UNIC selesa bertiga


WAN Najdi (dari kiri), Bazli dan Mohd. Fakhrul merancang untuk merakamkan lagu Ainul Mardhiah versi baharu.

SEJAK penubuhan kumpulan nasyid popular UNIC pada 2002, sudah banyak muka-muka ahlinya yang silih berganti. Anggota asal seramai empat orang iaitu Bazli Hazwan Che Osman, Mohamad Fitri Mohamad Haris, Wan Sharifuddin Wan Hassan dan Mohd. Afendi Jahri. Bagaimanapun, tahun-tahun berikutnya kemudian memperlihatkan ada ahli yang melakukan pengunduran dan penggantian baharu.

Bagaimanapun, itu bukanlah penghalang untuk kumpulan nasyid yang popular dengan lagu Ainul Mardhiah tersebut untuk terus kekal memperjuangkan muzik yang mereka bawa. Buktinya, hari ini mereka sudah menapak selama 15 tahun lamanya.

Apa yang pasti sokongan peminat setia terhadap kumpulan nasyid itu tidak pernah berbelah bahagi. Kini kumpulan yang baru sahaja menjuarai program Gema Gegar Vaganza (GGV) baru-baru ini tampil dengan tiga orang ahli iaitu Bazli Hazwan, Mohd. Fakhrul Radhi Khamarudin dan Wan Najdi Wan Mohd. Noh.

Biarpun bertiga, semangat dan kekuatan kumpulan nasyid ini terus kekal utuh dalam memperjuangkan lagu-lagu berbentuk ketuhanan.

“Buat masa ini, kami selesa bergerak secara bertiga. Tak ada perancangan untuk mencari ahli kumpulan yang baharu,” kata Bazli selaku satu-satunya ahli kumpulan asal yang masih bersama-sama dengan UNIC.

Semestinya jika dilihat latar belakang dua orang ahli yang lain, mereka berdua sememangnya boleh dikategorikan sebagai pelengkap yang cukup sempurna. Ini kerana, Mohd. Fakhrul merupakan seorang Qari yang juga juara Akademi Al-Quran, manakala Wan Najdi pula bekas peserta Imam Muda.

Sudah pasti gabungan latar peribadi diri itu secara tidak langsung membuatkan UNIC kini punya kelebihan dan keunikan tersendiri.

“Saya kira yang paling muda di sini. Baru menyertai kumpulan ini pada tahun lalu. Sebelum ini pun, saya memang ada menyanyi juga denga menghasilkan lagu-lagu zikir.

“Saya rasa bertuah keranan dapat bersama-sama memperjuangkan nasyid bersama kumpulan UNIC ini,” jelas Wan Najdi.

Dalam pada itu, sejurus kemenangan mereka dalam GGV, menurut Bazli, mereka merancang untuk merakamkan lagu Ainul Mardhiah versi terbaharu yang dinyanyikan semula di pentas akhir program tersebut.

“Lagu yang diberi nafas baharu itu merupakan antara projek yang sedang kami laksanakan. Kami berharap selepas ini, selepas penerimaan di program realiti itu, harapnya pihak stesen radio arus perdana dapat memainkan lagu-lagu kami tanpa mengira waktu.

“Sebolehnya, tak mahulah lagu-lagu nasyid hanya dimainkan apabila tibanya bulan Ramadan atau ketika tiba waktu-waktu solat sahaja. Ini kerana setiap lagu itu mempunyai mesej cukup luas,” luah Bazli.

Dalam pada itu, tambah Mohd. Fakhrul, mereka juga mahu menjadikan kumpulan nasyid ini bukanlah sebagai satu kumpulan yang sering dikaitkan dengan imej klise seperti berjubah.

“Dalam program GGV, kalau dilihat pendekatan yang kami gunakan cukup berbeza. Kalau boleh, mahu orang ramai lebih dekat dengan kami untuk sampaikan mesej-mesej dalam lagu. Kami tidak ada pakai jubah pun sepanjang penglibatan di sana. Pada masa sama, kita tonjolkan kemahiran lain seperti lakonan. Kami mahu tunjukkan bahawa penyanyi nasyid ini juga seorang yang versatil,” katanya yang menerima respons positif daripada program tersebut.

Post a Comment

Previous Post Next Post