Neelofa menggayakan Naelofar Scarf Maya yang sudah dijual.
Pengacara dan ahli perniagaan Neelofa melebarkan lagi perniagaan apabila melancarkan koleksi terbaru Naelofar Scarf Maya.
Hadir dengan dua edisi termasuk Naelofar Scarf MAYA bertatahkan Swarovski (edisi terhad) yang menjadikan ia tudung satin pertama diperkenalkan butik Naelofar Hijab.
"Naelofar Scarf Maya menggabungkan elemen moden namun masih mengekalkan ciri-ciri kesopanan seperti koleksi Naelofar Hijab sebelum ini.
"Dihasilkan dengan empat variasi warna iaitu Maya Ivory (putih), Maya Slate (kelabu), Maya Azure (biru) dan Maya Fuschia (merah jambu), koleksi ini dijual dengan harga mampu milik.
"Untuk koleksi Naelofar Scarf Maya dijual pada harga RM75 manakala untuk edisi terhad Naelofar Scarf Maya - Swarovski dijual dengan harga RM95 di mana koleksi eksklusif ini hanya dikeluarkan sebanyak 1,000 unit sahaja," katanya kepada mStar Online.
Neelofa ditemui di majlis Pelancaran Koleksi Satin Naelofar Scarf MAYA bertempat di The Harlequin Room, Royale Chulan, Damansara, pada Selasa.
Pemenang bagi pertandingan Lady Lofa Luxe, Fiona Nazri (dua dari kanan) dengan beg Christian Dior berharga RM22,000 yang dimenanginya. Foto: Instagram @NaelofarHijab
Pada majlis itu turut diraikan pemenang pertandingan bertuah Lady Lofa Luxe yang berakhir pada Mei lalu sekali gus membawa pulang hadiah beg Christian Dior bernilai RM22,000.
Dalam pada itu, kenapa nama Maya dipilih, Neelofa memberitahu, perkataan itu melambangkan kelembutan selain ia agak menarik untuk disebut.
"Istimewanya Naelofar Scarf Maya ini, selain coraknya yang bermotifkan flora tropika dengan gabungan seni kontemporari, di bahagian dalam skaf pula materialnya agak kesat.
"Ini sekali gus tidak akan memberi masalah kepada si pemakai seperti susah dibentuk dan licin," katanya.