Rozita Che Wan sudah ada 120 pasang baju raya


Kesibukan jadual kerja yang terlalu padat menyebabkan Che Ta tidak dapat menunaikan umrah pada bulan Ramadan ini, tidak seperti tahun-tahun terdahulu.

Saban tahun setiap kali tibanya bulan Ramadan, sudah menjadi rutin buat pelakon popular, Rozita Che Wan mengerjakan umrah dan berpuasa di Mekah. Rutin tersebut bagaimanapun berubah pada tahun ini memandangkan jadual kerja yang begitu padat sehingga tiada masa bercuti panjang.

Biarpun ralat tidak dapat mengerjakan umrah pada Ramadan tahun ini, Rozita atau Che Ta, 44, tetap bersyukur dengan rezeki yang diterima dari­Nya.

Selain sibuk dengan program Teh Tarik Che Ta yang sudah memasuki musim ketiga, isteri kepada pelakon Zain Saidin itu juga terlibat dengan penggambaran iklan, drama Gitu-Gitu Raya dan program Cerita Raya Che Ta sepanjang Ramadan ini.

Lebih menarik, tahun ini menyaksikan buat pertama kalinya, Che Ta dan anaknya, Aaisyah Dhia Rana, 3, dilantik sebagai duta pakaian muslimah popular iaitu Minaz dan bekerjasama menerusi kempen Minaz Blooming Raya 2017.

KOSMO!: Bagaimanakah perjalanan Ramadan Che Ta tahun ini?

Che Ta: Sepanjang Ramadan tahun ini jadual kerja agak padat. Saya sibuk dengan penggambaran beberapa program seperti Teh Tarik Che Ta, Cerita raya Che Ta dan drama Gitu-Gitu Raya. Selain itu, saya sibuk juga dengan syarikat produksi dan produk kecantikan sendiri serta pada masa yang sama menjalankan tugas sebagai duta pakaian muslimah, Minaz.

Biasanya anda akan menunaikan umrah setiap kali tibanya Ramadan, bagaimana pula kali ini?

Selalunya memang saya akan menunaikan umrah pada bulan Ramadan. Mengikut perancangan awal saya mahu menunaikan umrah pada 10 malam terakhir Ramadan tetapi dengan jadual yang begitu padat hasrat itu terpaksa dibatalkan. Biarpun memang agak penat tetapi saya bersyukur dengan kesibukan dan rezeki yang ada.

Adakah ini kali pertama anda bergandingan dengan Aaisyah sebagai duta pakaian Minaz?

Sebenarnya saya pun teruja sebab ini memang kali pertama saya bekerjasama dengan anak sendiri sebagai duta pakaian Minaz sempena kempen Minaz Blooming Raya 2017.

Tugas kami hanya mengayakan pakaian Minaz. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, cuma adat bekerja dengan anak kecil, pihak produksi harus mengikut jadualnya untuk sesi fotografi.

Ada masanya Aaisyah akan meragam seperti anak kecil lain, sebagai ibu saya tidak akan memaksanya semata-mata mahu menyelesaikan kerja dengan segera.


CHE TA pertama kali bekerjasama dengan anak perempuannya, Aaisyah untuk kempen Minaz Blooming Raya 2017.

Mengapakah anda bersetuju untuk menjadi duta Minaz sedangkan pada tahun lalu, anda pernah mengeluarkan koleksi pakaian raya jenama sendiri bersama Tesco?

Jika ikutkan tahun ini, saya mendapat tawaran untuk mengeluarkan koleksi pakaian raya untuk Zalora. Namun, berdasarkan pengalaman bersama Tesco tahun lalu, saya tahu bukan mudah untuk menghasilkan koleksi pakaian sendiri, tambahan pula dengan komitmen kerja lain.

Oleh itu, tawaran Minaz datang pada waktu yang tepat. Saya tidak perlu melakukan banyak kerja selain mengayakan pakaian Minaz dan membantu dari sudut promosi.

Adakah anda serik untuk mengeluarkan koleksi pakaian jenama sendiri?

Tidak serik, cuma ketika mengeluarkan koleksi pakaian raya pada tahun lalu, saya tidak mempunyai pengalaman. Bayangkan saya perlu melabur modal awal sebanyak RM400,000 sehingga RM500,000 untuk menghasilkan 6,000 pakaian serentak.

Tempoh masa untuk mendapatkan wang yang dilaburkan agak lambat kerana begitu banyak prosedur perlu diikuti. Saya bukan serik tetapi penat apabila terpaksa melakukan banyak kerja pada saat akhir.

Maksudnya anda bakal muncul lagi dengan koleksi pakaian sendiri pada tahun depan?

Insya-Allah, jika diberi masa yang mencukupi dan mempunyai perancangan awal, saya rasa tiada masalah. Saya tidak berasa rugi apabila tolak tawaran Zalora, sebaliknya lebih bimbang jika tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya. Jika ada rezeki, tahun depan saya cuba lagi.

Jika pada tahun lalu, jumlah baju raya anda, Zain dan Aaisyah mencecah sebanyak 110 pasang, bagaimana pula dengan persediaan baju raya untuk tahun ini?

Tahun ini saya dan Aaisyah mempunyai sebanyak 120 pasang baju raya dan semuanya daripada koleksi Minaz. Jadi, saya tidak perlu pening kepala untuk tempah baju raya. Selalunya saya akan sibuk pilih kain dan pilih rekaan untuk ditempah tetapi tahun ini semuanya telah siap sedia.

Post a Comment

Previous Post Next Post