Nabil Ahmad sasar terbit filem berkualiti


PELAWAK popular ini bakal menunaikan ibadah umrah bersama isterinya pada 14 hingga 24 Jun ini.

Biarpun cara dia mengacara mahupun melawak sering mengundang tanggapan negatif segelintir pihak, namun Nabil Ahmad membuktikan dirinya seorang yang ‘berisi’ dan mampu mencorak karier seninya.

Tidak sekadar menghasilkan tiga program di bawah syarikat produksinya, Nabil Ahmad Production, pengacara berusia 34 tahun itu juga bakal menerbitkan supertelefilem komedi seram untuk saluran Astro First dan juga filem pertamanya.

“Untuk permulaan, saya akan terbitkan tiga program terlebih dahulu iaitu sitkom Bas Stop!, game show Fan Fanatik, The Black The Vines, yang memfokus kandungan video kelakar Islamik penuh pengajaran dan supertelefilem komedi seram.

“Insya-Allah, selepas itu saya akan hasilkan satu filem menerusi syarikat produksi saya. Bagaimanapun saya tidak mahu terburu-buru untuk hasilkan sebuah filem. Kalau boleh, saya mahu hasilkan filem yang berkualiti dan mereka yang terlibat dalam filem itu akan turut merasai kepuasannya,” ujar Nabil optimis ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Jakel Barulah Raya di Wisma Jakel, baru-baru ini.

Tidak sekadar menghasilkan filem berkualiti, Nabil juga menyimpan angan-angan untuk memberi latihan kepada para pelakon dan mereka yang terlibat dalam filem pertamanya itu.

Malah, pengacara program MeleTOP itu menyasarkan tempoh dua tahun untuk menyiapkan filem yang mengangkat genre aksi itu.

“Saya harap filem itu nanti dapat memberi kelainan kepada filem-filem yang sedia ada di pasaran,” getusnya lagi.

Ditebak sama ada dia akan memperlahankan bidang pengacaraan dan melawak selepas terbabit dengan kerja di belakang tabir, Nabil mengakui kedua-dua bidang itu sudah sebati dengan dirinya dan agak sukar untuk dia melepaskannya.

“Sebenarnya, kalau nak kata saya berhenti buat lawak itu susah. Saya dengan melawak itu sudah sebati. Saya cuma pelbagaikan bakat sebagai pengacara daripada sekadar buat lawak semata-mata.

“Menerbit pula dapat memberi kepuasan kepada saya apabila penonton suka dan saya juga berasa puas apabila skrip yang saya hasilkan dapat diolah oleh orang lain dengan jayanya,” jelas Nabil.

Dalam perkembangan lain, Nabil memberitahu, dia bakal mengerjakan ibadah umrah pada 14 hingga 24 Jun ini.

Lebih istimewa, ibadah umrahnya kali ini turut disertai oleh isterinya, Nazirah Ayub. Bagaimanapun Nabil tidak membawa kedua-dua anaknya.

“Sebelum ini, saya buat umrah seorang diri, tetapi kali ini Zira akan turut serta. Ia sekali gus menjadikan ibadah umrah saya lebih istimewa,” luahnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post