MERIAH - Selain kehadiran anak keduanya, Ariana, sambutan Aidilfitri kali ini juga lebih bermakna buat Alif kerana adik-adiknya juga baru sahaja menimang cahaya mata, sekali gus menjadikan raya kali tahun bertambah meriah.
Menginjak zaman teknologi serba canggih, rata-rata kiriman ucapan selamat hari raya sudah mula dipraktikkan menerusi khidmat pesanan ringkas, aplikasi WhatsApp atau melalui media sosial masing-masing.
Tiada lagi kegirangan atau keterujaan menanti ‘abang posmen’ di hadapan rumah yang membawakan kad-kad raya yang ditulis oleh sahabat handai atau saudara-mara sebagai tanda ingatan di pagi raya.
Biarpun situasi sebegitu dianggap biasa untuk generasi sekarang, berbeza pula dengan pendapat penyanyi, pelakon dan pengacara popular, Alif Satar yang sehingga kini masih mengamalkan kiriman kad raya untuk ahli keluarga dan teman-teman rapat.
Katanya, tabiat tersebut dimulakan oleh kedua orang tuanya, Mohd. Satar Ramli, 51, dan Hafiza Muhammed, 57, yang sejak kecil lagi mengajarnya tentang betapa bernilainya setiap tulisan atau kata-kata tulisan sendiri di atas kad berbanding meniru ucapan orang lain.
“Teknologi itu bagus dan tiada salahnya cuma kadangkala kita terleka dengan kemudahan yang ditawarkan sehingga sampai pada satu tahap, kita langsung tidak baca ucapan yang kita kirimkan, sebaliknya hanya menularkan apa yang disampaikan oleh orang lain.
“Ucapan hari raya sepatutnya datang daripada hati dan bersifat ikhlas kerana kita saling meraikan hari kemenangan selepas berpuasa sebulan. Jadi, walaupun hanya sekadar menulis Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir batin, ia akan lebih bermakna daripada mesej berjela-jela tetapi kosong jiwa,” katanya sewaktu menjalani sesi fotografi bersama keluarga untuk edisi raya Kosmo! di Hotel Royale Chulan Damansara, baru-baru ini.
Menurut pelakon siri Dia Semanis Honey itu, setiap tahun sehingga kini, dia tidak pernah lupa untuk mencetak foto mereka sekeluarga untuk dijadikan kad raya dan dikirimkan kepada sanak saudara serta rakan-rakan.
Kata Alif, jika dia tidak memperuntukkan masa membuat kad raya, sambutan Aidilfitri pada tahun berkenaan terasa seperti tidak lengkap atau sempurna.
Bukan itu sahaja, ada masanya dia memilih untuk tidak membalas mesej-mesej ucapan raya yang dikirimkan menerusi mesej atau media sosial jika merasakan si pengirim tidak benar-benar memaksudkan apa yang ditulis.
“Kita boleh membezakan sama ada mesej atau ucapan yang diberi itu sekadar menempel hasil kiriman orang lain atau mereka sendiri yang menulisnya.
“Rasanya tidak susah untuk menulis ucapan ringkas tetapi ikhlas kerana itu yang akan membuatkan penerima lebih gembira ketika membaca,” katanya lagi.
Raya berempat
Beralih cerita tentang sambutan raya untuk tahun 2017, wajah pelantun lagu Lelaki Seperti Aku itu serta-merta bercahaya. Pandangannya segera dilemparkan buat si isteri, Sha Dila Halid, 33.
Ternyata Syawal kali ini menjanjikan kemeriahan dan kemanisan yang berganda buat keluarga kecil Alif yang baru sahaja menerima ahli baharu, si comel Ariana Mecca, empat bulan, selain anak sulungnya, Alisha Anugerah yang kini berusia dua tahun.
Menganggap hari raya adalah waktu bersama keluarga, pengacara Clever Girl itu memperuntukkan cuti selama dua minggu untuk berkunjung ke rumah sanak saudara dan pulang ke kampung halaman.
“Setiap tahun saya dan keluarga menyambut Aidilfitri di ibu kota tetapi apabila masuk raya ketiga atau keempat, kebiasaannya kami akan balik kampung di utara tanah air untuk menjenguk saudara-mara yang masih menetap di sana.
“Saya akan memastikan tempoh cuti raya digunakan sepenuhnya untuk melayan permintaan dan kehendak isteri serta keluarga pada hari-hari biasa, saya selalu sibuk dengan jadual kerja,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Alif juga menyerahkan sepenuhnya tugasan membuat persiapan raya kepada Sha kerana yakin pilihan isteri adalah yang terbaik. Tindakan sebegitu juga diyakini mampu menggembirakan hati wanita itu yang mahu menyiapkan baju sedondon mereka sekeluarga.
Tambahnya, setiap kali menjelang Syawal, dia hanya fokus dalam penyediaan menu istimewa raya iaitu kari kambing yang dimakan bersama lemang pada hari pagi raya pertama.
Mengakui, menu berkenaan sebagai juadah wajib yang hanya akan dimasak sekali setahun, Alif berkata dia mewarisi bakat tersebut daripada ibu bapanya yang memang gemar memasak.
“Saya tidak mempunyai makanan tradisional atau kuih raya yang saya benar-benar suka kecuali kari kambing yang saya masak sendiri.
“Hidangan ini memang istimewa kerana saya hanya akan membuatnya pada Hari Raya Aidilfitri sahaja dan memang sentiasa ditunggu-tunggu oleh ahli keluarga lain,” katanya lebih menggemari muruku berbanding kuih raya biasa.