Cara Oki Setiana Dewi sambut Ramadan


Mahu sambut Ramadan kali ini dengan lebih baik.
BULAN Ramadan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan malahan umat Islam berlumba-lumba mengejar pahala yang dijanjikan ALLAH SWT.

Sehubungan dengan itu, selebriti dari Indonesia, Oki Setiana Dewi sempat memberikan nasihat dalam menyambut Ramadan al-Mubarak ini.

"Kalau untuk diri saya, saya sering buat Ramadan ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Lebih senang jika sudah dibuat target apa yang ingin dicapai.

"Contohnya, tulis di dalam buku apa target Ramadan tahun ini, hendak khatam al-Quran berapa kali dan juga ibadah-ibadah lain, melalui cara ini kita ada visi dan misi untuk diikuti," katanya ketika ditemui di Konsert Akhir Gema Gegar Vaganza (GGV) baru-baru ini.

Tambahnya lagi, perkara-perkara seperti ini juga harus dijadikan amalan bersama rakan-rakan.

"Perlu ada teman untuk kongsi target-target ibadah semasa Ramadan ini dengan tujuan untuk saling ingat-mengingati.

"Selain itu, boleh juga dijadikan persaingan sihat sesama teman dalam mengejar pahala ibadah ramadhan," katanya lagi.

Sementara itu, Oki yang juga merupakan juri tetap untuk GGV melahirkan rasa kagumnya dengan rancangan yang berunsur keagamaan yang ada di Malaysia.

"Jika di Indonesia, program seperti ini hanya ditayangkan ketika bulan Ramadhan sahaja namun saya begitu kagum kerana program berunsur keagamaan sangat diterima oleh masyarakat di sini.

"Justeru, saya sangat suka dan bangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada rancangan ini," katanya lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post