Permintaan Nabila, batasan Sharnaaz


PERANCANGAN ANAK Sharnaaz Ahmad menyasarkan untuk memperoleh enam orang cahaya mata iaitu tiga lelaki dan tiga perempuan, namun segalanya diserahkan kepada kuasa Tuhan.

SUASANA sekitar pintu utama Hotel The Royale Chulan Damansara di Petaling Jaya pada 31 Mac lalu berubah wajah apabila dihiasi dengan hamparan permaidani putih. Hiasan bunga-bunga segar pada pintu gerbang sebelum masuk ke Dewan Grand Ballroom yang menjadi lokasi penyatuan dua jiwa itu menyuburkan aroma romantis ke jiwa setiap mata yang memandang.

Sebaik sahaja jam menunjukkan tepat pukul 9 malam, Sharnaaz atau nama lengkapnya, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad dilihat tenang berjalan masuk menuju ke arah pentas kecil bagi menyempurnakan acara akad nikah. Bersalut persalinan baju Melayu rona putih sentuhan pereka fesyen terkenal, Putra Cosry, aura raja sehari begitu menyerlah pada sosoknya.

Riaknya tidak sedikit pun menunjukkan rasa gentar untuk memulakan tanggungjawab baharu dalam kehidupannya.

Selang beberapa minit kemudian, muncul si ratu sehari, Noor Nabila Mohd. Noor yang manis mengenakan busana pengantin rekaan Datuk Radzuan Radziwill melangkah masuk dari pintu utama dewan ke pelamin, ditemani bonda tercinta, Datin Noor Kartini Noor Muhamed bersama adiknya, Ameera.

Dalam pada majlis yang dihadiri oleh ahli keluarga dan kenalan terdekat sekitar 250 orang, sesekali Sharnaaz mengerling ke arah Nabila, wanita yang selama ini dipanggilnya kekasih.

Ternyata, kakak pelakon Neelofa itu tidak mampu menyembunyikan mutiara jernih yang menuruni pipi usai acara akad nikah disempurnakan Imam Masjid Damansara Perdana, Syamsul Firdaus Mohd. Supri Al- Hafiz.

Sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz, cahaya kesyukuran jelas terpancar di wajah Nabila dan Sharnaaz, kedua-duanya menghela nafas syukur.

“Tiada apa yang boleh diucapkan melainkan kalimah Alhamdulillah sebagai tanda syukur apabila hubungan kami ini mendapat restu daripada kedua-dua belah keluarga.

“Terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang banyak membantu menyempurnakan majlis ini dan semoga hubungan kami kekal buat selama-lamanya,” luah Sharnaaz sambil melemparkan pandangan ke arah isteri di sisi.


TAJAAN. Sekitar majlis pernikahan Sharnaaz dan Nabila. Mereka menerima kira-kira 15 tajaan merangkumi dekorasi pelamin, pakaian, bunga telur, hidangan pencuci mulut dan cenderahati kepada tetamu. Pasangan itu bagaimanapun tidak menjelaskan jumlah keseluruhan tajaan yang diterima..

Debaran raja sehari

Dalam suasana yang limpah kasih sayang Ilahi itu, Sharnaaz dan Nabila tidak lokek berkongsi emosi serta debaran yang dirasai sebelum selamat diijabkabulkan.

Kata Sharnaaz, meskipun secara lahiriah dia dilihat tenang berdepan dengan situasi tersebut, namun debaran bergelombang dalam dada hanya dia sahaja yang tahu.

“Awalnya segala berjalan lancar sehingga tiba masuk waktu solat Maghrib, tiba-tiba perasaan gugup itu datang dan pastinya agak mendebarkan saya.

“Perasaan gementar itu memang ada tetapi segalanya terkawal sebaik sahaja melihat wajah-wajah ahli keluarga. Secara tidak langsung, ia menjadi pembakar semangat buat saya. Dengan perkahwinan ini, saya telah sempurna menjadi seorang lelaki,” ujar pelakon berusia 32 tahun itu.

Mengulas lanjut, Sharnaaz dalam nada berseloroh menyifatkan debaran menjadi raja sehari jauh berbeza jika ingin dibandingkan sewaktu mengendalikan program televisyen secara langsung.

“Biarpun pernah mengendalikan program secara langsung dan ditonton jutaan rakyat Malaysia, perasaan itu jelas berbeza jika ingin dibandingkan dengan majlis perkahwinan walaupun hanya disaksikan tetamu yang hadir,” luah Sharnaaz.

Emosi sama turut dikongsikan oleh Nabila. Biarpun pernikahan ini menjadi penyatuan kedua dalam hidupnya, sebagai wanita biasa dia juga tidak dapat lari daripada diulit getaran dalam jiwa.

“Sekitar sejam sebelum acara bermula, perasaan saya mula berdebar tetapi sebaik mendengar lafaz ijab dan kabul daripada suami, segalanya menjadi reda. Saya bersyukur segalanya berjalan lancar,” kata Nabila bahagia.


BULAN MADU. Pasangan raja sehari itu memilih Itali sebagai lokasi bulan madu. Mereka dijadualkan berangkat selepas resepsi sebelah pihak lelaki pada 8 April ini di Pusat Konvensyen Straits Quay, Pulau Pinang selesai.

Bebas tetapi terbatas

Dalam ruang yang dibumbui kemanisan termeterainya janji suci tersebut, senyuman tidak pernah surut dari bibir Sharnaaz dan Nabila saat berkongsi perancangan sehati sejiwa melayari bahtera perkahwinan.

Berkahwin tidak bermakna mereka harus mengetepikan segala yang ditelah diusahakan selama ini, sebaliknya bersatu menjadi lebih kuat untuk menangani apa sahaja pancaroba akan datang dengan penuh toleransi dan persefahaman.

Samudera seni yang selama ini direnangi Sharnaaz sebagai pelakon akan terus terhampar, begitu juga pekerjaan Nabila sebagai ahli perniagaan, semuanya akan berjalan seperti biasa.

Melepaskan ketawa kecil sebelum melontarkan jawapan, Nabila dari awal lagi meletakkan kepercayaan penuh terhadap suaminya. Bagi Nabila, 32, sebagai suami, Sharnaaz sepatutnya sudah tahu apa batasan yang harus dilewati.

“Secara peribadi saya tidak meletakkan sebarang syarat tertentu kerana mengetahui sebagai suami, Sharnaaz lebih faham tentang amanah dan tanggungjawabnya.

“Saya menghormati kerjayanya sebagai artis. Saya juga tiada masalah dengan karier lakonannya. Dia bebas berlakon tetapi ada batasan dan saya pasti Sharnaaz tahu batasan yang perlu dijaga sebagai suami,” kata Nabila seraya mengukir senyuman sehingga menampakkan sebaris giginya yang tersusun rapi.

Disambut baik dengan senyuman dan tawa kecil daripada Sharnaaz, lelaki itu nyata tiada masalah untuk memenuhi permintaan suri hatinya demi keharmonian rumah tangga sehingga ke akhir hayat.

Post a Comment

Previous Post Next Post