Hafidz Roshdi, isteri tak sabar timang anak sulung


KEGEMBIRAAN nyata tergambar di wajah aktor muda, Hafidz Roshdi, 23, yang bakal menimang cahaya mata pertama hasil perkongsian hidup bersama isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri yang kini sarat mengandung enam bulan.

Berkongsi perkembangan tersebut, hero drama Papa Nak Menantu ini akui, pada fasa sekarang, dia mahu lebih fokus dan memberi sepenuh perhatian buat isteri tercinta meski tetap sibuk di lokasi penggambaran sepanjang Ramadan lalu.

Bagi finalis Hero Remaja 2012/13 ini, sebagai bakal bapa, sudah semestinya menjadi kepentingan buat Hafidz untuk menjaga isteri, apatah lagi usia kandungannya kini sudah pun berusia enam bulan.

“Kalau nak diikutkan, saya memang nak memperlahankan aktiviti seni sepanjang Ramadan.

"Tapi, masih ada lagi saki-baki penggambaran drama yang terpaksa diselesaikan. Ingat bolehlah berehat. Bahkan ada ketikanya, saya buka puasa pun di set penggambaran bersama rakan pelakon lain.

“Apa pun, saya tidak memandang hal tersebut sebagai satu halangan besar untuk menjalani aktiviti lain sepanjang puasa. Saya tetap buat apa yang diwajibkan dan cuba sedaya mungkin untuk menjaga isteri.

“Lagi pun, dia pun tengah sarat. Jadi perhatian padanya tu jadi lebih sikitlah. Tatang bagai minyak yang penuh,” seloroh Hafidz yang bakal muncul menerusi drama episod untuk slot Riasya TV3 selepas raya nanti.

Untuk rekod, pasangan ini menyulam jalinan cinta selama tiga tahun sebelum mengikat tali perkahwinan 30 April 2016 lalu.

Tanggungjawab Lebih Besar

Berkongsi rasa terujanya untuk bergelar bapa muda, Hafidz memaklumkan Shuhada dijangka melahirkan anak sulung mereka September depan.

Bagaimanapun, dalam perasaan gembiranya itu, Hafidz memberitahu Media Hiburan bahawa selepas ini, tanggungjawab dan fokusnya pasti akan sedikit berbeza daripada sebelumnya.

“Insya-ALLAH kalau dah jadi bapa nanti, komitmen, amanah dan tanggungjawab itu akan berubahlah daripada sebelumnya. Kalau dulu kita hanya berdua. Kini kami bakal dapat cahaya mata dengan izin-Nya.

“Jadi saya sebagai bapa muda perlulah lebih gigih bekerja mencari rezeki.

"Sebab dulu, apa yang kita buat dan fikir, hanyalah untuk diri sendiri sahaja.

“Apa pun, saya memang tidak sabar untuk bergelar bapa.

"Harap peminat doakan yang baik-baik ya,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran aplikasi membeli-belah terbaru, Laku Mall di The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Cuti Raya Seminggu

Sementara itu, anak jati Shah Alam ini juga hanya sempat mengisi masa bersama keluarga menyambut raya selama seminggu sahaja atas komitmen kerjaya.

“Bila sudah ada amanah baru ni, sudah tentunya saya perlu kerja keras.

"Jadi raya tahun ni pun seminggu sahaja sebab dijangka pada raya kelapan, saya akan mulai sibuk di lokasi untuk drama baru.

"Mujurlah, pada peringkat ini, isteri tidak banyak ragamnya berbanding pada peringkat awal kandungan.

“Jadi urusan untuk jaga dia tu menjadi lebih mudah berbanding sebelum ini. Malah, isteri pun jenis yang berdikari.

“Namun, ketika usia kandungannya nak mencapai bulan keempat, dia alami alahan yang agak teruk juga. Mengidam pun macam-macam. Kini dah OK balik.

“Cuma itulah, sebelum sambut raya lagi, keluarga kami memang teruja sebab masing-masing sibuk mahu tahu update kami beli baju apa, isteri beli baju saiz apa sebab kandungannya yang kian membesar dan sebagainya.

“Bila jadi macam tu, kami pula yang berdebar-debar.

Tapi saya fahamlah selain kami, mereka pun turut sama teruja,” kata Hafidz yang bakal sambut lebaran di Shah Alam dan Perlis pada tahun ini.

Selain mengharapkan peminat mendoakan yang terbaik buatnya dan isteri, pelakon ini juga mahu memanjangkan ucapan terima kasih buat peminat yang selama ini tidak jemu menyokong perjalanan seninya dari dulu sehinggalah sekarang.

“Selain itu, saya mewakili isteri juga ingin memohon maaf buat semua andai kami ada melakukan sebarang kekhilafan,” akhiri Hafidz.

Post a Comment

Previous Post Next Post