Dayang Nurfaizah komitmen pada seni


PENYANYI bersuara serak-serak basah kini popular dengan lagu Separuh Mati Ku Bercinta, Dayang Nurfaizah akui, pada tahun ini dia tidak dapat bercuti panjang sempena Syawal atas komitmennya terhadap seni.

Jika tahun-tahun sebelumnya dia bercuti sekitar seminggu sebelum raya, namun pemilik nama sebenar Dayang Nurfaizah Awang Dowty ini terpaksa berkorban masa senggang, demi kecintaan terhadap dunia seni.

“Itulah, nak diikutkan perancangan, memang mahu cuti lama sebab saya kalau pulang ke Sarawak tu, akan duduk lama-lama kat sana. Kira macam mengubat rindulah. Tapi kali ni, saya tak boleh cuti lama sebab banyak perkara yang perlu diselesaikan di ibu kota.

“Bagaimanapun, saya taklah rasa ralat sangat memandangkan keluarga sesekali jenguk kami di Kuala Lumpur dan anak saudara saya pun ada yang bersekolah di sini,” ujarnya.

Pun begitu, Dayang tidak melepaskan peluang untuk bersama ahli keluarga di dalam melakukan persiapan menjelang Aidilfitri.

“Persiapan sederhana saja tapi meriah. Bagi saya, yang perlu diraikan semestinya anak-anak buah. Kita yang dewasa ni taklah terlalu harapkan itu ini. Memadai apa yang perlu,” katanya.

Teruja Sukan Sea ke-29

Berbalik perkembangan seninya, Dayang baru saja selesai menyertai larian obor sempena temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 yang akan bermula19 Ogos depan.

Lebih membanggakan, anak jati Sarawak ini dipilih menyanyikan lagu tema sukan bagi 11 negara Asia Tenggara ini.

“Alhamdulillah, saya kira ini satu pencapaian, amanah serta tanggungjawab yang perlu saya pikul dengan sebaiknya. Bila dipilih menyanyikan lagu tema Sukan Sea ke-29 dan Para Asean ke-9, saya memang rasa syukur dan terharu. Yang lebih utama, kepercayaan datang dengan tanggungjawab besar.

“Bila berpeluang nyanyikan lagu seperti ini, kita kena semai rasa patriotik dalam diri. Bukan hanya main nyanyi saja. Saya mahu bila saya nyanyi lagu itu, sekurang-kurangnya dapat semat rasa bersatu padu rakyat Malaysia.

“Kalau tak dapat rasa sekalipun, at least biarlah mereka rasa yang kita perlu bersama walau susah dan senang. Macam lagu nyanyian Ella untuk Sukan Komanwel. Standing In The Eyes of the World. Rasa meremang bila dengar.

“Rasa bangga terhadap negara. Itulah yang saya cuba sampaikan dalam lagu itu.

“Kalau boleh, saya tak mahu orang suka lagu itu sebab saya, tapi biarlah kerana mesejnya sampai,” impi Dayang.

Turut terlibat dalam pembikinan lagu tersebut ialah maestro muzik, Datuk Ramli MS sementara idea liriknya pula sumbangan rakyat Malaysia.

"Penghujung Julai nanti, saya terlibat dalam persembahan amal khusus untuk Universiti Teknologi Petronas, Tapestry of Colours di Dewan Filharmonik, Kuala Lumpur.

“Persembahan itu untuk kumpul dana Yayasan UTP bagi program pembangunan pelajar.

“Awal Ogos pula, saya terlibat sebagai penyanyi jemputan Konsert Nova di Stadium Malawati, Shah Alam,” bicara Dayang.

Terharu album dapat sambutan

Dayang yang sebelum ini melancarkan album solo Dayang Nurfaizah merakamkan rasa terharu dan terima kasih buat pencinta seni yang sudah mendapatkan album tersebut di pasaran.

Luahnya, setelah lebih lima tahun sepi tanpa sebarang album baru, Dayang Nurfaizah yang dilancarkan lebih dua bulan lalu mencapai objektif.

Album tersebut juga hadiah mengubati kerinduan peminatnya.

“Inilah yang boleh saya berikan pada peminat yang selama ini menantikan apakah ada atau tidak album baru dari saya?

"Kesemua lagu yang terkandung adalah berentak perlahan.

“Pastinya saya gembira meski pun kami push Separuh Mati Ku Bercinta sebagai single pertama, tapi ada peminat dah pun mempunyai lagu kegemaran mereka sendiri.

“Ya, ia satu perkembangan yang sangat baik,” beritahu Dayang akhiri perbualan.



Post a Comment

Previous Post Next Post