Hairul Azreen mahu gantikan Aaron Aziz


HAIRUL bersyukur kehadiran Hanis Zalikha dan anaknya, Yusuf Iskandar memberi ruang rezeki yang melimpah ruah kepadanya.

Siapa kita mahu menidakkan takdir seseorang. Tanpa sebarang populariti dan mata pencarian yang dilihat pada mata kasar, pelakon Hairul Azreen dituduh menumpang kesenangan isterinya, Hanis Zalikha dan kini anaknya yang meraih populariti luar biasa, Yusuf Iskandar, 12 bulan.

Ironinya, pelakon berusia 29 tahun itu sebenarnya usahawan yang memiliki beberapa rangkaian perniagaan yang diusahakan bersama Hanis. Malah, modal permulaan yang digunakan Hairul untuk mengusahakan perniagaannya juga adalah daripada duitnya sendiri.

"Saya akui saya orang susah. Jadi, pelakon pun tiada rezeki tetapi saya ada cita-cita besar dalam hidup dan ia tidak akan datang jika tanpa usaha.

"Sebenarnya, sebelum berkahwin lagi kehidupan saya sudah berubah. Dengan duit kemenangan program cabaran Fear Factor sebanyak RM100,000 seorang itu, saya membuka bisnes bersama isteri seperti tudung jenama Cakenis, pakaian (ma.lead), studio penggambaran (Hello Studio) dan pusat permainan Virtual Realiti (Captain VR)," ujarnya merangkul juara musim pertama program cabaran Fear Factor Selebriti Malaysia bersama rakan gandingannya, Dazrin dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM200,000 pada Mac 2013.

Selain rezeki kesenangan yang dikurniakan Allah, Hairul juga bersyukur kehadiran Hanis dan Yusuf yang memiliki seramai 1.4 juta pengikut di Instagram itu turut merubah dirinya menjadi popular.

"Saya yakin dengan berkat doa dan kalau kita mahukan sesuatu benda itu, kita kena berusaha. Saya pula jenis yang berani mencuba apa sahaja.

"Walaupun saya tiada pengetahuan tentang sesuatu bisnes, alhamdulillah Allah hadirkan Hanis untuk memberi tunjuk ajar dalam perniagaan kepada saya," luahnya mengenai Hanis yang memiliki diploma Pengurusan Perniagaan daripada Universiti Teknologi Mara, Segamat, Johor.

Dalam perkembangan lain, Hairul bersyukur kerana dipilih Jakel sebagai duta baju raya mereka untuk tahun ini.

"Alhamdulillah, semua benda baik yang datang dalam hidup saya adalah rezeki daripada Allah. Beberapa tahun lalu, saya tengok gambar Aaron Aziz menghiasi banting dan papan iklan.

"Terdetik di hati bila pula muka saya menjadi duta Jakel. Tiba-tiba rezeki saya dan keluarga dipilih menjadi duta untuk koleksi baju raya Jakel pada tahun ini," kata Hairul sambil ketawa.

Sementara itu, berkat membina badan di gimnasium hingga sasa membuatkan Hairul dipilih berlakon dalam sebuah filem aksi yang akan memulakan penggambaran pada Julai depan.

"Filem aksi itu membabitkan produksi besar dan saya perlu menjalani latihan kecergasan. Saya juga baru sahaja menjalani penggambaran filem berjudul Pencuri Hati Mr. Cinderella arahan Ahmad Idham," ulasnya yang turut memberitahu tidak pernah menghalang Hanis untuk terus bergiat aktif dalam bidang lakonan.

Post a Comment

Previous Post Next Post