Anzalna Nasir selesa kerja dengan orang yang sama


SEBENARNYA kalau diikutkan, agak lama pelakon cantik Anzalna Nasir ini tidak menghiasi wajahnya di kaca televisyen. Lebih-lebih lagi selepas dia bergelar isteri kepada jejaka tampan, Muhammad Hanif Mohamad Zaki, 29, pada awal tahun lalu.

Jika dihitung, boleh dikatakan sudah setahun lamanya juga dia mendiamkan diri. Bukan menghilang atau menyembunyikan diri, cuma bagi pelakon berusia 29 tahun itu, aturan hidupnya kini sudah berubah.

Jika dahulu, segala keputusan dibuat mengambil kira faktor dirinya sahaja, tetapi kini, tanggungjawab yang digalas sebagai isteri membuatkan dia perlu membuat banyak pertimbangan dalam segala aspek lebih-lebih lagi terhadap suaminya.

Sungguhpun begitu, menurut Anzalna, suaminya tidak pernah menghalang apa jua minatnya. Bahkan, pelakon yang kini sudah membuat kemunculan semula menerusi drama bersiri Arluna di saluran Astro Prima itu memberitahu, paling penting dia sentiasa mendapat sokongan daripada suaminya dalam segala apa yang dilakukannya.

Utamakan keselesaan

Kata Anzalna lagi, dia mengakui dirinya kini lebih selektif apabila memikirkan soal kerjanya sebagai seorang pelakon. Maka, tidak hairanlah, jika wajahnya jarang-jarang sekali muncul di kaca televisyen.

Ini kerana, menurut Anzalna, selain memikirkan kualiti jalan cerita dan karakter bagi sesuatu naskhah, dia juga selalu mengambil kira keseluruhan aspek termasuk pihak produksi yang bakal bekerjasama dengannya.

“Kalau saya sudah selesa bekerja dengan satu-satu produksi itu, memang biasanya dengan pihak produksi tersebut sahajalah yang akan saya terima untuk berlakon sama.

“Memang saya akan tunggu tawaran daripada mereka sahajalah. Ini kerana, saya sudah tahu cara mereka apabila di set penggambaran dan saya pun sudah selesa. Secara tidak langsung, perkara sebegitu memudahkan lagi untuk kita bekerja,” kongsinya ketika ditemui Sensasi Bintang dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.

Maka, tidak hairanlah jika diamati, kebanyakan wajah Anzalna banyak dihiasi menerusi karya-karya daripada syarikat penerbit Global Station Sdn. Bhd.

“Lagipun, dari awal pembabitan saya dalam industri pun bersama mereka. Jadi, itu yang buat saya cenderung untuk bekerja dengan mereka.

“Sampaikan satu tahap, kalau mereka beri tawaran berlakon kepada saya, susah untuk menolaknya,” kongsi pelakon yang pernah muncul dengan drama Memori Cinta Suraya selama 137 episod bersama syarikat penerbitan yang sama.

Sungguh pun begitu, kata Anzalna, dia menjadi lebih selektif bukanlah bermaksud dia cuba melabel diri sebagai figura eksklusif.

Cuma, katanya, jika ada yang memikirkan kuantiti, dia lebih selesa untuk menitikberatkan kualiti dalam satu karya.

“Dengan lakonan yang kita beri, dapat memberi kesan dan daripada situ orang akan ingat kita. Itu lebih penting,” katanya yang kini mula sibuk menjalani penggambaran drama 100 episod bagi drama Dendam Aurora.


AKTRES ini bertuah kerana suami memahami kerjayanya sebagai seorang pelakon

Suami teman

Bercakap mengenai drama Dendam Aurora itu, katanya, naskhah tersebut merupakan drama rantaian terpanjang kedua yang diterimanya selepas kejayaan drama Memori Cinta Suraya pada tahun 2015.

Justeru, kata pemilik nama sebenar Nur Anzalna Md. Nasir itu, buat masa ini dia akan memberikan fokus kepada drama arahan sutradara Feroz Kader itu.

“Drama itu dijadual ditayangkan bermula bulan depan. Buat masa ini, saya memang tidak ada terlibat dengan lakonan di set lain lagi.

“Lagipun, komitmen saya tinggi memandangkan ada masa saya perlu berada di set dari pagi sampai malam,” katanya yang turut bergandingan bersama pelakon Ungku Ismail dan Nabila Huda.

Menurut Anzalna, walaupun bakal menghabiskan masa yang lama dengan drama tersebut, dia tidak berdepan halangan kerana suaminya cukup memahami kerjayanya.

“Suami saya tahu kerja saya. Jadi, biasanya saya akan berbincang dengannya kalau ada satu-satu tawaran. Kalau boleh tak mahulah 24 jam di set sahaja.

“Cuma, saya tidak perlu risau kerana dia selalu ada dan ada masanya dia juga akan menemani saya sekiranya perlu berjauhan. Cuma, kalau saya mahu ke set dia akan pastikan saya selamat sampai.

“Dalam drama ini pun paling jauh lokasi penggambaran di Cameron Highlands, jadi tiada timbul isu saya akan selalu berjauhan dengan suami. Kalau kena bermalam di sana, suami saya teman,” katanya yang memberitahu drama tersebut diadaptasi daripada naskhah Itali, Tuscan Passion.

Drama tersebut secara tidak langsung bakal meletakkan wajah Anzalna tidak putus menghiasi kaca televisyen sehingga penghujung tahun ini.

“Ada kalanya saya berlakon ini mengikut mood juga. Kalau rasa nak berlakon, saya terima tawaran. Adakalanya, rasa nak duduk rumah, saya habiskan masa dengan menghias dan melakukan dekorasi.

“Lagipun, saya memang minat untuk menyusun atur perabot di rumah. Itulah yang saya lakukan sepanjang duduk di rumah sebelum ini,” katanya yang memberitahu memegang watak sebagai Puteri Adriana dalam drama yang bakal ditayangkan di saluran Astro Prima itu.

Dalam pada itu, kata Anzalna, biarpun dia terlibat dalam dunia lakonan, dia tidak gemar menonton lakonannya sendiri.

“Suami saya pun jarang menonton lakonan saya di televisyen, tetapi ibu mertua dan anak ‘buah’ tengok saya berlakon,” selorohnya yang turut merancang untuk menyambut Aidilfitri nanti bersama keluarganya di Australia.

Post a Comment

Previous Post Next Post