Ruhainies mengakui walaupun mempunyai saiz badan kecil dia sebenarnya kuat makan. Oleh sebab itu, dia tidak boleh melepaskan waktu makan sahur jika mahu berpuasa dengan tenang setiap hari.
Adat menjadi selebriti, apa sahaja perkara yang dilakukan mudah menjadi ikutan ramai. Bahang populariti seseorang selebriti sebenarnya mampu memberi impak besar kepada peminat, namun dari sisi yang lain, ada juga segelintir pihak yang dengan mudah mengambil kesempatan daripada pengaruh artis untuk kepentingan peribadi.
Menyedari perkara tersebut berlaku terhadapnya, dramatis Ruhainies mendakwa ada pihak yang menggunakan namanya sebagai jalan pintas mengaut keuntungan dengan menjual busana raya.
Tidak mahu perkara tersebut menjejaskan namanya, Ruhainies segera bertindak. Bukan dengan cara mengeruhkan keadaan atau mengambil tindakan undang-undang, dia sebaliknya menghasilkan rekaan baju raya sendiri. Koleksi raya Ruhainies kini sudah boleh didapati secara online.
“Saya tiada masalah kalau orang ingin menggunakan nama saya asalkan ia tidak membawa keburukan kepada mana-mana pihak. Namun, rasanya lebih baik saya juga hasilkan rekaan baju raya sendiri. Ia bukan untuk menutup periuk nasi pihak yang menggunakan nama saya tetapi untuk mengembangkan potensi diri dalam bidang perniagaan.
“Pihak terbabit cuma menggunakan nama saya secara terang-terangan namun tidak menggunakan gambar saya. Rasanya nama Ruhainies sangat unik dan saya seorang sahaja memiliki nama itu di Malaysia. Begitu juga nama kakak saya, Risteena,” ujar Ruhainies sambil memberitahu baju raya keluarannya boleh didapati di laman Instagram, @ruhainies.rosysecret.
Jodoh
Diusik pertanyaan berkenaan jodoh, pelakon drama Hello Mr. Perfect itu tersenyum, namun tetap memberikan jawapan ‘selamat’ sementelah menegaskan dirinya masih solo.
“Kalau boleh, esok juga saya mahu berkahwin, namun apakan daya, jodoh masih belum sampai. Usia saya pun sudah 25 tahun dan saya rasa pada tahap ini, saya sudah harus memikirkan soal perkahwinan.
“Buat masa sekarang, saya memang tiada teman lelaki yang istimewa kerana sangat sibuk bekerja. Doakanlah saya bertemu jodoh dengan cepat (ketawa),” kata Ruhainies.
Tambahnya, keluarga juga tidak memberi tekanan untuknya segera menamatkan zaman bujang.
“Ibu bapa jarang menanyakan soal kahwin kepada saya. Lebih baik Risteena yang kahwin dulu. Kalau boleh, saya tidak mahu langkah bendul tetapi kalau sudah ada jodoh, siapa saya untuk menolaknya,” tutur Ruhainies.
Baju raya Ruhainies kini dijual pada harga serendah RM299. Ia mempunyai tiga jenis rekaan iaitu Lily, Daisy dan Rose dan boleh dibeli menerusi Instagram @ruhainies.rosysecret.
Puasa
Melanjutkan bicara tentang Ramadan, Ruhainies sekeluarga mempunyai tradisi yang unik dalam menyediakan juadah untuk berbuka puasa.
Ceritanya: “Bulan Ramadan tidak sah kalau tidak ada lauk ayam masak merah. Untuk itu, kami sekeluarga akan mendapatkan ayam Belanda sehari sebelum disembelih.
“Memang setiap tahun pada bulan puasa kami sekeluarga berbuka dengan juadah istimewa yang dimasak sendiri oleh ibu. Saya cuma akan tolong apa yang patut. Ayam Belanda adalah lauk wajib dalam keluarga kami.”
Tambah Ruhainies lagi, walaupun fizikalnya kecil, pada waktu sahur, dia memastikan perutnya diisi secukupnya.
“Saya memang kuat makan. Badan sahaja kecil, namun nafsu makan saya amat besar.
“Saya pantang kalau tidak bersahur. Waktu bersahur, saya akan makan secukupnya kerana saya memang mudah lapar,” ujar Ruhainies yang bakal muncul dengan sebuah telefilem raya bertajuk Ratu Kebaya Masuk Universiti terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).