“Dahulu, saya cepat panas hati kalau ada orang menegur atau mengkritik di Twitter atau laman sosial lain. Sehinggakan kalau ada orang ingin mengkritik, saya tolak dan mempersoalkan mereka siapa untuk bercakap mengenai saya?
“Bagaimanapun, apabila sampai ke fasa lebih matang, saya sedar yang sebagai seorang figura umum, kritikan tersebut tidak boleh ditolak begitu. Kena ambil dari sudut positif yang mana kita boleh memperbaiki diri,” kata pelakon dan penyanyi kacak, Nazim Othman saat berbicara kepada Sensasi Bintang ketika ditemui dalam sesi fotografi di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Itu imbauan diri Nazim yang dahulu. Dia mengakui, ketika itu darah mudanya membuatkan dia dilihat dan pernah dilabel sebagai antara artis yang suka bersikap dingin.
Bagaimanapun, hidup ini punya aturannya sendiri. Seiring dengan peredaran masa, dia masih berdiri utuh pada hari ini merupakan Nazim yang punya perspektif baharu.
“Saya nak putarkan masa dahulu memang sudah tidak boleh. Sekurang-kurangnya saya sudah sedar dengan kesilapan lalu. Apapun, saya rasa bersyukur dengan apa yang dimiliki kini. Sebenarnya seronok apabila kita buat postmortem (muhasabah diri) dalam hidup,” kongsi pelakon berusia 33 tahun itu.
Lebih positif
Kongsi Nazim, dia kini mahu menjadi seorang lebih positif dari pelbagai sudut kehidupan. Justeru, biarpun ada kata-kata yang tidak berapa enak didengarnya, dia akan cuba untuk memikirkan sesuatu perkara itu dari sudut positif.
Katanya, ini kerana, dia percaya bahawa setiap apa yang berlaku itu mempunyai hikmah di sebaliknya. Justeru, terpulang kepada seseorang individu untuk memilih cara penerimaan sesuatu perkara yang hadir dalam hidupnya.
“Pada saya, sama ada kisah atau artikel itu baik mahupun buruk mengenai saya, ia masih lagi satu bentuk promosi buat diri. Ia hanya terpulang kepada saya bagaimana mahu melihat perkara itu dari sudut positif. Kalau ada orang hentam, kini saya boleh masih rileks.
“Saya belajar untuk buat damage control dan bagaimana menukarkan perkara itu kepada yang lebih positif. Kalau sebelum ini, saya agak tertutup mungkin kerana sejarah hidup saya yang orang tak tahu. Sampai orang kata saya seorang yang garang dan mudah panas (marah),” kata pemilik nama sebenar Nushrul Alif Othman itu.
Titik perubahan dirinya itu banyak dirasai selepas berdepan dengan ujian Tuhan apabila dia pernah menjalani pembedahan kerana masalah ketumbuhan pada bahagian otak sekitar dua tahun lalu.
“Apabila saya lihat di laman sosial, ramai yang memberi sokongan termasuk pihak media. Kalau kita dalam keadaaan susah dan berdoa, belum tentu lagi doa yang dipanjatkan itu dimakbulkan. Barangkali, doa orang yang kita tak kenal atau mungkin peminat yang diangkat. Alhamdulillah, doa termakbul dan saya semakin okey.
“Kalau dahulu, saya dengan pihak media pun tidak rapat, tapi sekarang apabila saya bercakap dengan kawan-kawan media, saya dapat rasakan aura yang 1ain. Apabila saya ditemu bual dahulu, saya rasa macam tertutup dan tertanya-tanya apa lagi yang orang nak tahu. Hakikatnya, kita kena belajar bersikap terbuka,” luahnya.
Kerana Cinta
Apa yang pasti, setiap perjalanan hidup itulah yang membawa dirinya hingga ke hari ini. Sedikit pun sejarah dan kisah masa lalu tidak pernah dianggapnya sebagai satu tempoh kerugian, bahkan itulah penguat kepadanya untuk terus mengubah diri ke arah yang lebih baik dan maju ke hadapan.
Begitu juga dengan karier muziknya sebagai penyanyi. Bukan baharu dalam dunia nyanyian, cuma kalau ingin dibandingkan dengan lakonan, Nazim lebih menyerlah beraksi di hadapan kamera.
Bagaimanapun, katanya, gara-gara ego diri yang pernah bertandang dalam dirinya sebelum ini jugalah yang membuatkan percubaan untuk menonjolkan karya-karya sebelumnya tidak berapa menjadi.
Pelakon berusia 33 tahun ini lebih matang berbanding dahulu dan sentiasa bersikap positif dengan setiap perkara yang hadir dalam hidupnya.
“Dahulu umur 20-an, ego saya ibaratnya seperti berada di langit ketujuh. Semua benda saya rasa boleh buat sendiri. Selepas sakit, perspektif saya semakin luas. Ada perkara yang tak boleh buat sendiri dan perlu minta pertolongan orang.
“Begitulah yang saya rasakan apabila tampil dengan lagu Kerana Cinta ini. Saya sedar saya tak boleh buat sendiri,” katanya yang kini bernaung sebagai penyanyi di bawah label Raksasa Records yang turut dibantu Warner Music Malaysia selaku pengedar.
Menurut Nazim, lagu itu cukup istimewa kerana ia mengisahkan kisah gambaran hidupnya. Lebih bermakna, apabila ia merupakan lagu ciptaan sahabat baiknya sendiri, penyanyi Hael Husaini.
“Lagu itu bukan saya minta pun, bahkan tidak tahu dia buat lagu untuk saya. Saya tidak pernah beritahu dirinya mengenai kisah hidup ini. Tapi apabila saya dengar lagu itu, saya bertanya kepadanya adakah ini kisah hidup. Itulah bukti kawan yang sebenar.
“Saya suka sebab lagu ini cukup dekat pada saya. Bahkan, penulis novel terkemuka J.K. Rowling pun pernah beritahu, kalau nak jadi penulis yang baik, kita kena tulis sesuatu yang dekat dengan kehidupan kita,” kata pelakon yang pernah menyertai program realiti nyanyian Gempak Superstar pada tahun lalu itu.
Pada masa sama, ada yang melihat keputusan Nazim untuk serius dalam nyanyian kerana lebih tuntutan masa kerja yang tidak begitu lama.
Sungguhpun begitu, suami kepada pelakon Bella Dally itu memberitahu, keputusan tersebut tidak mempunyai kaitan dengan status dirinya yang kini sudah bergelar ketua rumah tangga.
Baginya, apa jua yang ingin dilakukan, perihal rumah tangga perlu diutamakan.
“Saya menyanyi ini bukan sebab mudah nak urus masa. Kalau berlakon pun, saya perlu teliti terlebih dahulu sebelum menerima tawaran, lebih-lebih lagi kalau perlu berada di set penggambaran di luar Kuala Lumpur,” katanya menutup bicara.