Siti Saleha elak tajaan perkahwinan


Siti Saleha bersama tunangnya, Ahmad Lutfi.

MENGHITUNG hari sebelum disatukan dengan pilihan hati, pelakon Siti Saleha mengakui berusaha untuk tidak terlalu tertekan terutama dalam soal persiapan perkahwinan.

Bakal mendirikan rumah tangga dengan seorang penjawat awam, Ahmad Lutfi Azhar, 31, pelakon drama rantaian 7 Hari Mencintaiku itu juga memberitahu, dia mula menjarakkan diri dari lokasi penggambaran sejak tiga bulan lalu.

Langkah tersebut diambil bagi memastikan 100 peratus tumpuan dapat ditumpahkan kepada persiapan perkahwinan yang bakal berlangsung pada 28 Julai ini, manakala majlis resepsi pula akan dijalankan keesokan harinya.

Dalam tempoh seminggu menjelang hari bahagianya, wanita kelahiran Basildon, Britain itu juga seboleh-bolehnya mahu mengelak menerima sebarang tajaan perkahwinan daripada mana-mana pihak, kecuali bagi barangan hantaran.

Keputusan berkenaan dibuat demi memberikan sentuhan ‘eksklusif’ dan nilai nostalgia buat dirinya bersama bakal suami kerana melangsungkan majlis menggunakan hasil titik peluh sendiri.

Kata wanita berusia 27 tahun itu lagi, selain mengelakkan diri daripada berasa tertekan, dia juga mula membiasakan diri mempelajari menu kegemaran Lutfi iaitu ayam masak kicap.

KOSMO!: Menjelang tarikh Siti Saleha disatukan dengan Ahmad Lutfi Azhar, bagaimanakah persiapan perkahwinan kalian sekarang?

SITI SALEHA: Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan kini telah lebih 50 peratus persiapan majlis telah disediakan. Saya juga tidak mahu berasa terlalu tertekan kerana sibuk menguruskan majlis, sebaliknya mengambil pendekatan untuk lebih santai dan bersahaja.

Bolehkah kongsikan persiapan atau apakah yang merunsingkan anda sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan nanti?

Tiada apa yang perlu difikirkan mahupun ditakutkan. Bagi saya, debaran itu perkara biasa buat semua bakal pengantin kerana tidak lama lagi kehidupan baharu akan bermula.

Biarpun begitu, saya kekal positif selain berusaha mengelakkan diri daripada berasa terlalu memikirkan persiapan majlis. Mengenai persiapan peribadi, saya kini mula mempelajari cara penyediaan menu kegemaran suami iaitu ayam masak kicap daripada bakal ibu mertua.

Selain itu, saya juga ada mempelajari beberapa jenis masakan lain sebagai persediaan untuk bergelar isteri kelak.

Adakah majlis perkahwinan anda ada menerima sebarang tajaan daripada pihak tertentu?

Tidak dinafikan ada banyak pihak yang ingin menghulurkan penajaan tetapi saya menolak kerana mahu berusaha menjayakan majlis sendiri. Keputusan itu turut dipersetujui bakal suami dan kami berharap keseluruhan majlis perkahwinan ini dibuat berdasarkan hasil titik peluh sendiri.

Pastinya perkahwinan itu suatu perkara bermakna dan mempunyai nilai nostalgia yang akan dikenang hingga ke akhir hayat.

Biarpun demikian, saya mungkin akan menerima tajaan tetapi ia melibatkan barangan hantaran.Bagaimanapun, segalanya terserah mengikut keadaan sehinggalah majlis tersebut berlangsung.

Adakah kalian telah memilih lokasi untuk berbulan madu kelak?

Buat masa sekarang, kami tidak mempunyai sebarang perancangan khusus kerana kedua-duanya sibuk.

Tambahan, saya bukan seorang yang suka merancang tetapi lebih gemar mengikut keadaan. Sekiranya ada kelapangan, kami mungkin akan pergi berbulan madu.

Bolehkah anda kongsikan mengenai detik perkenalan kalian berdua?

Kami diperkenalkan oleh seorang rakan dalam sebuah majlis hari jadi. Awalnya, saya tidak memberi perhatian kepada Lutfi kerana ketika itu saya sedang menjalin hubungan dengan individu lain.

Namun, itulah dinamakan jodoh. Alhamdulillah kami akhirnya berkenalan dan saling jatuh cinta. Insya-Allah akan berkahwin tidak lama lagi.

Selepas berkahwin, adakah anda akan berehat seketika sebelum kembali berlakon atau bagaimana?

Sejujurnya, saya memang rindukan lokasi penggambaran kerana telah hampir tiga bulan tidak berlakon.

Disebabkan ingin memberi tumpuan kepada pengurusan majlis, saya mengambil keputusan untuk tidak terlibat dengan sebarang penggambaran sehingga majlis tersebut berlangsung. Menjawab tentang persoalan berehat atau tidak, segalanya terpulang mengikut keadaan.

Selain daripada soal persiapan perkahwinan, apakah perkembangan kerjaya seni anda sekarang?

Saya bakal muncul menerusi sebuah naskhah filem televisyen (FTV) bertajuk Memori Pajeri Nanas menerusi saluran Astro First bergandingan dengan Alif Satar dan Tiz Zaqyah. Saya juga akan muncul dengan sebuah filem berbentuk sains fiksyen bertajuk The Spiral. Filem arahan Peter Wong itu merupakan penglibatan sulung saya dalam naskhah berbahasa Inggeris.

Post a Comment

Previous Post Next Post