hanya tertawa dan menunjukkan riak terkejut saat persoalan berkenaan diajukan kepadanya.

“Saya akui pernah dengar khabar angin tentang perkara tersebut dan ia tidak benar sama sekali. Saya masih solo dan tidak mempunyai teman lelaki, jadi tidak tahu bagaimana boleh timbul cerita bakal berkahwin dengan duda berkenaan,” katanya dalam nada serius.

Meskipun begitu, Nelydia atau nama sebenarnya, Nik Zaris Nelydia Nik Sen tidak menafikan dia mengenali duda yang dimaksudkan. Pada hakikatnya, dia menganggap lelaki itu hanya kawan biasa dan mereka tidak pernah keluar berdua-duaan.

Malah tegasnya, duda tersebut bukan lelaki istimewa dalam hatinya dan hubungan mereka tidak begitu rapat sebagaimana telahan ramai.

“Biasanya saya akan keluar bersama adik-beradik dan jika kebetulan lelaki itu berada di tempat yang sama, dia akan menegur dan berbual dengan kami. Mungkin sebab saya masih solo, jadi orang kaitkan saya dengannya.

“Bagi saya, adalah normal sebagai seorang rakan jika dia mengajak kami adik-beradik keluar makan bersama. Tidak tahulah andai dia mempunyai niat lain. Setahu saya, kami hanya rakan biasa. Tidak terlalu rapat dan tiada sebarang hubungan istimewa. Keluar makan berdua pun tidak pernah, apatah lagi hendak berkahwin,” ujar Nelydia sambil tertawa panjang.

Dalam pada itu akui Nelydia, seboleh-bolehnya dia mahu mengelak daripada menjalinkan hubungan yang boleh menimbulkan masalah pada kemudian hari terutama dengan duda tersebut.

“Bekas isterinya dan rakan artis juga ada bertanyakan kebenaran berita itu kepada saya. Jika boleh, saya mahu elakkan sebarang drama dan kontroversi dalam kehidupan peribadi. Lebih baik fokus kepada kerjaya sahaja,” luahnya.

Siapa lelaki yang dimaksudkan Nelydia, rasanya umum cukup sedar, namun untuk mengelakkan masalah berbangkit, biarlah kisah tersebut hanya bertebaran dalam laman sosial sahaja.

Mahu lelaki matang

Menyambung bicara tentang kehidupan peribadinya, wanita berusia 23 tahun itu menjelaskan, sejak putus cinta dengan pelakon, pengacara dan pemuzik, Qi Razali, hatinya masih belum terbuka untuk menerima cinta baharu.

Bukan menutup pintu hati atau serik untuk kembali bercinta, namun tegasnya, percintaan selama lebih tiga tahun dengan Qi meninggalkan impak besar dalam kehidupannya. Justeru, apabila hubungan tersebut terputus di tengah jalan, Nelydia mengambil masa untuk merawat hatinya.

“Mungkin Qi ialah lelaki pertama yang dikenali pada usia 18 tahun dan ketika bercinta, banyak perkara tentang kehidupan saya kongsi bersama dengannya. Jadi, apabila putus cinta saya memerlukan masa untuk kumpulkan semula hati yang berkecai.

“Saya bukanlah mengharap untuk kembali dengannya, cuma setiap individu itu berbeza. Ada yang hatinya cepat beralih ke arah cinta baharu dan ada yang lambat. Saya tidak bermusuh, sebaliknya gembira melihat kehidupan Qi bersama orang baharu. Dia juga sudah berusia dan ingin berkahwin,” kata Nelydia.

Biarpun begitu, pelakon yang popular dengan drama Setia Hujung Nyawa itu mengharapkan dipertemukan dengan jodoh yang baik.

Meskipun sedar jodoh itu ditentukan Allah, namun sebagai wanita, Nelydia menyimpan kriteria tersendiri untuk suami idamannya. Antaranya, seseorang lelaki itu haruslah lebih berusia, matang dan dapat membimbingnya ke arah kejayaan serta mempunyai didikan agama.

