Aaron Aziz elak berlakon babak aksi


MELEBARKAN sayap kariernya ke peringkat antarabangsa, Aaron Aziz bakal muncul dalam sebuah filem Tamil berjudul Tik Tik Tik yang dijadualkan tayangan menjelang hujung tahun nanti.

AWAL tahun ini, aktor popular Aaron Aziz pernah mengambil masa selama berbulan-bulan untuk berehat selepas mengalami kecederaan teruk pada bahagian tengkuk. Semuanya berlaku ketika dia menjalani penggambaran filem bertajuk Suamiku Encik Perfect 10 pada 2015.

Disebabkan kecederaan tersebut, kelibat Aaron atau nama lengkapnya Aaron Mustapha Aziz dalam kaca televisyen tidak kelihatan.

Kali terakhir, wajah hero filem Ombak Rindu itu mengubat kerinduan peminat menerusi drama Isteri Tuan Ihsan pada hujung tahun lalu.

Bukan sengaja menyepikan diri namun Aaron menjelaskan, kehilangannya dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini terjadi kerana dia mahu meluangkan waktu untuk berehat bagi memulihkan tahap kestabilan kesihatan ekoran kecederaan yang dialami.

Ikuti penjelasan daripada aktor berusia 41 tahun itu yang ditemui pada majlis Sembang Santai Raya Jakel di Jakel Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini selain berkongsi mengenai perkembangan terkininya.

KOSMO!: Agak lama tidak mendengar cerita mengenai Aaron. Boleh kongsikan perkembangan karier anda buat masa ini?

AARON AZIZ: Perjalanan karier masih berjalan seperti biasa. Bukannya saya sengaja membawa diri cuma mungkin disebabkan sibuk dengan penggambaran filem sebelum ini, jadi saya agak kurang muncul dalam mana-mana media cetak atau elektronik. Buat masa ini, saya ada dua buah filem yang masih belum ditayangkan. Salah satunya daripadanya adalah filem Tamil berjudul Tik Tik Tik.

Boleh ceritakan dengan lanjut mengenai pembabitan anda dalam filem Tamil tersebut?

Penggambaran filem tersebut yang dijalankan di India sudah pun selesai dan kemungkinan besar akan ditayangkan di pawagam menjelang hujung tahun ini. Selain ditayangkan di India, ia juga akan memasuki pasaran negara ini.

Saya sangat bersyukur dan teruja apabila diberi tawaran berlakon dalam filem berkenaan kerana ia membuka peluang baharu untuk saya mengembangkan karier ke peringkat antarabangsa. Filem tersebut turut dibintangi pelakon India Jayam Ravi dan Nivetha Pethuraj.

Sebelum ini anda pernah mengalami kecederaan pada bahagian tengkuk. Jadi, bagaimana perkembangan terkini tahap kesihatan anda?

Syukur, semuanya dalam keadaan baik walaupun masih ada sedikit rasa kebas selain tidak boleh bergerak lasak dan melakukan kerja berat. Pada awal kecederaan, saya langsung tidak mendapatkan rawatan di hospital kerana fikir ia hanya sakit biasa.

Namun, keadaan bertambah teruk selepas saya mengangkat anak ketika bermain bersama mereka. Selepas dipaksa oleh isteri, barulah saya membuat pemeriksaan dan doktor beritahu, ada saraf yang tersumbat pada celah tulang tengkuk yang menyebabkan darah tidak berjalan dengan baik.

Sebenarnya doktor menyarankan saya melakukan pembedahan untuk membuang saraf yang tersumbat tetapi saya jenis yang tidak sukakan hospital dan jarum, jadi saya lebih rela memilih untuk menjalani rawatan seperti biasa berbanding dibedah (ketawa).

Jadi, bagaimana dengan karier selepas ini memandangkan anda tidak boleh melakukan kerja-kerja lasak?

Kerja lakonan berjalan seperti biasa, cuma saya perlu kurangkan babak aksi. Tiada masalah untuk menerima tawaran berlakon filem aksi tetapi saya perlu minta pelepasan agar tidak perlu melakukan adegan lagak ngeri.

Bagaimana pula dengan rutin anda sepanjang bulan Ramadan ini?

Sekarang saya masih menjalani penggambaran drama My Darling Inspektor Daniel yang akan ditayangkan tidak lama lagi. Dalam drama tersebut, saya bergandingan dengan penyanyi Elizabeth Tan selain beberapa pelakon lain seperti Erra Fazira, Dazrin Kamaruddin dan Siti Elizad. Saya juga bakal muncul drama Isteri Tuan Ihsan Raya versi raya bersama Amyra Rosli. Untuk filem pula, dalam masa terdekat saya bakal berlakon dalam sebuah filem adaptasi novel sekali lagi. Saya belum boleh berkongsi lanjut tentang judulnya kerana ia masih dalam peringkat awal.

Post a Comment

Previous Post Next Post