Maisarah Faizal Ukulele jelajah sekolah, IPT


MAISARAH kini muncul dengan single kedua berjudul Prasetia.

Usianya baru mencecah angka 16 tahun, namun pemilik nama Maisarah Faizal menyimpan keazaman untuk melakar kejayaan dalam bidang nyanyian tanah air.

Mempertaruhkan single kedua berjudul Prasetia, Maisarah atau nama komersialnya, Maisarah Ukulele tidak berdepan masalah untuk mengimbangi pelajaran dan minat terhadap dunia muzik dalam mengejar cita-cita menjadi penyanyi.

Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur itu memberitahu, dia akan memberi tumpuan kepada bidang nyanyian pada tahun ini untuk memperkenalkan single yang mendapat sentuhan penyanyi terkenal dengan lagu Sonata Musim Salju, Hazami.

“Saya akan memberi sepenuh tumpuan memperkenalkan single Prasetia kerana tidak terikat dengan peperiksaan besar pada tahun ini. Bahkan, saya sedang sibuk menggubah dua lagi single untuk diperkenalkan kepada khalayak menjelang akhir tahun nanti memandangkan pada tahun hadapan, saya bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Memang saya amat mencintai dunia hiburan tetapi tidak akan mengabaikan pelajaran. Tahun depan, saya akan memperlahankan aktiviti nyanyian untuk memberi tumpuan kepada SPM,” katanya ketika ditemui di Studio Utusan baru-baru ini.

Anak bongsu daripada dua beradik itu menambah, dia mula meminati dunia seni sejak kecil lagi dan ketika berusia 13 tahun mula mempelajari instrumen Ukulele melalui laman YouTube.

Gadis yang mengetengahkan genre pop itu mula bergiat secara serius dalam bidang nyanyian sejak 2015 dengan memperkenalkan single pertama berjudul Tak Mungkin Sendiri.

“Pada tahun lalu, saya terpaksa memperlahankan aktiviti seni buat sementara waktu kerana ingin memberi perhatian kepada Ujian Bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3),” ujarnya.

Maisarah menyasarkan agenda jelajah ke 20 buah sekolah rendah dan menengah serta Institut Pengajian Tinggi Awam serta Swasta di seluruh negara pada tahun ini sebagai salah satu langkah memperkenalkan diri kepada khalayak.

“Siri jelajah berkenaan akan bermula pada bulan ini sehingga September. “Saya berharap jelajah yang dirangka ini berjalan lancar agar menjadi salah satu platform memperkenalkan diri ke mata khalayak terutama golongan muda.

“Ia sekali gus dapat memberi pendedahan kepada khalayak berhubung muzik yang saya ketengahkan,” ujarnya.

Bercerita tentang dukungan semangat dan tunjuk ajar, Maisarah mengakui sempat bertemu beberapa artis veteran yang sentiasa memberi pandangan tentang dunia seni kepadanya.

“Antara artis berpengalaman yang pernah memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada saya termasuk Datuk D. J. Dave, Datuk A. Rahman Hassan dan Datuk M. Nasir.

“Saya berasa terharu kerana walaupun masih baharu dalam dunia seni tetapi dapat mendekati artis-artis berpengalaman ini yang tidak lokek ilmu,” katanya.

Maisarah yang bernaung bawah HarithMai Production juga pernah berkongsi pentas bersama Datuk A. Rahman Hassan dalam Konsert Orkes Nirwana 50 Tahun A. Rahman Hassan pada 2015.

Ditebak soalan bagaimana terlintas mendapatkan sentuhan Hazami dalam penghasilan single berjudul Prasetia tersebut, Maisarah membuka cerita, dia secara kebetulan merupakan pelajar vokal bawah bimbingan penyanyi itu.

“Saya mengambil kelas vokal dengan Hazami kerana ingin mempertingkatkan mutu nyanyian untuk bergiat serius dalam bidang ini.

“Hazami pula memberitahu bahawa saya tidak perlu memasuki kelas vokal tetapi perlu mendapat lebih banyak pendedahan dalam soal persembahan pentas. Dia juga telah memberi saya sebuah lagu untuk didendangkan berjudul Prasetia yang berkisar tentang kasih sayang ibu bapa,” ujar Maisarah.

Gadis yang murah senyuman itu menambah, dia hanya mengambil masa selama satu hari untuk menghayati bait-bait lirik dan melodi lagu berkenaan.

Tertarik dengan lirik dan melodi lagu berkenaan, Maisarah tidak teragak-agak memutuskan untuk ia dijadikan single kedua.

“Proses rakaman mengambil kira-kira sebulan untuk disiapkan telah diubah mengikut kesesuaian suara dan penampilan diri saya.

“Saya berharap lagu berkenaan dapat memikat hati pendengar kerana melodi dan liriknya mudah difahami, sekali gus mampu memupuk kasih sayang terhadap ibu bapa,” ujarnya menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post