Niena Baharun Memori berendam dalam kolah


Menjadi kelaziman kebelakangan ini, drama yang berjaya menjerat jiwa penonton akan meluapkan keinginan mereka untuk melihat pasangan lakonan bercinta di alam nyata.

Sayangnya, manis yang dipaparkan dalam sesebuah drama tidak bermakna membuahkan kemanisan cinta dalam jiwa pelakon-pelakonnya.

Nama yang turut menerima impak sebegitu ialah Niena Baharun selepas dia berlakon bersama Raja Afiq dalam drama Sayangku Kapten Mukhriz. Meskipun drama tersebut sudah habis tayangannya, hakikat yang harus ditelan Niena, peminat masih mahu dia dengan Afiq bercinta.

Sehinggakan apabila dia dan Afiq memakai baju sedondon pada majlis anugerah Bintang Popular (ABP) baru-baru ini, ternyata mengundang persoalan bercampur suka di hati peminat.

"Kami hanya kawan biasa. Sama seperti dahulu, tiada apa yang istimewa, Kebetulan masa ABP kami pakai baju warna sedondon sebab pereka fesyen masing-masing buat baju dengan warna yang sama," ujar pelakon berusia 24 tahun itu menepis gosip yang menerpa.

Sedar gosip pasti akan menyapa, namun Niena cekalkan hati untuk terus fokus pada karier lakonan. Akui Niena, dia lebih suka fokus pada karier seni berbanding gosip-gosip yang tidak bermanfaat.

Laris


NIENA merancang untuk mengikuti kelas lakonan untukmemantapkan lagi skil dalam bidang seni.

Mengakui masih solo kerana belum terikat dengan ikatan pertunangan atau perkahwinan, namun Niena tidak menolak jodoh apabila sampai masanya.

"Perancangan nak kawin itu ada. Insya-Allah, sampai masanya nanti ada lah. Doakan yang baik-baik sahaja," lenturnya manja yang kini semakin laris dengan tawaran drama.

Berbekal drama yang sama (Sayangku Kapten Mukhriz), nama dan wajah Niena pantas menjadi buruan para penerbit. Ada beberapa naskhah lakonannya yang bakal ditayangkan termasuk yang ditunggu-tunggu peminat, drama Dia Anak Jeneral. Namun, agak sayang drama tersebut masih menanti tayangannya dan dalam tempoh tersebut peminat mula merindui lakonan wanita cantik itu.

"Drama Dia Anak Jeneral tak silap akan ditayangkan pada bulan Oktober nanti. Saya sudah selesaikan tanggungjawab sebagai pelakon dalam drama tersebut, selebihnya terserah kepada pihak stesen televisyen untuk menyiarkannya.

"Bagaimanapun, peminat boleh saksikan drama sempena Ramadan lakonan saya dengan Afiq semula menerusi Nazar Cinta Ramadan. Drama berkenaan disiarkan setiap Isnin hingga Rabu, pukul 2 di TV2," ulasnya yang juga bakal muncul menerusi drama Setia Menunggumu di samping Saharul Ridzwan, Wanita Luar Biasa di samping Fahrin Ahmad, Terhentinya Doa dengan produksi Js Pictures dan kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama Ceritaku 2 di bawah produksi Aida Production.

Sambal pauh


BAGI pelakon berusia 24 tahun ini, dia lebih memberikan tumpuan kepada bidang seni berbanding melayan gosip-gosip negatif.

Walaupun terpampang riak penat pada wajahnya kerana sebulan lebih menjalani penggambaran drama Ceritaku 2, namun keceriaan di wajah jelas terpancar dan senyuman terukir di bibir tatkala bicaranya mula membutirkan kata tentang pengalaman menyambut Ramadan ketika kecil.

"Antara momen Ramadan yang Niena tidak boleh lupa ialah masa sekolah rendah dahulu. Masa cuti sekolah bulan Ramadan, Niena akan duduk rumah nenek dengan sepupu-sepupu. Bila sudah ramai dekat rumah nenek, kami buat perangai acah-acah puasa dan diam-diam berendam dalam kolah. Apabila nenek dapat tahu habis kena marah dan bebel. Kenangan itu memang Niena tidak boleh lupa sampai sekarang sebab seronok sangat," ujarnya sambil tertawa.

Tahun ketiga menyambut Ramadan sebagai pelakon, bukan mudah memahat nama dalam industri seni jika bersandar pada tawaran semata-mata.

Ada banyak pelajaran dan usaha yang perlu dititikberatkan untuk menyandang predikat seorang pelakon. Sedar akan hal itu, pelakon berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu memasang niat untuk mengikuti kelas lakonan.

"Insya-Allah, jika ada kelapangan saya merancang untuk memasuki kelas lakonan untuk mengasah lagi teknik lakonan," getusnya.

Sengaja mengajaknya berkongsi sambutan Ramadan tahun ini, dia berkongsi dua jawapan. Sahur dan adakalanya makan sebelum tidur. "Apabila saya kena bangun pagi untuk penggambaran, saya akan makan sebelum tidur. Menunya, saya akan bungkus nasi goreng atau makan roti. Lainlah kalau balik kampung, saya akan bangun sahur dan makan ramai-ramai dengan famili beraneka lauk," ujar Niena yang menggemari sambal pauh dan akan memastikan menu tersebut ada ketika berbuka.

Post a Comment

Previous Post Next Post