Keluarga Sufian Suhaimi merisik Elfira Loy


Gambar kenangan yang dirakam ke kediaman Elfira Loy.

KELUARGA kepada penyanyi, Sufian Suhaimi dilaporkan merisik teman akrabnya yang juga pelakon, Elfira Loy, di kediaman gadis terbabit di Cheras, pagi, semalam.

Memetik laporan Berita Harian Online, difahamkan majlis merisik dengan pemberian cincin itu diadakan sebagai tanda juga simbolik kepada hubungan yang terjalin di antara mereka, yang mula akrab kira-kira empat bulan lalu.

"Tiada apa yang nak saya sembunyikan dengan apa yang terjadi pada hari ini. Ia benda baik. Itu saja yang saya boleh kongsi kerana tiada perbincangan lanjut untuk majlis seterusnya (kahwin)," kata Sufian.

Sufian berkata, beliau cuma mengharapkan pengakhiran yang baik dalam hubungannya dengan Elfira.

"Rasanya memang semua sudah tahu kami memang rapat. Lagipun kami bukan budak sekolah untuk melabelkan hubungan ini sebagai kekasih atau sebaliknya. Masing-masing sudah berada dalam fasa yang menyamankan kerana saling memahami.

"Harap hubungan kami akan menemui penamat yang baik. Harap semua juga dapat mendoakan yang baik," katanya.

Sementara itu, Elfira berkata, majlis merisik yang berlangsung itu sebagai tanda kesungguhan Sufian untuk membawa hubungan mereka ke fasa serius.

"Ya, memang selain beraya, turut diadakan majlis merisik. Saya percaya apa yang terjadi ini sebagai memberi tahu isyarat kedudukan sebenar kami. Cuma fasa lanjut itu belum dibincangkan lagi.

"Saya menyenanginya dan selama ini, apa yang kami belajar, komunikasi itu penting dan menjadi teras hubungan kami," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post