Pasangan pelakon dan pemain bola sepak ini bakal menimang cahaya mata baharu pada Jun ini.
Baru-baru ini, kecoh seketika mengenai penyerang lincah skuad Harimau Malaya, Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak yang dikatakan bergandingan dengan pelakon Elfira Loy dalam satu klip video.
Tidak pasti sama ada ia merupakan klip video lagu atau drama, bagaimanapun video yang dimuat naik di Instagram @tv3malaysia itu mengundang perhatian ramai.
Ramai yang menebak bahawa suami kepada pelakon Ayu Raudhah itu kini menceburi bidang lakonan.
Menyuakan persoalan itu kepada Zaquan yang kini beraksi bersama pasukan bola sepak Perak, dia hanya ketawa di hujung talian.
“Bukan berlakon atau menjadi model muzik video, sebaliknya video yang menunjukkan saya memandang Elfira menerusi dalam kereta itu adalah sempena kempen TV3 iaitu Syukur Selalu.
“Alhamdulillah, tahun ini TV3 buat kelainan dengan menawarkan atlet bola sepak pula sebagai duta kempen mereka,” ujar Zaquan yang terpilih menjadi Duta Kempen Syukur Selalu TV3 bersama beberapa selebriti termasuk Ayda Jebat, Mira Filzah, Redza Rosli dan Elfira Loy.
Gembira dengan tawaran tersebut, Zaquan menganggap tawaran daripada TV3 itu tidak harus disia-siakan, sementelahan pengurusan bola sepak Perak juga memberi pelepasan kepadanya.
“Pengurusan bola sepak Perak okey, asalkan penglibatan saya itu tidak mengganggu jadual latihan dan perlawanan,” ujarnya yang kini masih terkejut dengan tawaran sebagai duta Kempen Syukur Selalu TV3 itu.
Bagaimanapun, Zaquan menarik nafas lega kerana Ayu ada di sisinya memberi sokongan sepanjang penglibatannya sebagai Duta TV3. Dia juga gembira tawaran itu dapat mendekatkan lagi dirinya dengan orang ramai.
Zaquan dan isteri tercinta, Ayu Raudhah.
“Saya juga sama seperti duta-duta lain yang mana akan turun padang untuk mempromosikan program-program istimewa di saluran TV3 dan TV9 sepanjang Ramadan ini.
“Cuma, ada beberapa tempat sahaja yang akan saya turun padang bergantung kepada kekosongan jadual perlawanan dan latihan bola sepak,” katanya lagi.
Ditebak sama ada peluang sebagai Duta TV3 itu membuka jalan kepadanya untuk bergelar pelakon kelak, Zaquan hanya ketawa.
Katanya, tidak terlintas langsung di fikirannya untuk bergelar pelakon memandangkan komitmennya sebagai peman bola sepak menuntutnya setiap masa berada di padang.
“Tidak mungkin ke arah itu (berlakon). Jadual latihan dan pertandingan bola sepak saya terlalu padat,” luahnya.
Ayu bakal dapat anak perempuan
Sementara itu, Ayu pula mendedahkan, dia dan Zaquan bakal menerima kehadiran cahaya mata perempuan yang dijangka lahir pada 10 Jun nanti.
“Saya takut juga mahu uar-uarkan jantinanya. Pun begitu, menerusi imbasan ultrabunyi doktor mengesahkan saya bakal dapat anak perempuan. Tetapi kita tidak tahu kuasa Allah sama ada benar jantinanya perempuan atau lelaki bila dilahirkan kelak,” ujarnya yang berharap menerima cahaya mata perempuan selepas mempunyai dua anak lelaki iaitu Muhammad Aisy Qaiser, 4, dan Muhammad Aisy Aryan, 3.
Mengakui berat badannya naik sehingga 70 kilogram ketika mengandungkan anak ketiganya, Ayu berharap dapat menurunkan berat badan menjadi 50 kilogram sebelum mengambil keputusan untuk berlakon semula.
“Ada tawaran drama selepas bersalin nanti. Cuma, saya masih berfikir mahu menerimanya atau tidak. Jika berat badan turun 50 kilogram, mungkin saya kembali berlakon,” ujarnya tertawa ketika dihubungi Sensasi Bintang.