Wany Hasrita akui rasa takut


LAGU Menahan Rindu dendangan pendatang baru, Wany Hasrita benar-benar melonjakkan nama bekas pelajar Sains Perubatan di Universiti Sains dan Pengurusan (MSU), Shah Alam ini di arena seni suara tanah air.

Sehingga kini, lagu tersebut juga mencatat rekod tersendiri apabila ditonton hampir 14 juta pelayar YouTube sejak ia dimuat naik di laman tersebut hujung tahun lalu.

Angka tersebut sudah tentunya membuatkan si penyanyinya melirik senyuman panjang kerana sebagai penyanyi pelapis muda dalam dunia seni, sudah pasti khabar tersebut menjadi suatu berita menggembirakan.

Masakan tidak, populariti lagu itu juga secara tidak langsung turut mengheret pemilik nama lengkap Nursyazwany Hasrita Hasbullah ke kancah glamor yang bukan calang-calang.

Berkongsi mengenai perkara tersebut, anak jati Kuala Lumpur ini akui, dalam pada gembira kerana dirinya diterima baik peminat, namun ada ketikanya dia rasa takut.

Bukan takut atau bimbang atas faktor keselamatan atau privasi, namun bintang muda ini risau andai skala populariti itu akhirkan akan memakan diri sendiri.

“Alhamdulillah, lagu Menahan Rindu memberi langkah kanan buat saya masuk industri seni. Terima kasih buat semua yang memberikan sokongan. Apa pun, saya agak terkejut dengan perkembangan ini. Sekelip mata peminat sudah kenal.

“Bagaimanapun saya sedar, sebagai orang baru saya masih lagi kena belajar untuk memberikan yang terbaik buat peminat pada masa depan.

“Tidak boleh mengharapkan magis single sulung semata-mata,” akuinya yang penah belajar vokal dengan Ernie Zakri sejak tahun lalu untuk mengasah vokalnya.

Katanya lagi kepada Media Hiburan, dia pernah meluahkan rasa bimbangnya kepada ibu, Norita Jaafar,46.


“Saya pernah cakap padanya, saya takut kerana cepat sangat naik. Bila ingatkan balik, tiba-tiba rasa down. Tapi ibu naikkan semangat saya kembali. Katanya, saya kena percaya pada rezeki.

“Setiap individu itu sudah ditentukan rezekinya. Kalau saya tiada lagi rezeki dalam seni, mungkin ada tuah di tempat lain.

“Jadi saya pegang kata-kata itu dan hanya fokus untuk terus konsisten dan berikan yang terbaik untuk semua,” azam Wany yang kini popular dengan lagu duetnya bersama Tajul berjudul Di Sana Cinta Di Sini Rindu.

Khabar gembira turut dikongsi penyanyi ini kepada Media Hiburan apabila lagu tersebut sudah pun ditonton lebih 7 juta penonton menerusi YouTube.

Berdebar tunggu single solo kedua

Dalam perkembangan lain, Wany juga teruja untuk menantikan single kedua solonya yang bakal dilancarkan dalam tempoh terdekat.

Sambungnya, lagu yang menggunakan judul Ritma Hati sebagai ‘working title’ itu mempunyai melodi heavy balada, sama seperti Menahan Rindu.

“Genrenya masih lagi sama. Namun kelainan untuk single kedua difokuskan kepada muzik dan penghayatannya. Rasa berdebar juga untuk nantikan apakah reaksi peminat terhadap lagu tersebut.

“Apa pun, saya mengharapkan yang the best untuk lagu ini. Semoga ia juga boleh jadi ‘boom’ seperti Menahan Rindu, Insya-ALLAH,” kata Wany yang selesai rakam lagu tersebut awal Mei lalu.

Sementara itu, anak tunggal ini juga sempat merakamkan rasa terharu kerana rezekinya tidak putus-putus sehinggalah Ramadan ini.

Malah, Wany sendiri baru saja selesai menjalani penggambaran untuk sebuah lagu raya bersama artis FMC Music yang lainnya di Melaka.

Berbesar hati dengan Datuk Siti

Dalam perkembangan lain, Wani juga tidak boleh menyembunyikan perasaan gembira apabila lagu Menahan Rindu juga turut dinyanyikan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.

Penyanyi hebat itu mengalunkan lagu tersebut di majlis album terbarunya, SimetriSiti apabila diminta pihak media.

Video Datuk Siti yang nyata sporting itu menjadi tular di media sosial bulan lalu.

“Mula-mula saya dapat tahu Datuk Siti nyanyi lagu Menahan Rindu bila ramai kawan dan wartawan yang mesej. Malah, saya ada juga menonton video tersebut menerusi Instagram pengurusnya.

“Saya sangat berbesar hati sebab she is one of my idol.

“Memang saya kena akui, dia nyanyi lagu tersebut sangat sedap. Rasa bangga pun ada dan sebab itulah saya repost video tersebut di Instagram.

Baru-baru ini kami ada bersua di sebuah majlis dan saya ucapkan terima kasih padanya. Pesan Datuk Siti, all the best dan good luck dalam kerjaya seni,” akhiri Wany yang turut mengharapkan sokongan peminat terhadapnya akan kekal konsisten sampai bila-bila.

Post a Comment

Previous Post Next Post