Comel. Mengakui sukar mengikis watak kanak-kanak dalam setiap tawaran yang datang, Sweet berharap kemenangan pada ABPBH mampu memberikan kepercayaan kepada pihak penerbit untuk memberikannya watak yang lebih dewasa.
Ketika nama pelakon muda, Sweet Qismina diumumkan menjadi sebagai pemenang trofi Artis Baharu Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular 30 (ABPBH 3.0) baru-baru ini, ramai yang ternganga sambil mempersoalkan siapakah gadis tersebut.
Lebih malang, ramai juga yang tidak mengetahui bahawa pemilik nama sebenar, Farhana Qismina Supandi itu sudah 11 tahun berkecimpung dalam industri hiburan tanah air. Dia memulakan kariernya sebagai pelakon seawal usia sembilan tahun.
Bezanya dahulu, dia menggunakan nama pentas Sweet Farhana. Demi mengelakkan kekeliruan dengan pelakon lain yang turut mempunyai pangkal nama Farhana, dia mengubah nama pentasnya kepada Qismina.
Ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Hotel Royale Chulan Damansara baru-baru ini, Sweet mengakui hatinya sedikit terkilan apabila ramai mempersoalkan kewujudan dirinya sebagai selebriti hanya kerana namanya yang baru ditukar.
“Untuk langsung tidak berasa apa-apa bila orang tanya siapa Sweet Qismina, jujurnya tidak benar kerana itu seperti mempersoalkan kemenangan saya.
“Namun, saya cuba ambil perkara itu dari sudut positif dengan menganggap inilah permulaan baharu saya dengan nama Sweet Qismina. Biarlah kalau orang tidak kenal saya sekarang tetapi pada masa hadapan, peminat sudah tahu siapa saya,” katanya sambil tersenyum manis.
Pasca kemenangan pada ABPBH 3.0 pastinya ia menjadi pencetus buat sesiapa sahaja yang berada pada tempat Sweet untuk bekerja lebih kuat. Jika bagi pelakon lain, kemenangan tersebut akan menjadi modal untuk menjana semangat baharu demi karier yang lebih bersinar, Sweet pula sebaliknya.
Pendekatan pelakon yang popular dengan drama bersiri kanak-kanak Hikayat Putera Shazlan itu ternyata berbeza dan sepintas lalu, ia kelihatan seperti melepaskan peluang keemasan.
Anak keempat daripada lima beradik itu memilih untuk memberi fokus penuh kepada pengajian ijazah sarjana mudanya di Kolej Antarabangsa Segi dalam bidang Komunikasi Massa dan hanya menerima tawaran berlakon mengikut kesesuaian jadual kuliah.
Biarpun ada sesetengah pihak mempertikaikan keputusan tersebut dan mengatakan inilah masa terbaik untuk dia membuat perubahan terbesar dalam karier seni, wanita muda berusia 20 tahun itu langsung tidak terpengaruh dengan kata-kata sebegitu.
“Kebiasaannya, memang ramai artis akan menjadikan kemenangan dalam ABPBH sebagai pemangkin untuk semakin ligat bekerja dan menjadi antara tiket melobi watak-watak idaman.
“Saya pula jenis yang lebih selesa membuat satu perkara dalam satu masa. Sekarang, saya hanya mahu menghabiskan pengajian terlebih dulu. Saya yakin pada rezeki dan langsung tiada rasa ralat kerana mengutamakan ilmu ,” katanya yang mengaku keluarganya begitu mementingkan pendidikan biarpun terbuka dalam soal seni.
Tambah Sweet, selain berlakon mengikut kesesuaian masa, dia juga lebih selesa menjadi pengacara kerana jadual yang lebih fleksibel dan tidak menuntut tempoh komitmen panjang.
KEJUTAN. Biarpun baru sahaja memenangi anugerah Artis Baharu Wanita Popular, Sweet tidak merasakan sebarang perubahan ketara dan tetap menjadi dirinya seperti biasa. Ini kerana sewaktu kecil dia pernah berdepan momen dikerumuni peminat cilik. Oleh sebab itu dia tidak mengalami kejutan budaya dengan kemenangan tersebut
Ramadan, Syawal hambar
Beralih kisah tentang puasa dan persiapan raya, Sweet berkata, sejak dua tahun lalu, dua situasi yang sering ditunggu-tunggu oleh umat Islam itu sudah menjadi tawar dan tiada kegirangan dinantikan baginya.
Hal ini kerana, pada hari raya pertama tahun 2015, iaitu pada tanggal 17 Julai, dia kehilangan satu-satunya kakak kandung, Allahyarham Farhana Qistina apabila terlibat dalam kemalangan ngeri. Turut terlibat dalam kejadian itu adalah ibunya, Misnah Atan dan dua orang adiknya.
Terdahulu, tujuh tahun sebelum itu, bapanya, Supandi Mohammad dijemput Ilahi akibat sakit jantung, sekali gus menjadikan impak pemergian arwah kakak semakin kuat mencengkam batinnya.
“Saya rapat dengan arwah kakak kerana jarak umur yang tidak jauh dan kami sering berkongsi pelbagai rahsia yang tidak boleh diluahkan kepada mama (panggilan kepada ibu).
“Dahulu bila ayah meninggal, sambutan Ramadan dan Aidilfitri kami sekeluarga sudah sedikit muram. Kini dengan ketiadaan kakak, memang kami berpuasa dan beraya dalam keadaan ala kadar sahaja,” katanya yang turut mengalami kecederaan ringan dalam kejadian langgar lari tersebut.
Cerita anak jati Kuala Lumpur itu, setiap kali dia mengerjakan solat tarawih dan pergi beraya, jiwanya terasa kosong kerana teringatkan ahli keluarga yang telah tiada.
“Saya reda dengan apa yang terjadi tetapi tidak boleh mengelak daripada berasa sedih dan sayu setiap kali tibanya Syawal. Oleh kerana itu, saya sudah tidak mampu untuk beraya sakan pada hari raya pertama kerana kemalangan itu masih melekat dalam fikiran,” ujarnya perlahan sambil menamatkan perbualan.