Ayda Jebat rancang terbit dua buah album


ALBUM - Selepas beberapa singlenya mendapat sambutan hangat, Ayda Jebat kini bersiap sedia untuk memiliki album studio penuh menjelang hujung tahun ini.

‘KERNA masa telah mengubah jiwa, kita harus terima begini suratannya,’ begitu bersungguh Ayda Jebat menyanyikan rangkap lirik bagi lagu Pinjamkan Hatiku sambil diperhatikan oleh komposer dan penerbit muzik kelahiran Indonesia, Irwan Simanjuntak.

Sesekali, suaranya tergelincir, menyebabkan sesi rakaman pimpinan Irwan yang dijalankan pada petang itu di studio muzik Paranormal di Damansara Perdana, Selangor pada hujung minggu lalu terpaksa diulang kembali.

“Irwan merupakan seorang penerbit yang sangat teliti. Beginilah senarionya apabila dia menyelia sesi rakaman suara bagi sesebuah lagu.

“Jika prestasi rakaman kurang memberangsangkan, Irwan akan meminta saya untuk mengulangi nyanyian sehingga dia dapat apa diinginkan,” ujar Ayda yang turut ditemani Adi Priyo sebagai rakan duet lagu tersebut.

Bakal dijadikan sebagai runut bunyi bagi filem perdananya yang turut berjudul Pinjamkan Hatiku, sesi rakaman tempoh hari bukanlah yang pertama dijalankan untuk lagu ciptaan Zaidi itu.

“Lagu ini telah dirakam terlebih dahulu sekitar beberapa bulan lalu. Menerusi perancangan asal, lagu ini hanya ingin digunakan sebagai runut bunyi filem.

“Namun, selepas melalui proses perbincangan dengan pihak pengurusan dan penerbit, kami memutuskan untuk merakam kembali lagu Pinjamkan Hatiku dengan susunan muzik baharu,” katanya.

Sambung Ayda, rakaman baharu dibuat kerana merasakan lagu tersebut mempunyai potensi yang besar jika diketengahkan sebagai single.

“Rugi jika ia digunakan dalam filem semata-mata. Tambahan pula, lagu tersebut merupakan lagu duet bergenre balada pertama saya sepanjang bergelar penyanyi.

“Jadi, lebih baik ia dijadikan single dan digubah semula dengan susunan muzik yang lebih segar dan kompak,” katanya lagi.

Berkenaan pemilihan Adi sebagai rakan duet, Ayda berkata, lelaki itu memiliki suara yang cukup sempurna sebagai penyanyi lagu-lagu berentak balada.

“Bukan tidak mahu memilih penyanyi lain, tetapi Adi merupakan antara penyanyi lelaki kegemaran saya. Tambahan pula, suaranya berbeza dengan penyanyi lain. Sekali dengar, kita tahu itu suara Adi.

“Jadi, pada pendapat saya, gabungan ini bakal menjadi sebuah kolaborasi istimewa,” tuturnya.

Mata

Masih berbicara mengenai karier nyanyian, wanita berusia 25 tahun itu bakal hadir dengan sebuah single baharu berjudul Mata.

Akan dipasarkan pada 28 Julai ini menerusi platform digital, Ayda menyifatkan lagu ciptaan Audi Mok dan Shazee Ishak itu sebagai unik berbanding lagu-lagunya terdahulu.

Katanya, selain berentak EDM, lagu yang memerlukannya untuk menyanyi dengan nada tinggi itu pernah dicadangkan sebagai calon lagu tema bagi temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

“Sayangnya, hajat kami tidak kesampaian kerana proses rakaman kerap kali tertunda akibat jadual kerja saya yang terlalu sibuk.

“Bagaimanapun, saya tidak berasa terkilan kerana lagu ini tetap akan dipasarkan untuk peminat,” katanya yang bercadang untuk menyuntik elemen sukan dalam klip video lagu berkenaan.

Menyelak kembali portfolio seninya sebagai penyanyi, Ayda dilihat selesa untuk memasarkan single-singlenya dalam jarak masa yang jauh.

Sebagai contoh, single keduanya yang berjudul Pencuri Hati diterbitkan hanya selepas setahun Ayda muncul dengan single debut, Siapa Diriku (2015).

Namun, untuk single Mata, penyanyi kelahiran Melaka itu mempunyai masa kurang tiga bulan sahaja sebelum lagu runut bunyi Pinjamkan Hatiku dilancarkan.

Ditanya adakah dia mempunyai masa untuk mempromosikan dua single dalam senggang masa yang singkat, ujar Ayda, segalanya telah diatur mengikut pelan karier nyanyiannya.

“Setiap single yang dipasarkan mengikut pelan pengurusan. Walaupun tempoh masa sedikit pendek, tetapi kedua-dua lagu tersebut perlu dilancarkan.

“Tambahan pula, album penuh pertama saya akan dilancarkan pada penghujung tahun ini,” katanya sambil tersenyum.

Album

Melanjutkan bicara, Ayda memberitahu bahawa dia mempunyai perancangan yang berbeza untuk ‘menjual’ album pertamanya itu.

Menurut Ayda, album pertamanya kelak akan terisi dengan lagu-lagu rancak sementara sebuah lagi album susulan yang memuatkan lagu balada akan dipasarkan sekitar tahun hadapan.

“Idea untuk memasarkan dua buah album berbeza genre tercetus kerana saya gemar sendiri mengasingkan lagu-lagu kegemaran mengikut kumpulan.

“Jadi, saya yakin album konsep ini dapat diterima dengan baik oleh peminat,” katanya.

Dalam pada itu, Ayda berkata, dua album tersebut bakal direka mengikut genre masing-masing.

“Rekaan kulit album juga akan berpandukan konsep lagu yang dimuatkan. Album rancak mungkin rekaannya lebih berwarna-warni manakala album balada bakal menampilkan imej yang lebih matang.

“Saya dan pihak pengurusan juga bercadang untuk memuatkan sekeping cakera video digital (DVD) yang mengandungi klip video saya terdahulu,” katanya lagi.

Dalam perkembangan terkini, Ayda sedang menjalani penggambaran bagi drama bersiri Dekatkan Jarak Kita bersama Syafiq Kyle.

Membawa dua watak berbeza iaitu Sofiya dan Alyssa, Ayda meletakkan harapan tinggi terhadap naskhah yang bakal mengisi slot Samarinda di TV3 itu.

“Drama Dekatkan Jarak Kita sedikit berbeza dengan naskhah-naskhah sebelum ini. Selain elemen cinta, drama ini turut memiliki elemen lain seperti konflik kekeluargaan,” tutup Ayda.

Post a Comment

Previous Post Next Post