Ceritera raya Janna Nick


SETIAP orang pasti ada kenangan menyambut lebaran.

Ada kisah lucu, sedih, pelik dan jelik yang mungkin sukar dilupakan.

Begitu juga dengan selebriti yang sedang meningkat naik, Janna Nick.

Ujar pemilik nama sebenar Nurul Jannah Muner, kerana insiden yang pernah berlaku itu, dia kini fobia menunggang motosikal.

"Biasalah bila hari raya, selain menziarahi rumah saudara mara, kita mestilah nak ziarahi sahabat handai.

"Saya pula jenis lasak, jadi suka tunggang motor untuk pergi beraya.

"Tapi nasib tak baik dua kali saya kemalangan dan yang paling teruk sekali dagu saya terkoyak.

"Sudahnya sekarang saya agak fobia tunggang motor. Kalau nak bawa jauh-jauh memang saya tak berapa yakin sangat," katanya kepada Media Hiburan.

Bagaimanapun, kata Janna, dia tetap menjadikan ziarah-menziarahi sebagai tradisi dan aktiviti wajib setiap kali hari raya.

Bintang berusia 22 tahun ini menambah, biarpun sudah bergelar selebriti, namun dia masih mengamalkan sambutan lebaran secara sederhana, apatah lagi sepanjang Ramadan lalu, dia terikat dengan penggambaran.

"Alhamdulillah saya sudah berada di kampung, di Sungai Petani, Kedah sejak hari raya pertama lagi. Itu pun saya hanya pulang ke kampung selepas menjalani penggambaran 60 episod drama Dia untuk siaran TV3.

"Saya juga tak buat persiapan berlebihan dan hanya mengayakan baju sendiri menerusi kolaborasi ArdellxJannaNick.

"Lagipun keluarga saya jarang berpakaian sedondon pada pagi raya sebab masing-masing sibuk di dapur. Jadi saya pakai saja baju yang saya ada," kata Janna yang turut membantu keluarga menyediakan bihun sup utara, kuah kacang, lemang dan rendang.

Kuruskan badan

Janna, hanya berada seminggu di kampung halaman sebelum pulang ke Kuala Lumpur kerana terikat dengan penggambaran drama bersiri berjudul Coffee Prince arahan Michael Ang.

Drama yang diadaptasi dari sebuah drama Korea ini menuntut Janna mengurangkan berat badan sebanyak 10 kilogram kerana wataknya memerlukan pelakon itu menyamar menjadi lelaki.

"Jadi bila badan susut, secara tak langsung akan menghilangkan bentuk badan wanita.

Janna mengakui agak sukar dan mencabar untuk menurunkan berat badan kerana ketika Ramadan dia banyak menerima jemputan berbuka malah ketika hari raya juga tidak terlepas dengan menjamu selera.

"Takkanlah kita nak pandang saja menu yang ada.

"Mujur saya ni jenis pandai kawal makan. Tapi taklah bergantung pada mengurangkan kuantiti makanan sahaja, saya amalkan juga senaman untuk memastikan badan lebih fit dan sentiasa sihat," ujarnya.

Janna sendiri selesa bersenam kerana baginya, aktiviti itu adalah cara paling sihat menurunkan berat badan.

Selain akan kembali berlakon, Janna berkata, dia juga kini terikat sebagai duta Lebuhraya Plus dan Toyota Gazoo Racing.

Post a Comment

Previous Post Next Post