Selera makan Ramona Zamzam bertambah waktu hamil


BAGI Ramona Zamzam, berita dirinya hamil merupakan momen terindah dalam hidupnya.

TAHUN ini nampaknya, ramai dalam kalangan artis yang menerima perkhabaran gembira dengan berita rezeki kehamilan. Salah seorang yang turut menerima rezeki yang cukup bermakna itu ialah pelakon cantik, Ramona Zamzam.

Semestinya, berita kehamilan Ramona itu pada minggu ini ada yang membuatkan peminat sendiri terkejut. Ini kerana, sebelum ini Ramona sendiri pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia mahu memberikan ruang untuk dirinya dan suami menikmati masa bersama sebelum membuat keputusan untuk memiliki cahaya mata. Bukan mahu menolak rezeki, cuma ketika itu, kata Ramona, ada beberapa impian yang mahu dicapainya terlebih dahulu.

"Ya, saya memang pernah katakan bahawa saya meletakkan sasaran selama dua tahun sebelum mahu memiliki cahaya mata sendiri ketika di awal perkahwinan.

"Lagipun, semua senarai yang saya mahu capai dan lakukan sebelum ini sudah berjaya dilaksanakan. Bukan apa, saya dan suami ada beberapa aktiviti lasak yang kami mahu lakukan seperti aktiviti skuba dan mengembara. Selepas saya sudah dapat lesen menyelam, saya beritahu suami, saya sudah bersedia.

"Kalau ikutkan tak sampai dua tahun pun lagi, baru setahun sembilan bulan saya sudah disahkan mengandung," katanya ketika dihubungi Sensasi Bintang baru-baru ini.

Menurut pelakon berusia 27 tahun itu, berita tersebut merupakan satu anugerah terindah buat dirinya dan seluruh keluarga. Lebih-lebih lagi dengan kedatangan bulan Ramadan, menurut Ramona, berita itu antara momen termanis dalam hidupnya.

"Sebenarnya kami sudah tahu lebih awal, cuma ambil keputusan untuk tidak menghebohkan terlebih dahulu. Lagipun ketika itu masih lagi baru. Alhamdulillah, sekarang ini usia kandungan sudah masuk empat bulan," katanya.

Memandangkan Ramona berbadan dua ketika bulan Ramadan, menurutnya, kedatangan bulan mulia kali ini membuatkan dia terpaksa melupakan hasratnya untuk berpuasa penuh. Bukan sengaja, tetapi ia dilakukan selepas mendapat nasihat daripada doktor demi menjaga kesihatan kandungan.

"Doktor pun memang nasihat jangan berpuasa memandangkan keadaan saya berbadan dua. Katanya, anak dalam kandungan perlukan zat secukupnya. Bagaimanapun, kalau ikutkan saya memang mahu berpuasa, tetapi suami pula melarang kerana bimbangkan kesihatan saya," kongsi isteri kepada Rami Alashkar, 30.

Pada masa sama, kata Ramona, sepanjang tempoh kehamilan ini, selera makannya juga naik mendadak. Katanya, barangkali itu semua disebabkan simptom pembawakan budak.

"Bayangkan, bangun pagi sahaja sudah 'melantak' makan nasi. Sepanjang hamil ini, saya hanya mahu tidur dan makan sahaja.

"Sampaikan doktor pun minta saya kawal pemakanan kerana bimbang berat badan naik mendadak walaupun baru beberapa bulan usia kandungan. Selepas ini, saya kena kurangkan pengambilan nasi," katanya.

Dalam perkembangan lain, menurut Ramona, dia kini terpaksa melupakan seketika dunia lakonan bagi memberi fokus kepada kehamilannya.

"Tiga tawaran drama saya terpaksa tolak selepas dapat tahu mengandung.

"Lagipun, apabila drama bersiri. ia akan ambil masa berbulan untuk sesi penggambaran.

"Kalau tidak, masakan saya mahu membawa watak dalam keadaan perut semakin membesar nanti. Sekarang pun rindu dah nak kembali ke set," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post