Konsert tidak jejas Ramadan Sheila Majid


Sheila Majid sudah memilih sekitar 40 buah lagu untuk dinyanyikan sepanjang konsertnya Sheila Majid: The Concert In Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung pada 5 Ogos depan.

ADA dua kerisauan yang melekap kuat pada dinding jiwa Datuk Sheila Majid menjelang konsert Sheila Majid: The Concert In Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung pada 5 Ogos depan.

Selain masalah teknikal yang menurut beliau tidak mungkin dapat dielakkan, pelantun lagu Ku Mohon itu turut mengharapkan diberi kesihatan yang baik supaya persembahannya pada malam tersebut berjalan dengan sempurna.

“Pernah suatu ketika, saya kehilangan suara beberapa jam sebelum konsert berlangsung. Perasaan saya ketika itu hanya Tuhan sahaja yang tahu. Mana mungkin saya membatalkan persembahan pada saat akhir.

“Bagaimanapun, konsert yang berlangsung di Brunei itu berjalan dengan lancar selepas saya menerima rawatan dan mengikut nasihat yang diberikan doktor,” ujar beliau pada majlis sidang akhbar pengumuman penaja bagi konsert Sheila Majid: The Concert In Kuala Lumpur di Hotel Double Tree by Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pemilik nama lengkap Shaheila Abdul Majid itu berkata, pengajaran yang boleh dikutip daripada peristiwa tersebut adalah sentiasa meletakkan diri sebagai keutamaan dan beringat walaupun terpaksa menjalani latihan untuk satu tempoh yang panjang.

“Sejujurnya, menguruskan sebuah konsert berskala besar menuntut tenaga yang banyak. Ada sahaja perkara yang perlu diselesaikan bermula dari hari pengumuman penjualan tiket, sehinggalah pada malam konsert.

“Namun, perkara tersebut merupakan lumrah bagi seorang penghibur. Apa yang boleh saya ubah adalah amalan rutin harian supaya ia dapat disesuaikan dengan latihan konsert kelak,” katanya yang pernah pengsan sebaik sahaja selepas menjayakan konsert 30th Anniversary Concert Kerinduan Sheila Majid di Jakarta, Indonesia tahun lalu.

Persediaan

Bercakap mengenai persediaan, penghibur berusia 52 tahun itu mengakui telah memilih sekitar 40 lagu untuk dinyanyikan pada konsert tersebut.

Ujar beliau, lagu-lagu tersebut dipilih adalah berdasarkan hits kegemaran ramai yang dipetik daripada lapan album studio yang pernah dirakam.

“Buat masa ini, saya telah memilih sekitar 40 buah lagu. Mungkin berbunyi agak banyak tetapi setiap satu daripadanya diminati khalayak.

“Selain itu, saya juga perlu mengambil kira judul-judul bukan single dan karya baharu yang dimuatkan dalam album Boneka. Barangkali, ada lagu yang akan dinyanyikan secara medley untuk memberi kepuasan kepada setiap penonton yang hadir nanti,” jelas beliau panjang lebar.

Diadakan di Stadium Negara, Kuala Lumpur, konsert yang mendapat tajaan Taiwan Halal Festival tersebut dilihat bakal mengulang sejarah konsert Mega Tour pada 1999 yang diadakan di lokasi sama.

Hal ini kerana, dua kategori tiket bagi konsert tersebut iaitu Premium yang berharga RM888 dan CAT1 (RM388) telah habis dijual.

Pada masa yang sama, tiket-tiket kategori lain juga laris sejak dibuka penjualan sekitar sebulan lalu.

Perkembangan positif

Melihat situasi tersebut sebagai suatu perkembangan positif, Sheila berasa bangga kerana masih ada peminat yang menghargai muzik dan mahu menonton konsert beliau secara langsung.

“Saya berasa sungguh teruja kerana selalunya, peminat hanya rancak membeli tiket konsert seminggu sebelum persembahan berlangsung.

“Lain pula ceritanya kali ini, saya melihat situasi ini sebagai petanda positif, lebih-lebih lagi dengan keadaan industri hiburan sejak kebelakangan ini,” katanya.

Sheila bagaimanapun sempat berpesan kepada peminatnya supaya segera mendapatkan tiket sebelum kehabisan.

“Saya diberitahu bahawa peminat dari luar negara juga bakal terbang ke Malaysia untuk menyaksikan konsert ini. Justeru, peminat perlu cepat membeli tiket sebelum semuanya kehabisan,” tutur Sheila sambil ketawa.

Melihat pada susur masa sebelum berlangsungnya konsert, Sheila terpaksa menjalani latihan sepanjang bulan Ramadan.

Ratu Jazz negara itu berkata, rutin harian sepanjang bulan puasanya tidak akan berubah, begitu juga sambutan Aidilfitri pada tahun ini.

“Keluarga kami begitu rapat dan saya tidak boleh ‘meninggalkan’ hari raya pada tahun ini semata-mata mahu membuat persediaan konsert.

“Segalanya berjalan seperti biasa termasuklah solat tarawih bersama. Cuma, jadual kerja diselitkan dengan latihan vokal dan juga aktiviti senaman pilates,” tutup Sheila.

Post a Comment

Previous Post Next Post