Waris dedikasi album baru buat karyawan seni


MUZAMMIL Alias atau nama komersialnya, Waris melancarkan album keduanya berjudul W.A.R.I.S Alumni terbitan Mixology Music di Parklane Commercial Hub, Kelana Jaya, baru-baru ini.

Menyifatkan album keduanya itu satu naskhah istimewa, Waris turut menyimpan harapan besar agar W.A.R.I.S Alumni mencipta sukses sama seperti mana album pertamanya, Rembau Most Wanted.

Untuk rekod, album tersebut mengambil lebih tiga tahun untuk disiapkan.

“Alhamdulillah, usaha saya boleh dikatakan berbaloi apabila album kedua ini akhirnya dapat dilancarkan. Meskipun ia mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan, namun saya cukup berpuas hati dengan hasilnya.

“Semoga album ini dapat diterima ramai dan boleh ‘boom’ seperti album saya yang pertama,” katanya kepada Media Hiburan.

Ditanya apakah signifikan judul album tersebut terhadapnya, penyanyi kelahiran Rembau, Negeri Sembilan ini menjelaskan, Alumni itu sendiri membawa maksud bekas pelajar.

Daripada perspektifnya, Alumni itu memberi refleksi terhadap dirinya sendiri yang sudah lima tahun terlibat dalam dunia seni, dan sepanjang tempoh tersebut, dia sudah belajar mengenai dunia seni.

Malah, rakan-rakan lain juga membantu dari segi memberikan nasihat, tunjuk ajar dan sebagainya.

“Sebab itulah, saya juga mahu dedikasikan album ini kepada karyawan seni yang selama ini banyak membantu.

“Terima kasih juga buat semua yang terlibat di dalam penghasilan album ini,” ujar Waris yang turut menambah, untuk album kedua, sisi muziknya lebih matang berbanding album sebelumnya.

“Muziknya lebih kurang sama dengan album sulung. Cuma pembaharuan itu boleh dilihat dari segi komposisi selain apresiasi terhadap insan istimewa di hati saya juga.

“Misalnya untuk lagu Tepuk, saya hasilkan ia khas untuk anak. Sementara single Cara Lama juga saya hadiahkan buat isteri tercinta.

“Dalam Perjalanan pula mengisahkan mengenai hal yang berkaitan dengan kesedaran sivik, sisi positif yang perlu kita terapkan dalam diri. Boleh dikatakan, lagu ini antara lagu yang paling saya suka dalam W.A.R.I.S Alumni.

“Sudah tentunya, album kedua ini begitu dekat dengan diri saya,” akuinya yang turut mengadakan showcase istimewa bersempena dengan pelancaran album berkenaan.

‘Jual album’ di media sosial

Dalam perkembangan lain, DJ Fuzz yang turut terlibat secara langsung di dalam penerbitan album ini turut memberitahu, album kedua waris ini akan dijual menerusi platform muzik digital.

Tambahnya, kuasa media sosial tidak dapat dinafikan. Lalu peluang itu diguna pakai untuk menjual album dan diyakini, ia bakal mendapat sambutan menggalakkan.

“Kalau kita lihat kelompok yang mengikuti muzik Waris terdiri daripada orang muda, yang secara mudahnya merupakan individu yang kerap menggunakan jaluran media sosial.

“Jadinya kami cuba mengambil peluang ini untuk memberi kemudahan kepada peminat untuk membelinya secara maya dalam kadar yang lebih cepat,” kongsinya DJ Fuzz.

Manakala bagi Waris, kita tidak boleh meragui akan kelebihan media sosial ini.

“Semua orang ‘guna’ internet dan rasanya, peminat sekarang pun lebih gemar untuk menyimpan lagu-lagu yang digemari mereka secara arkib maya,” katanya lagi.

Berkongsi mengenai projek lainnya pula, anak kedua dari empat beradik ini menjelaskan dia lebih senang untuk memberi fokus terhadap promosi album terbarunya buat masa ini.

“Sebelum ini saya sudah terlibat dalam macam-macam program. Rasanya kali ini saya mahu slow down dan memberi tumpuan terhadap album W.A.R.I.S Alumni.

“Bulan lalu, saya baru saja selesai menjalani penggambaran untuk rancangan Kompas Muzik untuk siaran TV1,” akhiri Waris.

Post a Comment

Previous Post Next Post