Syafiq Kyle, Hannah Delisha serasi bersama


Syafiq, Hannah serasi bersama

BAIK Syafiq Kyle atau Hannah Delisha, dua nama ini masing-masing belum pernah bersua muka sebelum ini. Bagaimanapun, atas minat dan kecintaan yang sama dalam dunia lakonan, mereka dipertemukan buat pertama kali menerusi drama bersiri Mencintaimu Mr. Photographer.

Di awal kemunculan mereka berdua di kaca televisyen, tidak keterlaluan jika dikatakan ada cakap-cakap belakang yang pada mulanya ragu-ragu dengan kemampuan dua nama ini menggalas tanggungjawab mereka selaku hero dan heroin.

Lebih-lebih lagi apabila Hannah yang merupakan pendatang baharu dari negara jiran, Singapura diberikan kepercayaan memegang watak utama buat pertama kali di negara ini. Sungguhpun begitu, siapa sangka gandingan sulung antara dirinya bersama Syafiq punya penangan tersendiri. Sekali gus, mereka berjaya membuktikan bahawa mereka juga punya keserasian bersama.

“Kami memang belum pernah bekerjasama. Pada awalnya apabila diberitahu gandingan saya ialah Hannah Delisha, saya tertanya-tanya siapa Hannah (seloroh). Apabila tengok orangnya, oh, cantik. Tapi apa yang lebih penting, dia seorang yang berbakat dalam lakonan.

“Kami sendiri tidak mengambil masa lama untuk cepat serasi. Tambahan pula, memang banyak masa kami habiskan masa bersama di set penggambaran. Jadi, ia memudahkan lagi kerja. Bukan apa, kami pun mahu nampak serasi yang natural dan tidak kekok apabila dilihat di kaca televisyen,” usik Syafiq ketika ditemui Sensasi Bintang pada sesi fotografi baru-baru ini.


BIARPUN ada yang cuba mengaitkan mereka sebagai pasangan kekasih, baik Syafiq atau Hannah mereka sebolehnya tidak mahu terlibat dengan cinta lokasi.

Cinta lokasi

Sejak ditayangkan menerusi saluran Astro Ria pada awal bulan ini, tidak dinafikan, dua nama pelakon ini antara yang menjadi bualan netizen. Bahkan, ada yang cuba-cuba menjadikan mereka satu fenomena kisah cinta seperti gandingan drama-drama bersiri sebelum ini.

Sungguhpun begitu, bagi jejaka berusia 25 tahun ini, sebolehnya dia tidak mahu terseret sama dalam fenomena cinta lokasi. Baginya, sebagai pelakon, tugas utama yang perlu dilaksanakan adalah menggalas watak yang diberikan dengan baik.

“Kalau penonton tengok kami rapat dan mesra, itu hanyalah dalam lakonan sahaja. Kalau boleh saya tidak mahu meletakkan diri dalam situasi sedemikian. Sebolehnya, saya akan cuba elak. Cuma, saya tidak nafikan, memang adakalanya gandingan antara pelakon itu boleh membawa kepada cinta lokasi .

“Biarlah apa yang dilihat itu hanyalah di televisyen. Lagipun kita bekerja kena bersikap profesional.

Tak mahulah, dek kerana cinta dalam drama, akan memberi kesan yang lain-lain pula,” kongsi pemilik nama sebenar Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak itu.

Bukan itu sahaja, timbul juga cakap-cakap yang mendakwa Syafiq juga dilihat berpotensi untuk menjadi hero pilihan penonton di kaca televisyen. Ia dikuatkan lagi apabila ada yang cuba mengucapkan selamat tinggal kepada pelakon Fattah Amin yang sebelum ini berjaya mencipta satu fenomena menerusi lakonannya.

“Pada saya itu hak penonton sendiri kerana mereka yang menilai bakat lakonan kita. Masing-masing berhak untuk memberikan komen mereka. Fattah sendiri merupakan kawan saya.

“Apa yang saya boleh katakan, setiap orang ada pilihan mereka tersendiri. Dia ada pengikutnya tersendiri, begitu juga dengan saya. Cuma, saya amat bersyukur sekiranya dapat diterima baik dengan bakat yang dipertaruhkan,” katanya.


SYAFIQ dan Hannah menyerahkan segalanya kepada penonton untuk menilai bakat yang mereka miliki.

Hannah teruja

Bagi Hannah pula, dia menyifatkan peluang yang datang kepadanya kali ini merupakan pintu rezeki buatnya. Ini kerana, dia berpeluang untuk bekerjasama dengan barisan pelakon Malaysia yang berpengalaman dalam karya arahan Eyra Rahman itu.

“Walaupun saya masih baharu di sini, tetapi berasa teruja kerana dapat bekerja dengan satu pasukan yang banyak membantu. Apatah lagi bekerja dengan Kak Eyra, ia menjadi satu pengalaman yang baharu dan berguna buat saya.

“Ini kerana, Kak Eyra memang seorang yang cukup teliti dalam setiap karyanya. Jadi, kalau satu babak itu selagi beliau tidak puas hati, memang alamatnya tak boleh baliklah. Beliau punya standard tersendiri yang perlu kita capai. Selagi tak dapat apa yang diinginkan, ulanglah berkali-kali,” kongsi pelakon berusia 21 tahun itu.

Jika kelazimannya, slot tayangan tersebut dikenali dengan paparan wajah-wajah artis popular. Bagaimanapun, Hannah yang menyedari situasi itu berkata, dia menganggap itu sebagai satu rezeki buatnya.

Biarpun ada cuba membandingkan dirinya dengan aktres yang sudah jauh lebih popular, Hannah tidak pernah berasa tertekan. Baginya, setiap pelakon itu punya cara mereka tersendiri.

“Lagipun, saya masuk ke dalam industri ini bukan mahu bersaing dengan sesiapa pun. Apa lebih utama, kita boleh berikan lakonan terbaik seperti yang diinginkan oleh pengarah.

“Saya tahu drama sebelum ini memang mendapat sambutan luar biasa. Bagaimanapun, situasi ini tidak menjadikan saya tertekan untuk terus kekalkan momentum. Saya tahu orang mungkin akan cuba bandingkan, itu terpulang kepada mereka,” ujar pelakon kacukan British itu.

Kata Hannah lagi, biarpun ada yang cuba mengusik dirinya dengan Syafiq, dia menganggap itu sebagai lumrah sebagai anak seni.

“Saya selesa dengan Syafiq. Mesra itu di set sahaja. Kali pertama jumpa, geram tengok pipi pau dia. Kalau dia nak kacau pun tak boleh sebab ibu ada mengikut saya sentiasa,” seloroh Hannah.

Post a Comment

Previous Post Next Post