“Soal bujang atau duda, saya tidak berani kata apa-apa. Cuma selepas ini, saya akan lebih berhati-hati dalam soal cinta. Paling penting lelaki itu harus menghormati keluarga saya dan hubungan itu direstui.

“Saya sebenarnya lebih tertarik kepada lelaki yang lebih berusia, misalnya lima tahun lebih tua. Namun, lelaki itu haruslah matang dan dapat membimbing saya ke arah kejayaan dan agama. Sebagai wanita, saya percaya kita berhak memilih lelaki yang baik,” ujarnya.

Sungguhpun masih muda, tegas Nelydia, setakat ini belum ada lelaki sebayanya yang cuba mendekatinya. Mungkin disebabkan dia kelihatan lebih matang daripada usia sebenar menjadi antara faktor hanya didekati lelaki lebih berusia.

“Sejak saya berlakon pada usia 13 tahun pun, ramai menganggap saya lebih tua daripada usia. Jadi, perkara itu normal buat saya. Apa pun jika hendak mencari suami, saya mahu lelaki matang. Jangan salah anggap matang dengan tua, ada lelaki yang usianya sudah mencecah angka 45 tahun tetapi tidak matang juga,” terang Nelydia.

Duta wangian Avon

Beralih tentang kerjayanya, Nelydia bersyukur kerana terpilih menjadi duta wangian Avon. Wangian pertama yang menggunakan wajahnya bawah jenama Avon adalah Viva La Vita. Produk berkenaan akan mula berada di pasaran sekitar Oktober depan.

Bagi Nelydia, Avon merupakan sebuah jenama besar bukan sahaja di Malaysia tetapi juga pada peringkat antarabangsa. Apatah lagi, Nelydia merupakan seorang peminat wangian.

“Mulanya seperti tidak percaya apabila saya terpilih menjadi duta wangian Avon kerana difahamkan ramai artis lain turut berada dalam senarai mereka. Alhamdulillah saya menganggap ia sebagai rezeki dan akan menggunakan peluang ini sebaik mungkin bagi mempelajari selok-belok penciptaan wangian,” katanya yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Ditebak mengapakah memilih untuk menjadi duta berbanding mengeluarkan produk wangiannya sendiri, Nelydia menjelaskan, dia belum terbuka hati untuk menceburkan diri dalam perniagaan wangian seperti kebanyakan artis lain.

Jelasnya, dia perlu jatuh cinta pada sesuatu produk sebelum menjualnya kepada khalayak.

“Saya tidak mahu menjalankan perniagaan mengikut trend. Bukan tidak ada tawaran untuk mengeluarkan produk wangian sendiri tetapi belum ada bau yang melekat di hati. Andai pada masa depan saya keluarkan produk wangian sendiri, saya mahu baunya berkualiti dan mempunyai identiti tersendiri,” ujarnya.

Bercakap tentang kerjayanya, Nelydia yang kini muncul dengan drama berjudul Encik Suami Mat Salih Celup bakal bekerjasama dengan kakaknya, Uqasha dalam sebuah drama bersiri.

Meskipun belum menandatangani sebarang perjanjian, Nelydia akui teruja dengan kerjasama tersebut. Menurutnya, andai projek berkenaan benar-benar menjadi realiti, ia merupakan kerjasama pertamanya dengan Uqasha dalam lakonan.

“Saya tidak berani untuk memberi sebarang butiran sebab belum ada hitam putih. Apa yang saya boleh kongsikan kami akan menjadi adik-beradik dalam drama tersebut. Kami akan menjadi pelakon utama, seperti bawang putih dan bawang merah tetapi jalan ceritanya berbeza.

“Harapnya projek ini benar-benar terjadi. Selain itu, saya juga sibuk dengan proses memasukkan suara untuk filem Jebat yang bakal menemui penonton sekitar penghujung tahun ini atau awal tahun depan,” kongsi Nelydia.

Post a Comment

Previous Post Next Post