Fasha Sandha sedang ingin dimiliki


Fasha Sandha tidak mahu terburu-buru memikirkan soal cinta dengan seorang lelaki yang kini didekati hati budinya. Sehingga kini, fasa perhubungan mereka masih atas status persahabatan.

Tempoh hampir dua tahun mendepani kehidupan sebagai ibu tunggal sejak bercerai dengan bekas suami, Rizal Ashram Ramli pada 20 Januari 2016, aktres jelita, Fasha Sandha mendedahkan bahawa dia kini sedang dalam fasa berkawan rapat dengan seorang jejaka yang dirahsiakan identitinya.

Fasha yang ditemui pada majlis rumah terbuka syarikat pengurusan Mind Order Management di Restoran Istana Bambu, Kuala Lumpur baru-baru ini bagaimanapun enggan terlalu memperincikan mengenai jejaka tersebut kerana beranggapan masih terlalu awal untuk bercerita tentang hal itu.

Pelakon filem Anak Halal itu bagaimanapun meluahkan, jejaka yang sudah dikenalinya hampir setahun itu amat memahami keadaan dirinya sebagai ibu kepada dua anaknya, Putra Rayfal, 3, dan Putri Raysha Jemyma, 2.

Bukan itu sahaja, walaupun masih berada pada fasa berkawan, dia menegaskan jejaka itu sudah mula berani meluahkan rasa rindu terhadapnya. Bagi Fasha, 33, sebagai seorang wanita, dia tidak mahu bersifat terburu-buru apabila melewati soal cinta.

Dalam pada itu, Fasha bakal terlibat dengan penggambaran sebuah drama bersiri 70 episod berjudul Syurga Kedua. Drama yang bakal ditayangkan di saluran Astro Prima itu bakal memulakan penggambaran sekitar bulan Ogos depan.

KOSMO!: Boleh kongsikan perkembangan seni terbaharu?

Fasha Sandha: Saya akan terlibat dengan penggambaran sebuah drama bersiri 70 episod berjudul Syurga Kedua. Antara pelakon lain yang terlibat ialah Zarul Umbrella dan Siti Elizad. Alhamdulillah, sejak bernaung bawah pengurusan Mind Order Management awal tahun ini, rezeki dalam bidang lakonan tidak putus-putus.

Maaf bertanya, sebelum ini anda pernah memaklumkan sedang mengenali hati budi seseorang, ada berita baik yang ingin dikongsi?

Saya dan lelaki berkenaan masih dalam fasa berkawan. Sebenarnya, saya tidak mahu berkongsi terlalu banyak tentang hal ini kerana masih terlalu awal. Ramai orang bertanya, siapa gerangan lelaki tersebut tetapi untuk saya, selagi masih dalam fasa berkawan, saya tidak mempunyai hak untuk terlalu banyak bercakap tentang hal tersebut.

Difahamkan telah hampir setahun kalian saling mengenali, pasti sudah ada perkembangan ke arah yang lebih serius, boleh jelaskan?

Kami sentiasa berhubung dan dia sudah mula meluahkan rasa rindu terhadap saya. Mungkin saya belum berani untuk membalas perasaan rindu itu kerana sebagai seorang wanita, saya rasa perlu ada nilai ‘jual mahal’ sedikit. Kita pun tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

Apa istimewanya lelaki tersebut pada mata anda?

Apa yang paling penting, dia boleh menerima anak-anak saya. Bagi saya, kalau ingin mengenali saya dengan lebih mendalam perlu kenal anak-anak saya dulu. Dia pandai melayan budak-budak. Saya selesa berkawan dengannya kerana dia seorang yang sangat memahami. Namun, ingin saya tegaskan lagi, kami masih lagi dalam fasa berkawan rapat. Tidak lebih daripada itu.

Bagaimana pendapat anda jika ada segelintir peminat beranggapan bahawa sebagai seorang selebriti, anda terlalu bersikap defensif di laman sosial terutama apabila berlakunya sesuatu kontroversi?

Ya, bagi saya setiap orang mempunyai hak untuk berkongsi perasaan di laman sosial. Kalau tidak suka dengan muat naik status panjang berjela-jela pada saat saya sedang dalam kesedihan misalnya, solusinya senang, unfollow sahaja. Itu adalah hak saya untuk meluahkan perasaan menerusi akaun media sosial media.

Post a Comment

Previous Post Next Post