Adira Suhaimi buat pertama kali bakal beraya bersama anaknya, Anggrek di Ranau, Sabah pada tahun ini.
SEJAK melahirkan seorang anak perempuan sekitar awal Mac lalu, laman sosial Adira kini kerap dihiasi dengan gambar-gambar comel si kecil bernama Anggrek.
Adira atau nama lengkapnya, Siti Adira Suhaimi memberitahu, sejak kehadiran puteri sulungnya itu, tumpuannya kini lebih beralih kepada keluarga.
Isteri kedua kepada Datuk Seri Adnan Abu itu juga mengakui, meskipun rindu untuk kembali aktif di persada muzik, dia tetap tidak mahu mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu.
Biarpun demikian, Adira tetap optimis merangka rencana bagi melancarkan single baharu agar namanya masih kekal relevan dalam industri.
Bintang kelahiran Akademi Fantasia musim kelapan itu juga mengharapkan agar buah tangan baharunya itu tampil berbeza selain bersesuaian dengan cita rasa peminat masa kini.
KOSMO!: Setelah mempunyai seorang cahaya mata, adakah Adira akan menghadkan aktiviti seni atau berhenti daripada menjadi penyanyi?
ADIRA: Saya seorang yang suka bekerja dan tidak terfikir untuk berhenti menyanyi. Mungkin aktiviti seni akan diperlahankan kerana tidak mahu mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu kepada Anggrek. Sekiranya terpaksa, saya akan meminta bantuan daripada pembantu rumah untuk menjaga anak sementara bekerja.
Adakah suami, Datuk Seri Adnan Abu tidak mempunyai masalah sekiranya anda ingin kembali aktif dengan aktiviti seni?
Suami banyak memberi sokongan agar saya meneruskan kerjaya sebagai penyanyi, bahkan dia tidak mempamerkan sebarang reaksi kurang senang mahupun menghalang sekiranya saya ingin aktif semula menyanyi. Perkara paling utama, suami meminta agar saya tidak melupakan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu hanya kerana sibuk dengan aktiviti nyanyian.
Memandangkan anda kini telah bergelar ibu, bolehkah kongsikan pengalaman menarik semasa dalam proses melihat tumbesaran anak depan mata?
Memandangkan Anggrek masih bayi, jadi penjagaan juga tidak terlalu rumit melainkan dia akan menangis kerana lapar. Pengalaman itu sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.
Perasaan melihat dan membesarkan anak sendiri merupakan perkara yang luar biasa. Selain itu, menjadi ibu juga agak mencabar kerana perlu melayan mood anak terutama ketika berada di luar rumah.
Kebiasaannya Anggrek tidak mempunyai masalah apabila dibawa keluar rumah tetapi apabila membawanya keluar berjalan-jalan seperti di pusat beli-belah dia pasti akan merengek dan menangis.
Selain itu, saya juga berasa teruja dan gembira kerana akan beraya bersama anak pada tahun ini.
ADIRA bahagia bersama suami, Adnan.
Memandangkan sekarang ialah bulan Ramadan, apakah aktiviti yang anda lakukan?
Sekiranya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti nyanyian, saya akan habiskan masa bersama keluarga terutama anak. Selain itu, saya juga sibuk menguruskan produk penjagaan kulit, Adira Beauty.
Setelah lebih seminggu berpuasa, adakah anda telah membuat persiapan untuk sambutan hari raya?
Saya tidak banyak membuat banyak persiapan kerana segalanya akan disediakan oleh ibu di Ranau, Sabah. Sekitar dua minggu sebelum Hari Raya Aidilfitri, saya dan Anggrek akan pulang beraya di kampung.
Memegang status sebagai isteri kedua, bagaimanakah hubungan anda dengan isteri pertama Datuk Seri?
Hubungan kami tidak mempunyai sebarang masalah dan berjalan seperti biasa. Sekiranya tidak mempunyai sebarang urusan atau kekangan waktu, pintu rumah saya sentiasa terbuka buatnya untuk berbuka puasa bersama mahupun datang beraya.