Riz Zaizizi tidak berputus asa


RIZ mengaku pernah terbuai dengan dunia glamor dan populariti yang dikecapi suatu masa dahulu sehingga terlupa untuk menabung.

TIDAK mengenal erti putus asa, itulah yang boleh dirumuskan buat penyanyi Riz Zaizizi atau Riz. Masakan tidak, laluan seni yang dilalui Riz atau nama sebenarnya, Mohd. Idris Mohd. Zaizizi cukup berliku.

Pernah terkena tempias glamor selepas menyertai program Akademi Fantasia musim keenam (AF6) dan menghasilkan sebuah album berjudul Bermula Semula pada 2009, bagaimanapun, entah di mana silapnya kerjaya seni Riz terus merudum.

Album yang diterbitkan Riz sendiri juga menemui kegagalan apabila tidak mendapat sambutan. Hal ini menyebabkan lelaki berusia 31 tahun itu terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM100,000.

“Saya masih ingat waktu itu cukup teruja untuk memiliki album sendiri. Tanpa berfikir panjang saya mengeluarkan bajet sendiri sebanyak RM100,000. Malangnya, album tersebut tidak laku dan saya terpaksa menanggung kerugian. Saya akui, itu pengajaran paling besar dalam kerjaya nyanyian,” ujarnya yang ditemui pada sesi fotografi baru-baru ini.

Lembaran baharu

Bertambah perit, selepas kegagalan album, tawaran pentas juga semakin berkurangan. Terdesak untuk mencari pendapatan, Riz pernah terfikir untuk keluar daripada bidang seni dan mencari pekerja tetap.

“Sebenarnya apa yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri. Selepas keluar daripada AF6, saya mengakui terkena kejutan budaya dengan segala perhatian dan juga pendapatan lumayan.

“Saya lupa diri dan berbelanja secara tidak terkawal. Saya tinggal di rumah yang sewanya agak mahal, membeli kereta mewah dan terlalu seronok dengan apa yang dimiliki ketika itu. Selepas kekurangan tawaran persembahan barulah saya tersedar apa yang dilakukan selama ini salah,” akuinya tanpa berselindung.

Bagaimanapun pada saat dia hampir berputus asa, kerjaya seninya diselamatkan oleh pasangan komposer LY dan Baiduri yang menawarkannya untuk bernaung di bawah syarikat rakaman dan pengurusan milik mereka, Kelarai Sakti Sdn. Bhd. sekitar tiga tahun lalu.

Bersama Kelarai Sakti, Riz menghasilkan single Sempurnakan Aku Dan Dia pada dua tahun lalu dan terbaharu muncul dengan single berjudul Lebih Baik.

“Saya dikenali sebagai penyanyi balada, tetapi menerusi single terbaharu ini, sengaja diberi kelainan dengan menerapkan genre slow rock. Saya berharap percubaan ini akan berhasil dan mendapat sokongan peminat,” katanya.

Menyentuh tentang perkembangan terbaharunya, selain sibuk dengan kerjaya nyanyian, Riz kini bergelar seorang guru vokal di sebuah studio di Cyberjaya, Selangor. Ujarnya pengalaman lepas mengajarnya untuk lebih berdikari dan bijak mengatur haluan hidup.

“Sebenarnya kerjaya sebagai guru vokal ini masih terlalu baharu. Namun, saya cukup seronok kerana dapat belajar dan berkongsi ilmu dengan pelajar yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia.

“Pada mulanya agak gementar tetapi guru Siti Hajar banyak memberi panduan dan dorongan. Dia merupakan mentor saya dan seorang yang tidak lokek dalam berkongsi ilmu untuk menjadi seorang guru vokal,” beritahunya.

Sungguhpun mempunyai dua kerjaya serentak, ia bukan satu masalah buat Riz. Katanya, kerjaya sebagai guru vokal tidak pernah menghalangnya untuk menjadi seorang penyanyi sepenuh masa.

“Kelas bukan diadakan setiap hari, biasanya pada waktu malam. Jadi, saya mempunyai masa yang banyak pada sebelah siang untuk meneruskan kerjaya seni seperti biasa. Kini kehidupan lebih stabil dan pengalaman yang lepas amat mendewasakan saya bukan sahaja sebagai penyanyi, tetapi juga individu,” tuturnya menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post